Impian Jadi Kenyataan

PAKAIAN lazimnya melambangkan perwatakan dan keyakinan seseorang wanita. Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya wanita lebih mementingkan kualiti, jenis kain dan reka bentuk pakaian mereka.

Begitu juga dengan himpunan pakaian jenama tempatan, Cacac (disebut “kaka” bermaksud persaudaraan wanita, seperti ditakrifkan dalam perkataan Melayu, kakak) yang tampil dengan rekaan bercirikan kelembutan yang begitu menawan kali ini.

Koleksi terbabit lahir daripada ilham sebuah cerita klasik, The Secret Garden yang mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan nyaris kehilangan harapan dalam hidupnya tetapi kecantikan alam semula jadi dan persahabatan memulihkan kembali semangatnya.

Jenama tempatan hasil rekaan selebriti antarabangsa, Lee Sinje yang dilahirkan dan dibesarkan di Kedah, Malaysia, ini ingin menyampaikan fesyen mewah yang mampu dimiliki semua.

“Tema kali ini menggunakan warna bertenaga dan cerah untuk memaparkan elemen harapan dan kemampuan golongan wanita moden yang sering sibuk dalam mengendalikan kehidupan harian mereka.

“Warna seperti ungu, merah fuchsia, hijau mauve, corak bunga-bungaan, mustard kuning, ungu cerah dan biru langit diketengahkan dalam koleksi ini,” kata pereka yang juga pemilik dan pengurus jenamanya, Lee Sinje.

Kainnya terdiri daripada kapas, rayon, sifon sutera dan sutera organza digunakan untuk menghasilkan tekstur yang romantik dan elegan manakala kain bersifat ringan ini sesuai untuk wanita moden.

Sasaran usia pemakai pula wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun dengan pilihan daripada pakaian koktel, kasual serta pakaian yang sesuai dengan cuaca panas.

Menerusi pengalamannya sebagai selebriti dan kini seorang isteri, Lee Sinje percaya wanita moden bukan saja mampu mengurus kerjaya dan keluarganya tetapi berupaya untuk memulakan kerjaya baru mereka atau mengejar impian tanpa risaukan umur masing-masing.

“Ia bagaikan satu impian yang menjadi kenyataan ketika memulakan kerjaya saya dalam industri fesyen. Ramai yang memberikan nasihat bahawa perniagaan ini berisiko. Sehingga kini, saya tidak pernah menyesal kerana memperoleh pelbagai pengalaman dari segi pemasaran, rekaan juga penghasilan pakaian.

“Saya meninggalkan kampung sejak berumur 19 tahun untuk mengejar kerjaya lakonan di Taiwan dan Hong Kong. Namun saya juga ingin pulang ke Malaysia untuk menyumbang sesuatu.

“Malaysia masih kampung saya dan amat gembira jika dapat berkongsi kejayaan dan kebanggaan saya dengan semua “kakak”. Justeru, jenama fesyen ini satu permulaan yang baik,” tambah Lee Sinje.

Koleksi baru Cacac bertemakan The Secret Garden ini akan dipaparkan di Parkson Pavilion, Parkson Gurney Drive dan Sunway Giza mulai April hingga Julai 2012.

Harga koleksi baru boleh didapati antara RM50 hingga RM500. Untuk maklumat lanjut, layari www.mycacac.com.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

728 views