Ikut ‘doktor Muda’
PENDEKATAN serampang dua mata yang dipraktikkan oleh ‘doktor muda’ Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan Ulu Kinta untuk menarik dan menggalakkan rakan pelajar mengamalkan tabiat menjaga kebersihan membuahkan hasil apabila sekolah itu diisytiharkan sebagai pemenang Program Doktor Muda bersama Lifebuoy 2012.
SK Perpaduan menduduki tempat teratas di kalangan 32 sekolah rendah yang bersaing dalam cabaran antara sekolah seluruh negara yang diterajui oleh Lifebuoy, salah satu jenama sabun perlindungan daripada kuman yang terkenal di dunia.
Pertandingan yang berlangsung selama 21 hari di bawah naungan Program Doktor Muda Kementerian Kesihatan dan disokong oleh Kementerian Pelajaran, bertujuan menggalakkan kanak-kanak sekolah mengamalkan tabiat menjaga kebersihan, khususnya membasuh tangan mereka dengan sabun.
Seorang guru dan lima pelajar yang memainkan peranan sebagai penggerak perubahan positif dicalonkan oleh setiap sekolah yang mengambil bahagian.
‘Doktor muda’ ini digalakkan untuk merancang dan menjalankan aktiviti inovatif dan interaktif yang dapat menarik rakan pelajar yang lain untuk mengamalkan tabiat menjaga kebersihan setiap hari sepanjang 21 hari berkenaan.
Berdasarkan senarai kriteria yang ditetapkan, pencapaian sekolah ini dinilai berdasarkan sejauh mana pelajar dapat mengamalkan tabiat menjaga kebersihan atas inisiatif ‘doktor muda’ mereka.
Pengarah Pemasaran Unilever Malaysia dan Singapura, Hugo Verkuil, berkata semangat dan kreativiti yang ditunjukkan oleh ‘doktor muda’ SK Perpaduan benar-benar menakjubkan.
“Dalam masa 21 hari, mereka berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk mengadakan ceramah kebersihan, demonstrasi membasuh tangan dan mendapatkan ikrar daripada rakan mereka untuk mengamalkan tabiat yang baik dengan menjaga kebersihan.
‘Doktor muda’ mereka juga mengambil inisiatif untuk menasihatkan pelajar dari sekolah lain dan anggota masyarakat,” katanya.
Menurut Verkuil, menerusi pelbagai usaha yang berterusan ini, tidak hairanlah jika sekolah terbabit mencatat peningkatan paling tinggi daripada segi kesedaran kebersihan dan amalan penjagaan kebersihan di kalangan mereka.
Majlis penyampaian hadiah diadakan di sekolah pemenang iaitu SK Perpaduan.
Penolong Pengarah KoKurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Nor Haslan Nor Zaman, hadir untuk menyampaikan hadiah.
Sebagai pemenang tempat pertama, SK Perpaduan menerima wang tunai bernilai RM5,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga jatuh kepada SK Raja Chulan Perak dan SK Marian Convent Perak. Masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan RM2,000.
Dalam pada itu, tiga sekolah iaitu SK Puchong Indah, Selangor; SK Daya 3, Johor dan SJKC Foon Yew 4, Johor, menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM1,000 setiap satu. Semua pemenang turut menerima bekalan sabun cecair Lifebuoy percuma selama setahun berserta 10 unit dispenser dengan jumlah keseluruhan bernilai RM5,000.
Program ‘Doktor Muda Lifebuoy’ tahun ini berjaya menyentuh kehidupan hampir 40,000 pelajar. Memandangkan usaha membentuk tabiat yang baik mengambil masa 21 hari, kami yakin ia akan menjadi amalan yang akan kekal sepanjang hayat,” kata Verkuil.
Dengan sejarah yang bermula pada 1894, sabun Lifebuoy terus dipasarkan secara meluas pada harga berpatutan. Setakat ini, ia membantu lebih 1.6 bilion orang di seluruh dunia untuk hidup bebas daripada masalah kesihatan. Menerusi warisan ini, ia berhasrat untuk memperjuangkan amalan menjaga kebersihan bagi menjadikan Malaysia lebih sihat dengan meneruskan kempen “Malaysia, Jom Lebih Sihat!”
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18