Impak Solekan Segar

GADIS ini begitu bersahaja. Rambut disisir rapi dengan wajah polos tanpa sebarang solekan. Seluar denim dan kemeja menjadi pilihan.

Katanya, dia jarang bersolek kerana tidak tahu bagaimana memulakannya. Hanya sekiranya ada majlis rasmi yang memerlukan dia berdandan cantik barulah pengilat bibir serta bedak asas disapu pada wajah. Namun hasilnya tidaklah secantik jurusolek profesional.

“Mujur kulit tidak menghadapi masalah atau parut kekal akibat jerawat. Namun saya suka sekiranya didandan cantik kerana dapat melihat perubahan wajah,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Cat.

Cat beruntung kerana memiliki kulit cerah tanpa sebarang cela. Malah bentuk wajah bujur sirih dengan tulang pipi yang sedikit menonjol membantu menyerlahkan penampilan selepas didandan.

Menurut jurusolek Maybelline, Fauziah Ismail atau senang disapa Gee, setiap orang berkeinginan untuk tampil cantik dan menawan namun ramai tidak tahu teknik memadankan warna serta cara sapuan.

Akibatnya walaupun mereka menggunakan produk mahal, hasilnya belum cukup menyerlah.

“Padanan rona sama ada bedak asas, pembayang mata atau gincu harus serasi dengan warna kulit. Ini kerana rata-rata wanita memiliki rona kulit berbeza iaitu cerah, sawo matang dan gelap yang terangkum dalam jenis berminyak, kombinasi, semula jadi atau sensitif.

“Pengetahuan mengenai rona dan jenis kulit akan lebih memudahkan wanita membuat pilihan,” katanya yang banyak bekerja dalam produksi pengiklanan, drama dan filem.

Tambah Gee, untuk kekal menawan terutama ketika menghadiri majlis bertema, rona pembayang mata dan celak memainkan peranan penting. Sapuan mengikut tema majlis serta warna pakaian turut menyumbang kepada penampilan segar dan memikat.

Kini solekan menggunakan celak tebal pada kelopak mata mampu memberikan impak berbeza. Solekan ala mata kucing serta smokey masih menjadi pilihan ramai.

“Cuma oleskan celak menutupi bahagian akar bulu mata dan lentikkan sedikit pada bahagian hujungnya. Celak cair memberikan sapuan berbeza namun bagi mereka yang kurang biasa boleh menggunakan celak jenis batang.

“Apabila sudah lengkap keduanya, sapuan pembayang mata campuran rona gelap dan cerah seperti coklat, ungu, biru, merah jambu dengan pembayang mata keemasan sesuai digayakan pada waktu waktu siang.

“Untuk majlis malam pula jangan bimbang menggunakan palet cerah seperti merah jambu, hijau, jingga atau ungu lembut pada mata kerana ia akan memberikan penampilan menawan. Apatah lagi apabila terkena simbahan cahaya neon yang pasti akan menambah seri.

“Anda boleh juga menggunakan pembayang mata mengikut warna baju. Kemudian sapukan gincu merah jambu dan pengilat bibir untuk menyeimbangkan warna pembayang mata supaya kelihatan lembut,” ujarnya.

Gee yang berpengalaman dalam solekan pengantin juga memberitahu, solekan untuk remaja atau wanita muda biasanya tidak perlu terikat dengan rona gelap. Warna cerah akan membuatkan mereka tampil ranggi dan anggun dengan cara tersendiri.
Paling penting bukan saja solekan, pakaian dan dandanan rambut turut memainkan peranan utama.

“Bagi mereka yang ingin menonjolkan solekan, anda boleh membuat sanggul kecil dengan kemasan pada bahagian hadapan. Kemudian pilih anting-anting comel untuk kekal menawan,” jelasnya.

Apa kata Cat:

“Saya sukakan solekan gaya remaja kerana membantu membuatkan saya tampil segar dan menyerlah. Kini saya semakin memahami mengenai pemilihan rona alat solek serta teknik sapuan pada wajah.

“Rona segar alat solek Maybelline mampu memberikan gaya berbeza terutama ketika menghadiri majlis minum petang, koktel atau hari jadi. Ringkas dan menawan sesuai dengan usia.”

Tip solekan malam:

Penyamar noda perlu dipakai dengan jari dan tekap pada kawasan yang perlu.

Pakai bedak asas jenis cecair terlebih dulu sebelum bedak kompak. Ini bagi memastikan solekan tampak lebih tebal dan lembut.

Ingat solekan malam perlu kekal lama, untuk itu pemakaian satu jenis bedak asas tidak memadai.

Untuk tampil glamor, pilih pembayang mata berkilat dengan rona cerah kerana ia tampak lebih cantik terutama apabila disimbahi cahaya lampu. Namun, warna terang digunakan bukan jenis seperti merah dan jingga kerana ia akan memberi kesan sebaliknya.

Pastikan solekan pembayang mata, pemerah pipi dan gincu tidak terlalu tebal kerana ia mungkin membuatkan rakan semeja berasa kurang selesa.

Sentiasa membawa pengilat bibir kerana ia dapat memperbaiki penampilan biarpun selepas mengambil makanan berat.

Tip solekan siang:

Jangan keterlaluan dalam mengenakan solekan kerana ia akan mencacatkan penampilan.

Sekiranya anda hanya menerima undangan, elakkan memakai penggaris mata terlalu gelap dan tebal kerana ia hanya akan merosakkan solekan.

Selain itu, memakai maskara juga perlu bersesuaian dengan mata. Terlalu banyak maskara boleh membuat bulu mata anda kelihatan seperti palsu.

Begitu juga dengan bedak asas, ia perlu sesuai warna kulit agar solekan tidak terlalu gelap atau terlalu cerah daripada warna sebenar kulit.

Pilih kombinasi rona cerah dan gelap untuk pembayang mata kerana ini akan menambah kesegaran pada penampilan. Menggunakan hanya satu jenis rona saja akan membuatkan solekan nampak kaku.

Gunakan gincu rona segar seperti merah jambu bersama pengilat bibir untuk tampil seksi.

Terima kasih:

Solekan dan dandanan: Gee menggunakan koleksi terkini Maybelline (016-2188 958).

Pengurus Perhubungan Awam, Bahagian Pengguna Produk L’Oreal Malaysia Sdn Bhd, Connie Ng

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,012 views