Inspirasi Empat Kota Dunia
TAMPIL menyerlah dengan himpunan koleksi Cheap and Chic musim luruh dan sejuk 2011/2012, Moschino jenama yang dihasilkan pada 1983 oleh Franco Moschino hadir dengan gaya anggun dan menawan inspirasi daripada empat kota terkemuka dunia Milan, London, Paris dan New York.
Pengarah Kreatif Rossella Jardini nyata kreatif dalam menzahirkan idea dan kreativiti pada lakaran fabrik yang diterjemahkan pada setiap persalinan ketika pertunjukan fesyen dan pembukaan butik mewah Moschino di Suria KLCC baru-baru ini.
Malah pengalaman dalam menghasilkan rekaan bersempena Sukan Olimpik musim sejuk pada 2006 di Turin serta menaja padanan selebriti terkenal Kylie Minogue dan siri jelajah Madonna Sticky Sweet memberi peluang berharga kepada Jardini dalam menzahirkan rekaannya.
Moschino kini berada dalam kedudukan penting di pentas peragaan antarabangsa, lengkap dengan sejarah tersendiri, konsisten dalam kesinambungan menghasilkan padanan daripada himpunan Love dan Cheap and Chic yang menjadi tanda kepada gaya anggun dan moden masa kini.
Sejak 1994, Rossella Jardini bertanggungjawab membina imej serta mengekalkan pendekatan gaya dan falsafah hidup selepas kematian penciptanya Franco Moschino pada 18 September 1994. Kini hasil kepakarannya Moschino membina label jenama yang gah di seluruh dunia.
Untuk koleksi sedia pakai Cheap and Chic 2011/2012 Jardini menghasilkan rekaan daripada empat bandar termasyhur dunia. Bermula dengan kota persinggahan fesyen terkemuka Milan, setiap padanan hadir dengan palet klasik dan konservatif namun masih mengekalkan gaya moden masa kini. Menyerlah dengan kot dan jaket pada padanan gaun yang diberi perincian manik dan sekuin berkilau. Warna-warna diterjemahkan sebagai latar kepada suasana bandar. Bagi Milan, jenama ini memilih rona dominan seperti kuning air dan krim yang nyata boleh digayakan untuk setiap acara.
Seterusnya Jardini mengadaptasi inspirasi gaun singkat dengan cetakan telefon bagi menyerlahkan kemodenan kota London yang menjadi pusat fesyen terkemuka dunia. Setiap padanan gaun serta skirt diperkemaskan dengan fabrik kain bulu berkilau serta berbulu untuk gaya musim sejuk. Mengambil inspirasi rona merah tanda berani.
Paris yang terkenal dengan Menara Eiffel dipindahkan pada lakaran gaun singkat penuh gaya. Bukan saja pada pakaian malah cetakan eksklusif ini juga hadir pada beg sandang yang tentunya sinonim dengan gaya ringkas dan menyerlah. Seluar denim dipadankan jaket, serta baju berbulu menambah keanggunan wanita.
Himpunan Cheap and Chic seterusnya berlabuh di New York dengan rekaan jaket dipadankan blaus untuk gaya sporty dan ranggi. Menyerlah dengan rona putih, hitam dan ungu pada jaket, blaus dan denim yang pastinya menambah gaya chic wanita.
Semua koleksi sedia pakai Moschino Cheap Chic kini boleh didapati di butik Moschino seluruh negara.