Imej Sesuai Tak Rosakkan Majlis
KITA selalu berhadapan dengan situasi ini – sama ada bertembung dengan orang yang tidak pandai membawa diri atau kita sendiri dituduh tidak pandai membawa diri.
Dalam situasi lain, kita melihat seseorang itu janggal di dalam satu majlis yang dihadiri. Contohnya semasa kenduri kahwin, si polan mengenakan baju-T sendat dan seluar ketat sehingga dianggap mencacatkan majlis.
Spontan kita mengungkapkan kata, orang itu tersalah membawa imej atau imej begitu tidak kena di majlis sebegitu. Sebenarnya kita boleh tahu kelemahan dan kekurangan diri sendiri.
Adakah kita pandai menyesuaikan diri pada sesuatu majlis dan yakin dalam berkomunikasi? Lihat diri kita dan buat perbandingan dengan orang lain.
Sepatutnya pada sesuatu majlis, sesuaikah kita berpakaian begitu? Apakah gaya bahasa dan cara pembawaan diri yang sepatutnya kita lakukan di majlis itu?
Kita sebenarnya boleh tahu sekiranya gaya kita merosakkan majlis yang dihadiri cuma kita tidak ambil peduli. Mungkin juga kita tahu kekurangan diri, tetapi tetap tidak pandai membawa diri. Kita juga gagal tampil dengan imej dan cara berkomunikasi yang bersesuaian.
Mungkin sudah tiba masanya kita mendapat pertolongan demi membentuk imej dan membantu penampilan yang lebih sesuai dengan kerjaya. Adakah imej seseorang itu boleh dibentuk dengan acuan yang betul?
“Tentu saja boleh,” kata perunding imej bertauliah daripada Academy of Communication Ettiquette and Protocol, Noraini Mohd Hanafiah.
Menurutnya, apa yang penting, setelah imej dibentuk, ia harus diamalkan supaya berkekalan. Imej tidak terjadi dengan sendiri kerana ia adalah gambaran yang dilihat mengenai personaliti seseorang.
“Orang sering berasa imej adalah cara berpakaian saja, tetapi cakupan sebenarnya lebih luas termasuk cara kita bercakap, berbahasa, tingkah laku, warna kulit, makanan kesukaan serta hobi,” katanya.
Menurut Noraini, apabila kita berhadapan dengan orang buat pertama kali, perhatian utama sebenarnya adalah 55 peratus pada penampilan, 38 peratus pada bahasa tubuh dan tujuh peratus lagi pada kata-katanya.
Bermakna apa yang keluar dari mulut sangat sedikit diambil perhatian sebaliknya orang lebih melihat penampilan dan cara kita membawa diri.
Bagaimana dengan usia? Apakah usia yang sesuai melakukan pembentukan imej?
“Seawal mungkin. Malah, kini sudah ada program pembentukan etika untuk kanak-kanak contohnya adab di meja makan, cara memanggil dan menghormati orang tua,” katanya.
Menerusi pengalaman Noraini yang sering memberi ceramah mengenai pembentukan imej dan protokol sejak 12 tahun lalu, usia tidak pernah menjadi penghalang, malah ada yang sudah bersara, tetapi masih mahu membentuk imej tersendiri.
“Bagi yang mahu meneruskan kerjaya berbeza selepas bersara, mereka mahu
mendapatkan idea dan cara membawa diri dengan kerjaya baru mereka. Sebenarnya, paling mustahak dalam membawa imej adalah supaya orang percaya kepada kita.
“Bermakna kita kena sentiasa tampil kemas. Tentu saja orang sukar meletakkan kepercayaan sekiranya imej kita selekeh. Penampilan yang betul akan membuatkan kita dipercayai,” katanya.
Bagaimana pula perubahan penampilan yang mahu dilaksanakan? Adakah ia penampilan yang kekal dalam ingatan ataupun mudah dilupakan?
Kata Noraini, ada tiga aspek dalam pembentukan imej iaitu pembentukan penampilan, tingkah laku dan komunikasi.
“Apabila seseorang itu mahu mempelajari cara mengubah penampilan imej daripada sudut berpakaian dan memilih pakaian, penting untuk kita mengenali diri sendiri. Tahu bagaimana bentuk badan dan muka sendiri, jadi dari situ sesuaikan diri dengan fesyen bersesuaian. Tahu juga menyesuaikan diri dengan masa, tempat dan majlis yang hendak dihadiri,” katanya.
