Ikut Jejak Nenek

Minatnya dalam dunia fesyen bercambah sejak kecil ketika berusia lapan tahun apabila mula menghasilkan pakaian untuk diri sendiri.

Walaupun hanya pakaian biasa, ia tetap mendapat pujian anggota keluarga kerana hasilnya yang memuaskan.

Bagi pereka fesyen, Nur Alia Bastamam, 29, yang berjinak-jinak dalam dunia fesyen sejak hampir 10 tahun yang lalu, sejak kecil dia sering memerhatikan neneknya menghasilkan baju raya untuk keluarga.

“Ketika nenek menyiap-kan baju raya, saya duduk bersebelahan dengannya sebelum menghasilkan sendiri baju untuk dipakai ketika berusia lapan tahun.

“Saya tidak menyangka baju yang dihasilkan itu mendapat pujian ramai dan mula membuat baju untuk anak patung kesayangan pula,” katanya.

Menurutnya, minat itu pada awalnya terpaksa disimpan rapi di dalam diri apabila selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, dia mendapat tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang seni bina.

Sebaik tamat pengajian, dia tidak meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan kerana beranggapan ia tidak memberi kepuasan pada dirinya lalu mula mencari bidang baru yang mampu menggembirakannya.

“Saya mula menyambung pelajaran dalam bidang rekaan fesyen di Rafflesia Design Institute pada 2006. Sejak itu, saya membuat pelbagai jenis baju untuk kegunaan sendiri serta rakan.

“Sungguh tidak disangka baju rekaan saya mendapat perhatian daripada mereka yang mula menyokong supaya saya terbabit dalam bidang fesyen ini secara lebih serius,” katanya yang mencari pengalaman dengan bekerja di dua butik ternama di sekitar Kuala Lumpur selama hampir tiga tahun.

Menurut pereka yang menggunakan label Alia Bastamam ini, pengalaman bekerja dengan dua pereka fesyen ternama itu memberikan pelbagai pengalaman berharga buat diri-nya untuk menjadi pereka fesyen terkenal suatu hari nanti.

Ketika bekerja dengan dua butik itu, dia cukup fokus di samping mula menghasilkan beberapa pakaian untuk rakan.

Dari situ, teman rapat dan keluarga memberi sokongan penuh apabila meminta-nya membuka butik sendiri pada 2009, namun dia tidak berani menanggung risiko kerana bimbang tidak berjaya.

“Selepas berbincang dengan rakan baik, saya mula serius dengan membuka butik diberi nama Alia Bastamam di Bangsar selama enam bulan dan kemudian berpindah ke Bukit Damansara, tahun lalu.

“Bukan senang untuk menjadi pereka fesyen dan menempatkan jenama kita di mata dunia, namun usaha keras tanpa mengenal putus asa akan memberi inspirasi kepada diri untuk berjaya.

“Saya juga perlu ba-nyak belajar untuk membuat rekaan baju. Kita sememangnya perlu mengikut peredaran zaman, apatah lagi fesyen di negara kita berubah terlalu cepat,” katanya yang membuat baju pengantin dan gaun di samping pakaian sedia dipakai.

Alia berkata, pengalaman paling manis dalam hidup apabila jenamanya kini dikenali ramai selepas dia tampil dengan koleksi berani musim panas, Resort 2009.

Selepas koleksi itu, dia menyedari rekaan pakaiannya mula mendapat tempat di hati penggemar fesyen.

Pengalaman suntik semangat

Bagaimanapun, sebelum tampil dengan koleksi itu, dia melalui pengalaman pahit apabila permohonannya untuk terbabit dalam pertunjukan fesyen ditolak kerana namanya tidak terkenal.

Pengalaman itu dijadikan sebagai satu semangat untuk bang-kit dan membuat pelbagai rekaan baju.

“Saya tidak menyangka selepas terbabit dalam pertunjukan fesyen itu, baju rekaan saya mendapat sambutan ramai dan muncul di Minggu Fesyen Malaysia Antarabangsa (MIFA) pada 2010.

“Selepas dua pertunjukan fesyen itu, saya mula terbabit dengan pelbagai pertunjukan fesyen tanah air dan mendapat sambutan dalam kalangan selebriti tersohor untuk dipakai dalam majlis anugerah besar-besaran.

“Walaupun ia begitu cepat, saya tidak mudah melatah atau bangga diri kerana sikap itu hanya akan merugikan diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, industri fesyen di Malaysia cukup mencabar kerana persai-ngan daripada pereka fesyen lelaki yang lebih dikenali ramai, namun perkara itu dijadikan dorongan buat dirinya untuk terus menempa nama.

Ramai pereka fesyen lelaki berjaya yang boleh dijadikan idola kepada diri untuk terus maju.

“Setiap pereka fesyen mempunyai identiti sendiri, jadi saya mahu dikenali sebagai pereka yang mempunyai identiti sendiri dengan menghasilkan rekaan baju terkini, moden dan me-ngikut cita rasa ramai.

“Rekaan perlu mengikut peredaran masa dan tidak lapuk ditelan zaman supaya rekaan itu boleh bertahan untuk tempoh yang lebih lama.

“Oleh itu, saya memilih fabrik dan material bersesuaian kerana mahu baju rekaan itu sentiasa kelihatan masih baru walaupun sudah berusia beberapa tahun,” katanya.

Untuk mencapai hasrat itu, dia sentiasa fokus dan membuat kajian mengenai dunia fesyen.

Alia juga akui, idea setiap rekaan pakaiannya boleh hadir di mana saja tidak kira sesuatu lokasi itu sunyi atau bising.

Selepas mendapat idea, dia tidak menunggu lama lalu terus membuat lakaran di kertas A4 kerana bimbang idea itu kian pudar.

Justeru, dia memastikan dirinya membawa kertas dan pensel setiap masa bagi memudahkannya membuat lakaran.

“Selain itu, perbinca-ngan dengan pelanggan juga memberi banyak idea, apatah lagi kita boleh bertukar pendapat untuk memperoleh hasil rekaan lebih baik.

“Saya gemar berbincang dengan pelanggan kerana ia lebih memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak,” katanya yang berhasrat mahu untuk terus mengembangkan sayap dalam dunia fesyen juga dikenali di peringkat dunia suatu hari nanti.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,728 views