Ikat Perut Kutip Dana

Kathy Trevelyan menguis-nguis makanan di dalam pinggannya. Walaupun makanan di dalam pinggan bubur nasi dengan hirisan sayur itu sangat hambar rasanya, namun dia bertekad menjadikan ia sajian tengah harinya selamanya lima hari berturut-turut.

Mungkin bubur nasi campur sayur jadi hidangan harian bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia, tetapi ia sesuatu yang agak asing bagi wanita London berusia 58 tahun itu.

“Biasanya kalau masak begini, kita masukkan bawang merah, bawang putih dan beberapa jenis rempah, barulah rasanya sedap. Tetapi yang ini…hambar saja. Namun pengorbanan ini berbaloi,” katanya.

Trevelyan ialah salah seorang daripada 20,000 warga Britain yang mengambil bahagian dalam cabaran lima hari untuk cuba hidup di bawah paras kemiskinan dengan belanja makan dan minum sebanyak satu pound (RM5) sehari.

Mereka menyasarkan untuk mengutip dana bagi disumbangkan kepada badan kebajikan antikemiskinan dan bagi merasai sendiri keperitan satu bilion penduduk dunia yang hidup dalam kemiskinan.

Trevelyan seorang pelakon yang turut menjadi pemandu pelancong diminta untuk menyertai program berkenaan oleh badan kebajikan Tiada Lagi Malaria, dan mengharapkan dia dapat membantu meningkatkan kutipan sekurang-kurangnya 500 (RM2,500) untuk projek itu.

Sebelum memulakan cabaran ‘kehidupan baru’ di bawah paras kemiskinan, dia membuat perancangan teliti terhadap sajian hariannya, membandingkan harga barangan dengan jenama pasaraya secara dalam talian bagi mendapatkan pembelian terbaik.

Selepas membuat penelitian, akhirnya dia membeli barang keperluannya iaitu roti, sebiji telur dan pisang untuk sarapan; nasi putih dan sayur dingin beku untuk makan tengah hari yang kadangkala boleh ditambah sosej vegetarian jika ada potongan harga.

Untuk makan malam, Trevelyan makan nasi campur lagi (nasi bercampur sayur dingin beku) atau spageti dengan kuah kari.

“Buat masa ini saya anggap diri saya ‘amat miskin’, betul-betul tiada wang….tapi ini hanyalah satu peringkat. Saya tidaklah sampai ke peringkat di mana perlu membeli sos atau kuah kari dengan harga 26 pence (RM1.20),” katanya.

Dia juga membeli teh, tetapi meminumnya tanpa susu kerana tidak cukup wang untuk membelinya. Mengapa Trevelyan begitu bersusah payah menyekat semua perbelanjaannya sehingga ke tahap begitu? Wanita ini sanggup mengikat perut supaya dia dapat mengumpulkan sedikit wang untuk diserahkan kepada badan kebajikan.

Trevelyan berkata, ‘Apalah sangat diet saya minggu ini jika hendak dibandingkan dengan kehidupan sebenar satu bilion penduduk miskin di seluruh dunia. Apa yang saya ada ini jauh lebih baik.

“5 (RM25) boleh membeli kelambu yang cukup besar untuk menyelamatkan dua kanak-kanak. Itu saja yang saya fikirkan,” tambahnya.

Kempen ini sebenarnya dimulakan pada 2009 di Australia di mana peserta cuba hidup dengan AS$2 (RM6) sehari sebelum ia diperluaskan ke Britain, Amerika Syarikat (dengan perbelanjaan RM3.60 sehari), Kanada (RM5.20) dan New Zealand (RM5.65). Ia turut mendapat sokongan daripada pelakon Hollywood, Hugh Jackman dan Ben Affleck. Untuk tahun ini mereka berharap dapat mengutip dana sebanyak RM15 juta.

Bagaimanapun, usaha murni itu dipandang negatif malah dituduh ia seolah-olah merangsang ‘pelancongan kemiskinan’ oleh orang kaya yang tahu mereka boleh kembali menikmati latte di Starbucks yang berharga RM13.75, makan daging dan sayur organik sebaik tempoh lima hari itu berakhir.

“Kita tidak mungkin tahu keadaan sebenar dan bagaimana susahnya kehidupan orang yang sangat miskin. Kami bukannya mahu mempersenda tapi cuba menyelami dan merasai keadaan itu,” kata Hugh Evans, ketua Projek Kemiskinan Global yang menganjurkan program berkenaan.

“Tetapi kami mahu mengajak orang ramai untuk cuba rasa sedikit kehidupan masyarakat miskin. Selepas satu minggu, anda akan sedar bahawa makanan harian anda sama saja. Anda tidak dapat cukup kalori dan merasai erti sebenar kelaparan itu yang mungkin pertama kali anda rasai,” katanya.

Projek itu bukan saja direka khusus untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kemiskinan di seluruh dunia, bahkan ia juga memberi harapan kepada penduduk susah di negara sendiri.

“Ia membuatkan anda berfikir apa yang dimakan oleh penduduk di sini kalau pergi ke pasaraya, bukan kita saja yang beli spageti harga 19 pence (RM0.95),” kata Travelyan.

Bagi Jack Monroe, ibu tunggal berusia 25 tahun dari Southend, di Timur London, hidup susah selepas terpaksa berhenti kerja tahun lalu untuk menjaga anaknya, Johnny yang kini mencecah umur tiga tahun.

Dia terpaksa menjual televisyen, pakaian dan buku untuk membayar sewa rumah, tidak menggunakan alat pemanas hawa dan hanya berbelanja RM5 bagi membeli makanan harian dia dan anaknya.

Namun kehidupannya hari ini jauh lebih senang – Monroe menulis blog mengenai masakan bajet yang menarik minat penerbit buku dan membolehkannya bekerja sebagai wartawan di salah sebuah akhbar tempatan. Walaupun hidupnya sudah berubah, tetapi dia tetap mengambil bahagian dalam cabaran hidup di bawah paras kemiskinan itu bagi mengumpulkan wang untuk diberikan kepada Oxfam.

“Saya akui, cabaran ini memang sukar,” katanya. Biasanya dia boleh ambil apa saja daripada almari yang dijadikan ruang menyimpan makanan, tetapi minggu ini Monroe terpaksa mengehadkan supaya makanan hariannya tidak melebihi RM25.

“Saya bangun pagi ini dan berfikir saya tidak mahu dadih lemon atau roti bakar lagi untuk sarapan. Saya tidak mahu bertih jagung untuk makan tengah hari dan nasi untuk makan malam,” katanya jujur.

Mengkritik projek seperti itu memang mudah, sambung Monroe.

“Ramai orang menyahut cabaran ini melakukannya dalam rumah masing-masing yang hangat dan selesa. Peserta sedar mereka hanya perlu bertahan untuk lima hari saja.

“Tapi saya tidak akan mengkritik usaha mengutip dana untuk kebajikan. Sekarang jika ada orang bercakap dan berfikir mengenai perkara ini, saya rasa tujuan program sudah tercapai iaitu untuk meningkatkan kesedaran,” katanya. – AFP

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

496 views