Setelah yakin dengan penampilan, pelajari cara berhubung atau berkomunikasi dengan betul supaya tidak tersalah langkah di majlis ataupun ketika melakukan urusan perniagaan.
“Alamak! Dia marahkah saya panggil dia mak cik!”
Pernahkah ayat di atas anda ungkapkan? Ini membuatkan orang yang anda tegur itu menarik muka masam dan seterusnya mengelakkan diri daripada anda.
Sebenarnya paling asas, tidak kira dalam bidang apa sekali pun, sama ada pegawai perhubungan awam, pegawai pemasaran, wartawan, operator telefon mahupun juruwang di pasar raya, perlu tahu cara yang betul memanggil seseorang yang baru dikenali.
Jangan terjadi hanya kerana tersalah panggil, hubungan yang sepatutnya terjalin elok menjadi hambar.
“Panggilan ‘puan’ dan ‘kak’ sebenarnya adalah panggilan tanda hormat, tetapi ia sering disalah erti sebagai panggilan yang menentukan status perkahwinan dan usia yang lebih tua. Manusia ternyata tidak suka digelar dengan panggilan yang melambangkan usia tua,” katanya.
Jelas Noraini, sebenarnya tidak perlu marah sekiranya mereka yang belum berkahwin dipanggil ‘puan’ kerana ia sebenarnya lebih kepada tanda hormat.
“Puan sebenarnya sama dengan tuan bagi lelaki. Namun, kita kena prihatin pada pilihan empunya diri. Sama ada bujang, berkahwin ataupun ibu tunggal, sekiranya dia mahu dipanggil ‘cik’, kita kena hormati permintaannya. Saya selalunya memanggil seseorang itu ‘cik’ melainkan dia menyuruh dipanggil ‘puan’. Begitu juga dengan gelaran seperti datin, puan seri dan seumpamanya.
“Mulakan dengan gelaran rasmi dan sekiranya empunya diri mahu dipanggil dengan panggilan yang lebih santai maka baru boleh kita berbuat demikian,” katanya.
Selain cara panggilan asas, masih ramai yang tidak tahu cara sebenar setiap kali membuat panggilan di telefon.
“Harus diingat, apabila menelefon orang buat pertama kali, perkenalkan diri terlebih dulu bukannya menelefon dan kemudian bertanya siapa yang menjawab panggilan itu. Keadaan ini selalu membuatkan orang yang menerima panggilan berasa terganggu,” katanya.
Zaman ini segalanya mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) dan ia menjadi pilihan kebanyakan orang yang mementingkan privacy.
“Zaman sekarang orang sering menggunakan medium SMS dalam semua urusan kehidupan. Boleh guna SMS tetapi gunakan bahasa yang betul, bukan singkatan SMS yang sering digunakan golongan remaja. Ia bukan hanya merosakkan bahasa, tetapi mungkin tidak difahami si penerima. Mungkin juga nanti akan terjadi salah faham yang memburukkan keadaan,” katanya.
Mengapakah pembentukan imej penting?
Kata Noraini, imej adalah gaya hidup. Dengan segala perubahan dan kemodenan yang berlaku di dunia ini, pembentukan imej adalah benteng kepada segala pengaruh negatif.
Jangan sekadar mahu membentuk imej tatkala perlu menghadiri temu duga kerja.
Sebenarnya ia adalah proses yang panjang dan bukan untuk digunakan sementara saja.
“Sebenarnya majikan tidak mahu calon pekerja mereka yang hanya cemerlang akademik sebaliknya harus cemerlang dalam aspek penampilan, etika, tingkah laku dan komunikasi,” katanya yang berpengalaman dalam mereka bentuk dan melaksanakan program pembangunan staf jabatan dan berkemahiran dalam bidang pengukuhan pasukan, kepemimpinan, imej profesional, etika dan protokol.
Noraini juga menjalankan program induksi untuk kumpulan sokongan baru serta mengurus seminar dan persidangan peringkat nasional dan antarabangsa.
Bagi perunding imej bertauliah daripada Salina Ibrahim Training Consultancy, Salina Ibrahim, pembentukan imej ada kena-mengena dengan sikap dan ilmu pengetahuan yang dimiliki.
