Ilham Dari Alam

SESUDAH lengkap bersolek dan menyarungkan busana sebelum keluar menghadiri majlis makan malam, tidak lengkap rasanya jika tiada perhiasan diri membaluti pergelangan tangan, leher, telinga atau jari.

Bukan berniat mahu menunjuk tetapi sekadar penambah seri kepada busana, malah si jelita pasti tampak lebih menawan dengan pilihan barangan perhiasan yang mencerminkan personaliti dirinya.

Justeru, melalui olahan gaya yang penuh kepintaran dan keperibadian tinggi, pereka barang kemas, Tranz, tampil dengan koleksi terbaru yang mencerminkan semangat pemakai yang optimis, yakin dan cergas.

Seiring dengan slogan barunya, Ilham Reka Cipta, Tranz memperkenalkan empat koleksi rekaan iaitu Classic, Nature, Love dan Duet. Setiap rekaan menjadi hasil seni yang datangnya daripada penyelidikan dan pembangunan kreatif Poh Kong secara teliti serta kawalan mutu yang ketat ketika proses pembuatannya.

Tranz Classic menampilkan rekaan berasaskan garis lurus dan bentuk asas manakala koleksi Nature pula mempunyai reka bentuk alam yang menghiasi persekitaran kita.

Misteri serta rahsia alam dipersembahkan dalam rekaan yang halus lagi menawan. Ia mempersembahkan hasil seni yang teliti dan bermutu tinggi bertemakan flora dan fauna semula jadi.

Lelabah kecil seakan-akan hidup melalui hasil seni emas diilhamkan daripada alam sekeliling. Gabungan unik daun emas dan lelabah pada gelang kulit dan rantai memberikan penampilan lebih anggun yang mesra dengan alam sekitar.

Anting-anting dan cincin daripada koleksi ini juga secara keseluruhan diperbuat daripada emas.

Koleksi Tranz Love pula dihiasi alam semula jadi dan disulami imaginasi serta perasaan cinta yang menjadi inspirasi kepada kebanyakan penghasilan barangan kemas.

Sementara itu, Tranz Duet pula ialah koleksi untuk lelaki dan wanita yang dihasilkan daripada minat setiap individu.

Pengarah Poh Kong Holdings Berhad, Christine Choon berkata, Tranz mendapat ilham reka cipta bagi menghasilkan dan memastikan penampilan diri yang bebas serta meyakinkan untuk lelaki dan wanita moden.

“Tranz adalah daya tarikan terkini kerana ia direka berdasarkan personaliti individu yang akhirnya akan memberikan inspirasi kepada si pemakai agar mendapat semangat baru yang penuh optimis, meyakinkan dan lebih segar.

“Sejak dilancarkan, Tranz sudah menjadi jenama barang kemas yang unggul di Malaysia. Oleh itu, dengan pelancaran imej dan slogan baru jenama kami, diharapkan ia dapat terus mengukuhkan kedudukan kami sebagai pereka barang kemas terunggul yang diilhamkan reka bentuk terkini untuk menyerlahkan ekspresi diri dan penampilan wanita moden mahupun kontemporari,” katanya.

Pengurus Pemasaran Poh Kong, Elizabeth Choo berkata, barang kemas Tranz boleh menjadi pelaburan yang berbaloi dengan kualiti emas premiumnya, konsep reka bentuk, inovasi bahan, kesenian emas halus dan polisi satu harga yang mampu menarik minat semua orang termasuk mereka yang mempunyai permintaan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,801 views