Indah Bak Berlian
Ciri mewah dan eksklusif yang dimiliki hiasan berlian turut menarik perhatian pereka Suffian Tugiman untuk menamakan koleksi pertamanya sebagai Diamonds.
Menerusi koleksi berkenaan, Suffian menampilkan 18 rekaan adibusana untuk wanita menggayakannya pada hari bahagia mereka. Di sebalik potongan kontemporari, seakan-akan luhur identiti santun mempelai dengan persalinan yang jelas terarah pada rekaan yang memberi tumpuan perincian, material dan warna suci.
Suffian akui cuba lari daripada rekaan biasa dan memilih busana pengantin sebagai eksperimen seni pertamanya.
“Koleksi ini menyerlahkan ekspresi rekaan yang ada jauh di sudut hati saya. Ia sarat dengan elemen mewah dan imej menggoda wanita,” katanya ketika ditemui pada majlis peragaan koleksi berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.
Keistimewaan rekaan busana pereka ini jelas terserlah apabila dia mengetengahkan konsep minimalis dengan memberi tumpuan pada potongan moden, gaun kembang serta rekaan ala duyung bagi menyerlahkan kelangsingan mempelai.
Untuk sesuatu rekaan baju pengantin yang cantik, katanya, ia tidak semestinya terlalu sarat dengan hiasan. Sebaliknya, jika menggunakan kombinasi fabrik yang sesuai seperti kain sifon dan renda cord, rekaan tetap menyerlah dan mencuri perhatian.
“Dua material itu sesuai dijadikan busana disebabkan sifatnya yang lembut dan selesa dipakai. Apabila digabungkan dengan potongan rekaan berbentuk panel lapan, busana itu tampak beralun lebih cantik apabila digayakan mempelai,” katanya.
Memilih rona krim lembut dan putih untuk koleksi berkenaan, Suffian berkata, warna berkenaan sememangnya tidak dapat lari menjadi pelengkap identiti busana pengantin.
“Putih menggambarkan ketulusan serta kesucian hati pasangan dua sejoli. Ia turut menyerlahkan ikatan cinta suci menerusi perkahwinan yang diterjemahkan pada busana cukup indah bertemakan kisah khayalan,” katanya.
Bagi menambah pesona dalam pemilihan warna lembut itu, Suffian tidak ketinggalan menyelitkan perincian indah tampalan renda pada rekaannya untuk memastikan ia kekal malar segar.