Inspirasi Gaya 90-an

Pada musim di mana setiap peragaan meletakkan gaya jalanan era 90-an sebagai cetusan inspirasi, DKNY tampak lebih menyerlah.

Lagipun, jenama inilah yang sebenarnya berani mengetengahkan leotard, kemeja berhud dan kemeja penuh logo pada zaman itu, justeru bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila rumah fesyen dari New York ini kembali menghidupkan semula gaya itu.

Berlatarbelakangkan lagu No Sleep Til Brooklyn, DKNY membuka musim ini dengan dungari biru nila, blazer, kot trench dan topi bola lisut.

Di beberapa bahagian pada jaketnya pula terpampang perincian huruf dan nombor ulang tahun penting sepanjang 25 tahun jenama itu tampil di pentas peragaan dunia.

Cetakan bandana sengaja dihamparkan pada parka, beg galas dan pakaian renang. Pakaian renang DKNY bagaimanapun bukanlah helaian tipikal di kolam renang tapi sang perekanya, Donna Karan, mengubahnya sebagai salah satu helaian padu-padan dengan siluet dramatik.

Turut disertakan sentuhan jejaring kait khususnya pada skirt dan celana bagi menonjolkan gaya urban getto si penggemar fesyen New York.

Donna juga gemarkan padanan eksentrik dalam setiap helaian, antaranya gaun feminin bersama kasut sukan potongan tinggi atau blazer adrogini dengan sepatu bertumit tinggi dan dilengkapi beg tangan feminin citra sederhana.

Dedikasi terhadap logo dan corak besar tidak ketinggalan ditonjolkan sebaiknya pada kebanyakan helaian.

Terpancar tenaga dan keseronokan DKNY meraikan ulang tahun ke-25 mereka saat gaun rona ceria tampil di peragaan.

Palet rona jingga merjan, rangkaian pastel dan biru elektrik saling berebut mencuri perhatian daripada rona monokrom yang melatari hampir sebahagian koleksinya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

543 views