Impak ‘joie De Vivre’

Satu perkara yang pasti, denim atau jean tidak pernah lapuk ditelan zaman. Biar apapun trend muncul musim demi musim, celana denim tetap menjadi pilihan sama ada untuk gaya santai mahupun elegan.

Lazimnya bagi si muda, ia pakaian asas dalam gaya seharian yang sesuai digandingkan dengan apa jua busana pilihan sama ada kemeja-T atau kemeja, malah kadangkala bersama pakaian tradisional.

Untuk golongan lebih matang, denim biasanya sekadar pilihan hujung minggu kerana citranya yang ringkas dan santai.

Apapun, seluar jean kini diangkat sebagai satu keperluan pakaian dalam hidup seseorang. Walaupun hanya sepasang jean dalam simpanan, ia tetap memainkan peranan signifikan dalam hidup masyarakat dan penggunaannya tidak lagi terhad kepada aktiviti santai serta kasual semata-mata.

Tidak lengkap kehadiran satu-satu musim tanpa disertakan himpunan celana jean pelbagai rupa yang sesetengahnya menjadi tanda pengenalan bagi beberapa jenama fesyen ternama dunia.

Saban musim, Giorgio Armani pasti tampil dengan koleksi seluar jean yang diangkat sebagai medium penceritaan dunia fesyen kota metropolitan.

Bergerak atas label Armani Jeans, himpunan musim ini terarah kepada impak ‘joie de vivre’ (keseronokan kehidupan) sambil menikmati percutian di pantai Itali yang mendamaikan.

Ia tafsiran ideal kepada koleksi kapsul Armani Jeans terutama pada himpunan Denim Lover yang membawa kembali lagak sartorial pada helaian denim untuk wanita.

Bagaimanapun, ton dan struktur pada seluruh helaian juga sengaja ditampilkan minimal, sekali gus menjadikan koleksi ini tampak ringkas, namun dititipkan nada sofistikated.

Celana denim hadir dalam beberapa potongan moden serta klasik, selain pilihan rona asas yang menggambarkan kesan sejarah jenamanya.

Sebagai tambahan kepada kemeja sutera putihnya, himpunan ini memperkenalkan sut jean terdiri daripada jaket blazer dan celana formal paras lutut di samping gaun pendek serta jean berpinggang tinggi.

Tanpa mengetepikan alam sekitar, koleksi ini menampilkan fabrik mesra alam antaranya kapas organik untuk jean ‘skinny’.

Sementara itu, Armani Jeans turut mempersembahkan himpunan Beauty Jeans iaitu projek khas untuk wanita yang mengambil berat mengenai bentuk fizikal serta kesihatan mereka.

Jean yang melekap cantik di tubuh dihasilkan menggunakan Emana(R) iaitu benang inovasi yang dibentuk menerusi kristal mineral. Apabila berinteraksi dengan kulit, ia membantu merangsang peredaran mikro, meningkatkan keanjalan kulit dan mengurangkan masalah pada kulit.

Justeru tidak hairanlah Armani Jeans mengangkat himpunan Beauty Jeans ini sebagai pakaian masa depan untuk wanita moden.

Tidak ketinggalan himpunan celana jean Made In The World yang hadir dalam edisi terhad. Himpunan ini meraikan penghasilan denim di seluruh dunia dengan menggabungkan beberapa negara dan budayanya.

Koleksi ini terdiri daripada tiga padanan ikonik jean juga kemeja yang dijual berasingan dan dibuat di Itali, Jepun serta Amerika Syarikat.

Untuk setiap pasang, rantaian penghasilannya boleh mengesan negara asalnya menerusi tenunan khas pada setiap pengeluaran.

Kali pertama ia dipasarkan pada November 1981 bagi meraikan tahun pelancaran kewujudan Armani Jeans, setiap helaian dikepilkan bersama bendera negara pengeluar.

Kemeja denim dari Itali dibuat daripada tepi sutera yang dianyam bersama denim lalu dilengkapi bandana di bahagian poket hadapannya.

Celana jean dari Amerika Syarikat dan Jepun pula hadir dengan gelang khas.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,515 views