Impian Tinggi Anak Manja

Pertama kali bersua muka, pasti ramai tidak menyangka gadis manis ini meminati sukan ekstrem, malah ‘berhati kering’ kerana tidak gentar melakukan aksi ‘backflip’ menggunakan basikal BMX.

Di sebalik perwatakannya yang lemah lembut, Nurhidayati Mohd Noor, 19, memiliki jiwa yang kental dan berani, serta mempunyai daya juang tinggi kerana tidak akan mengaku kalah selagi tidak menguasai sesuatu aksi ekstrem.

Baginya, sukan esktrem mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia membentuk seseorang menjadi lebih berdisiplin, tidak mudah berputus asa, berkeyakinan tinggi serta lebih matang.

“Pada mulanya ibu bapa saya tidak membenarkan saya aktif dalam bidang sukan basikal BMX ekstrem ini memandangkan saya perempuan.

“Mereka risau sekiranya saya tercedera, namun kesungguhan minat saya melembutkan hati mereka dan sebaik menginjak usia 17 tahun, ayah memberikan kebenaran selain menghadiahkan basikal BMX sempena ulang tahun hari lahir saya,” katanya.

Selepas memiliki basikal berkenaan, bermulalah episod baru dalam diri Nurhidayati atau juga dikenali sebagai Yatt dalam kalangan keluarga dan rakan rapatnya.

Ketika masih bersekolah menengah, dia berkunjung ke tapak aktiviti ekstrem di Seksyen 13, Shah Alam setiap hari minggu, tetapi selepas bergelar pelajar di Universiti Taylor Lakeside di Subang, jadual latihannya semakin padat kerana dia pasti akan berlatih menajamkan skil setiap kali punya kelapangan.

Anak bongsu empat beradik ini mula meminati sukan ekstrem berbasikal selepas menonton aktiviti itu di kaca televisyen selain sering membaca mengenainya di majalah.

Pertemuan dengan seorang rakan yang aktif dalam sukan itu ketika dia menghadiri kem matematik turut menjadi pendorong untuknya serius dalam aktiviti berkenaan.

Semakin lama, timbul rasa minat yang mendalam untuk mencuba dan sehingga kini Yatt boleh berbangga kerana tidak ramai wanita di Malaysia yang berani melakukan aktiviti ekstrem berkenaan.

“Saya sudah banyak menyertai acara ekstrem BMX yang dianjurkan di serata negeri dan setiap kali saya tiba, hanya saya saja perempuan yang lain semuanya lelaki.

“Bagaimanapun ia tidak sedikit pun melunturkan semangat untuk serius dalam bidang ini atau membuat saya berasa kekok kerana saya sudah mengenali ramai antara mereka yang boleh dianggap seperti satu keluarga,” katanya.

Mengakui manja dengan ibu bapanya, Yatt sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk menguasai sesuatu ‘trick’, apatah lagi sentiasa mendapat galakan daripada rakan-rakannya.

Rasa puas menyelubungi dirinya tatkala berjaya menguasai sesuatu aksi ekstrem biarpun berkali-kali tercedera akibat terjatuh.

Malah dia dan rakan-rakan berkunjung ke tapak esktrem di negeri lain misalnya Pulau Pinang dan Kedah semata-mata untuk mencuba bermain di situ pula.

Bergelar ahli Persatuan Berbasikal BMX, Yatt turut aktif berlatih berlumba dengan basikal kesayangannya bagi merebut kejuaraan.

Kini sedang dalam persiapan untuk mewakili Selangor dalam acara lumba basikal BMX di Sukan Malaysia (SUKMA) pada Mei ini, Yatt yang berasal dari Klang giat berlatih dengan mengayuh basikal antara 80 hingga 110 kilometer setiap hari.

Melihatkan dirinya yang bertudung, Yatt mengakui ia bukan penghalang atau mengganggu aksi ekstrem yang dilakukan, malah memberikannya kelebihan kerana mudah dikenali dalam kalangan peserta.

“Saya memasang impian untuk mewakili Malaysia dalam acara sukan lebih besar seperti Sukan SEA, Olimpik serta Simple Session yang mengumpulkan semua peserta BMX sedunia untuk bersaing berebut kejuaraan.

“Saya mahu menggalakkan ramai wanita menyertai aktiviti ekstrem berbasikal ini kerana ia sungguh menyeronokkan, tetapi pada masa sama menerapkan nilai murni dan sifat bertanggungjawab,” katanya.

Menganggap sukan esktrem BMX sebagai aktiviti sihat dalam bersosial, gadis itu juga berharap ada pihak sudi tampil untuk menjadi penaja kepada dirinya supaya dapat membakar semangat yang lebih tinggi dan mampu menyertai acara lebih besar.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

621 views