“Jika hendak mengubah imej ke arah yang lebih positif dan sesuai dengan diri, kita harus mencari ilmunya. Jangan salah anggap apabila menjaga imej, tidak bermakna harus berpakaian mahal, berjenama dan perlu miliki wajah atau tubuh cantik. Apa yang penting kita tahu menyesuaikan tubuh dengan pakaian dan membawa diri,” katanya.
Bagi Salina, tidak pernah terlambat dalam membina imej sesuai walaupun sudah berusia atau di peringkat kanak-kanak.
“Pendidikan mengenai pembinaan imej yang betul boleh diberikan kepada anak-anak sejak mereka kecil. Apabila mereka masuk ke alam remaja, mereka tahu apa yang perlu dan patut dilakukan.
“Ramai juga yang lupa, antara latihan pembentukan imej yang baik ialah aspek kebersihan.
“Aspek kebersihan peribadi memang penting begitu juga cara berpakaian. Anak gadis yang baru menempuh haid akan berdepan masalah jerawat berikutan perubahan hormon. Kita boleh mendidik mereka cara betul mengenai penjagaan kulit,” katanya.
Apabila membicarakan bab pakaian, fesyen dan gaya tidak dapat dielakkan. Apa yang terjadi adalah ramai yang menjadi mangsa fesyen hanya kerana pengaruh dan terikut-ikut tanpa memikirkan kesan dan impak jangka panjangnya.
“Fesyen dan gaya adalah dua perkara berbeza. Fesyen adalah sesuatu yang hangat dalam tempoh atau masa tertentu contohnya kini fesyen k-pop sedang hangat tetapi tidak mustahil nanti akan sejuk dan timbul fesyen lain pula. Namun gaya akan kekal sama, contohnya kita mahu tampil dengan gaya menutup aurat (bagi Muslimah), maka gaya itu kita pertahankan selama-lamanya,” katanya.
Jelasnya, imej menterjemahkan personaliti dan gaya hidup seseorang malah ia membuatkan orang meletakkan kepercayaan kepada kita. Imej yang betul membuatkan seseorang itu mendapat perhatian ketika temu duga dengan bakal majikan.
“Apabila calon melangkah masuk ke bilik temu duga, perkara pertama dilihat adalah penampilan fizikal. Seterusnya barulah bahasa tubuh, cara memberi salam, cara duduk dan cara menjawab soalan,” katanya.
Etika yang tidak harus dipinggirkan ialah bertingkah laku yang betul. Kita harus sentiasa peduli dengan perasaan dan harga diri orang lain. Harus menjaga hati dan air muka orang lain terutama ketika sesuatu majlis.
Ada majlis tidak sesuai berpakaian ranggi dan tidak sesuai bermekap tebal.
Semua itu harus diambil perhatian supaya gaya kita tidak menimbulkan rasa tidak selesa pada orang lain.
“Begitu juga dalam etika meja makan, jika teman sebelah terambil sudu yang sepatutnya kepunyaan kita, tidak perlu kita memberitahunya yang dia mengambil sudu kita kerana itu akan menjatuhkan air mukanya. Minta saja set sudu yang baru. Amalan ini sebenarnya selari dengan tuntutan agama Islam supaya menjaga aib orang lain,” katanya.
Bersalaman adalah cara permulaan perkenalan yang paling popular, tetapi budaya dan agama membuatkan tidak semua orang selesa dengannya.
Sekiranya tidak selesa bersalam dengan bukan mahram, tolak dengan santun dan manis. Gantikan dengan menunduk tanda hormat.
Untuk mendapatkan impak mesra pada setiap pertemuan walaupun ia pertemuan pertama, orang sering terlalu mencuba sehingga terbawa-bawa bertanya soalan peribadi. Ada yang bertanya mengenai taraf perkahwinan, jumlah anak, kelulusan dan kecenderungan politik. Empat soalan itu sebenarnya sangat peribadi dan sensitif pada sesetengah orang. Jangan sesekali bertanya mengenai jumlah gaji!
Kata Salina, memang tidak manis bertanya soalan yang bersifat peribadi dan ia seeloknya dielakkan.
“Begitu juga sekiranya kita dikritik secara berdepan dalam sesuatu majlis, elok berdiam diri dan elakkan membalas kerana itu boleh membawa kepada pertengkaran dan saling sindir menyindir,” kata Salina.