Ibu Berkerjaya Perlu Rancang Keluarga

Kebanyakan generasi muda kini seakan-akan mengambil mudah isu perancangan keluarga.

Mereka hanya akan mula berada dalam keadaan kelam kabut apabila si isteri disahkan hamil semula dan jarak antara anak agak dekat.

Maka berlakulah keadaan kehamilan tidak dirancang dan memberikan tekanan pada diri terutama dari segi emosi, fizikal serta ekonomi pasangan berkenaan.

Menurut Pakar Perunding Jabatan Obstetik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj dianggarkan 40 peratus daripada kehamilan yang berlaku disebabkan tidak disengajakan, tidak dirancang serta tidak diingini.

Namun, boleh kebanyakan kehamilan tidak dirancang berlaku akibat perhubungan tanpa ikatan perkahwinan sah.

Tetapi bukan bermakna pasangan berkahwin tidak mengalami masalah ini kerana sikap sambil lewa dan cuai serta ketidaksediaan menyebabkan keadaan ini berterusan berlaku.

“Jika dulu tidak ramai pasangan yang terbuka untuk bercakap mengenainya kerana bagi mereka setiap kehamilan yang berlaku perlu diterima seadanya.

“Namun kini, dengan keadaan semasa yang kondusif dan kebanyakan golongan ibu memiliki kerjaya sendiri ia perlu dilakukan dan merancang keluarga adalah penting,” katanya.

Kebiasaannya golongan yang menerima setiap kehamilan berlaku walaupun jarak antara anak agak dekat adalah bersifat domestik iaitu ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

Namun, kini terdapat perubahan pada struktur masyarakat yang membawa kepada perubahan dalam konteks keluarga dalam mengendalikan kelahiran dan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga.

Dalam hal ini bukan wanita atau isteri saja perlu memainkan peranan, lelaki juga bertanggungjawab untuk mengetahui mengenai perancangan keluarga dan pencegahan kehamilan.

Tanggungjawab sebagai ibu bapa hendaklah dipikul bersama bukan menyerahkan sepenuhnya kepada sebelah pihak saja untuk menjayakannya.

Pada masa kini wanita perlu memenuhi pelbagai tanggungjawab, kerana itulah perancangan keluarga amat penting. Perancangan keluarga memberi ruang kepada wanita bagaimana untuk memenuhi semua tugas itu.

Tidak dinafikan salah faham mengenai kaedah perancangan keluarga berlaku di seluruh dunia tidak kira negara maju, membangun atau miskin.

Keadaan ini disebabkan kurangnya pendedahan terhadap kaedah perancangan keluarga mengakibatkan ramai menggunakan kaedah pencegahan kehamilan tradisional yang diwarisi turun temurun tetapi tidak berkesan.

Kehamilan tidak dirancang ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu kehamilan berlaku pada masa yang salah (lebih cepat daripada yang diinginkan) dan kehamilan tidak dikehendaki langsung (tidak sepatutnya terjadi).

Perkara ini masih menjadi isu penting walaupun sudah ada pelbagai kaedah kontraseptif (pencegahan kehamilan) yang berkesan dan selamat boleh digunakan untuk mengelakkannya.

Kehamilan tidak dirancang berlaku disebabkan kegagalan kaedah pencegahan kehamilan, cara penggunaan tidak konsisten atau salah selain faktor sosio ekonomi, budaya, politik, undang-undang serta penerimaan masyarakat.

Apa yang akan berlaku kepada kehamilan yang tidak dirancang ini?

Ia akan membawa kepada 4A iaitu penerimaan (acceptance), jadikan anak angkat (adoption), pengguguran (abortion) dan pembuangan (abandonment).

Penerimaan (acceptance).

Menerima kehamilan walaupun mungkin tidak bersedia menerimanya. Mengambil tugas sebagai ibu.

Jadikan anak angkat (adoption).

Lahirkan bayi itu tetapi tidak boleh menjaganya dan memberikan anak itu kepada orang lain.

Pengguguran (abortion).

Bila pengguguran berlaku individu berkenaan sememangnya tidak mahukan kehadiran anak itu.

Bagi ibu bapa apabila anaknya disahkan hamil luar nikah perkara pertama yang bermain di fikiran pastinya menggugurkan kandungan berkenaan.

Pembuangan (abandonment).

Bayi tidak diingini akan dibuang tanpa peri kemanusiaan sama ada ditinggalkan dalam tong sampah dan sebagainya.

Menurutnya lagi, kehamilan tidak dirancang boleh menjadi satu kehamilan berisiko tinggi.

Terutama jika jarak antara anak agak dekat kerana si ibu tadi belum bersedia fizikal dan mental untuk menerima kehadiran bayi baru.

Ia juga boleh menyebabkan risiko kesihatan kepada si ibu dan mengakibatkan kadar kematian bayi dan ibu tinggi.

Di negara kita contohnya 55 peratus wanita tidak pernah menggunakan kaedah perancangan keluarga sepanjang hidup mereka.

“Ini menyebabkan mereka mengalami masalah kesihatan kerana tubuh belum bersedia untuk proses kehamilan seterusnya.

“Saya juga tidak menganggap pengguguran sebagai satu kaedah perancangan keluarga yang baik,” katanya.

Kaedah mengelakkan kehamilan tidak dirancang melalui perancangan keluarga digunakan untuk menentukan bilangan dan jarak anak.

Kehamilan tidak boleh berlaku terlalu awal dan juga terlalu lewat.

Jika usia si ibu tadi kurang daripada 20 tahun ia dikenali sebagai kehamilan remaja dan memiliki risiko tinggi.

Di samping itu, bagi golongan yang hamil selepas usia 40 tahun pula ia dianggap sudah agak lewat dan memerlukan penjagaan rapi sekiranya ingin meneruskan kandungan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Antara kaedah boleh dilakukan untuk merancang keluarga adalah melalui kaedah kontraseptif berhormon.

Ada banyak jenis seperti cincin vagina, implan, pil perancang, suntikan, alat dalam rahim dan tampalan pada kulit.

Dalam kaedah ini, hormon akan dibebaskan pada kuantiti tertentu untuk mencegah ovari daripada mengeluarkan telur.

Ia juga akan menyebabkan perubahan pada lapisan endometrium (pada dinding rahim) dan mukus (cecair) dalam rahim bagi mengelakkan sperma bersatu dengan telur.

Hormon yang dimaksudkan ialah estrogen dan progestin (sama dengan progesteron yang wujud secara semula jadi dalam badan wanita).

Kontraseptif berhormon boleh mengandungi satu jenis hormon saja (progestin) atau kedua-duanya.

Perbezaan dalam kaedah ini ialah jenis hormon yang digunakan, tempoh dan bagaimana hormon dikeluarkan (jangka pendek atau panjang).

Ada yang memberi perlindungan pendek seperti pil yang perlu diambil setiap hari, tampalan (seminggu sekali), cincin vagina (sebulan sekali).

Kaedah perlindungan jangka panjang termasuk suntikan (tiga bulan), implan dan alat dalam rahim (tiga hingga lima tahun).

Persediaan ibu bapa itu sendiri sekiranya kehamilan berlaku;

Fizikal.
Keupayaan ekonomi.
Persiapan emosi dan psikologi – persediaan diri yang cukup tenang dan bersedia menghadapinya.
Persediaan dari sudut keluangan masa – masa yang akan diperuntukkan khususnya bagi si kecil.
Perlu ada sokongan sosial – tidak boleh bina keluarga tanpa bantuan persekitaran terutama jika berkerjaya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,505 views