Ibu Bapa Perlu Beri Dorongan, Doa

BAGI Hafiza Abd Rahman, 27, yang percaya kepada sistem pembelajaran di rumah dan tidak pernah menghantar keempat-empat anaknya Kirua Hakimy, 7, Ashyekin Rei Hikaru, 5, Afiqah Yunaru, 4, dan Adany Aurora Hydeaki, 3, ke sekolah, mempunyai pendapat berbeza mengenai sistem pendidikan awal kanak-kanak.

Bagi Hafiza, pendidikan itu seharusnya bermula sejak dari dalam kandungan lagi, kemudian dilanjutkan dengan pendidikan awal bayi dan kanak-kanak di rumah oleh ibu bapa sendiri.

Didikan paling utama yang perlu diterapkan adalah menerusi kasih sayang, sentuhan dan belaian ibu bapa, kata-kata dorongan serta doa daripada ibu bapa setiap hari sebelum anak-anak kecil ini dihantar ke tadika pada usia lima dan enam tahun.

Pada usia ini, pelajaran lebih mudah difahami dan diserap sekiranya sesi belajar sambil bermain dijalankan. Kaedah ini sangat membantu si kecil dalam menghargai hubungan kekeluargaan dan komuniti serta berperanan mendidik untuk meneruskan kesinambungan emosi, mental dan fizikal yang stabil.

Tambah Hafiza, terdapat tujuh aspek kepintaran yang perlu dipupuk dan digilap pada kanak-kanak yang mindanya berupaya menyerap pelbagai ilmu iaitu menerusi perkataan atau percakapan, visual iaitu kebolehan untuk berimaginasi pelbagai perkara, fizikal iaitu keupayaan menggunakan kelebihan struktur tubuh badan dalam pelbagai situasi, muzik iaitu kebolehan menggunakan, memahami serta menghayati alunan muzik, matematik iaitu kemampuan mengaplikasi logik kepada sistem dan nombor, introspektif iaitu bakat untuk memahami pemikiran dalaman dan interpersonal iaitu kreativiti untuk memahami individu lain malah boleh berinteraksi dengan baik sesama individu mahupun kelompok luar.

“Kesemua elemen di atas perlu diterap ibu bapa dalam proses tumbesaran mereka terutama pada usia tiga hingga enam tahun. Perkara ini tidak wajar dilepaskan dengan sewenang-wenangnya kepada pembantu rumah, penjaga atau guru atas tiket alasan bekerja mahupun terlalu sibuk.

“Ribuan wang ringgit yang dilaburkan untuk meletakkan anak-anak kecil ini ke mana-mana institusi tanpa wujudnya pemantauan ibu bapa dan sokongan moral akan menjadi sia-sia. Sebaliknya, jika ibu bapa yang menghantar anak-anak ini ke tadika pada usia awal dibekalkan dengan galakan, diiringi kasih sayang serta tunjuk ajar sejak bayi, insya-Allah tiada permasalahan utama yang akan dialami.

“Ini kerana ibu bapa tetap berperanan dalam usaha memberikan yang terbaik kepada anak-anak tanpa si kecil rasa terbeban, malah lebih seronok dan bermotivasi tinggi untuk berdaya saing,” katanya.

Tidak dinafikan pendidikan awal kanak-kanak sangat penting pada masa sekarang.
Ini kerana ibu bapa dapat memastikan sama ada anak-anak ini bersedia untuk menempuh alam pendidikan sebenar, sangat berani, suka mencuba dan mencabar diri untuk menjadi insan terbaik, mementingkan kesempurnaan, berkebolehan untuk berinteraksi dengan bersopan-santun, berdisiplin dan berkelakuan baik.

Walaupun ada berpendapat menghantar anak-anak pada usia awal akan menyebabkan mereka bosan, sebenarnya perasaan bosan dan sedih hanya akan dialami sekiranya tiada perhatian, sokongan dan unjuran kasih sayang daripada ibu bapa.

Jika perkara ini berlaku, ibu bapa perlu segera memperbaiki hubungan dan talian kekeluargaan dengan anak-anak agar perkara negatif tidak timbul pada masa hadapan. Ini disebabkan anak-anak kecil sangat menginginkan kasih ibu bapa dan mereka akan sedaya upaya mencari jalan untuk menarik perhatian ibu bapa walaupun caranya pada perspektif golongan dewasa adalah tidak relevan.

Justeru, keputusan menghantar anak-anak pada usia yang masih kecil ke tadika sebenarnya sudah lari daripada tujuan sebenar konsep pendidikan itu sendiri jika hanya menitikberatkan standard akademik semata-mata tanpa memikirkan pembangunan rohani, jasmani dan sahsiah anak itu.

“Ini kerana nilai kemanusiaan serta tradisi semakin pupus ditelan zaman disebabkan tiada pengukuhan subjek ini sejak dari rumah. Anak-anak kecil tidak akan mudah terasa bosan jika setiap waktu diisi dengan aktiviti meriangkan serta berfaedah.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu turut sama dalam kegiatan yang ingin diajar kepada anak. Contohnya, sebelum anak boleh membaca dengan yakin, ibu bapa wajib memperkenalkan anak-anak dengan dunia abjad serta berkongsi cerita dan buku bersama, membaca dengan intonasi menarik bagi mempesonakan anak-anak ini dalam dunia ilmu.

“Kecintaan pada ilmu pengetahuan disemai tanpa si kecil ini sedar itu adalah alam persekolahan kerana mereka berasa terhibur dan sentiasa bersedia untuk menantikan hari esok untuk ke sekolah.

“Ibu bapa juga boleh mengadakan sesi seni dan kraf bersama anak-anak, bersenam dan beriadah bersama malah sering berusaha mengambil inisiatif untuk berbual dengan anak-anak bagi mendalami dan menghormati perasaan si kecil. Oleh sebab itu, tanggungjawab ibu bapa penting dalam menjana generasi cendekiawan yang berperibadi mulia,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

991 views