Internet Realisasi Impian

TEKNOLOGI moden seperti kemudahan Internet memberi banyak kelebihan kepada semua pihak untuk lebih mudah saling menghubungi seterusnya meluaskan rangkaian kenalan.

Kelebihan berkenaan memudahkan segala macam urusan termasuk urusan perniagaan yang boleh dijalankan secara dalam talian tanpa banyak masalah.

Jika 20 tahun lalu, seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu mempunyai kedai tradisional yang bersifat fizikal, kini dengan Internet siapa saja boleh berniaga.

Perniagaan sememangnya memberi pulangan lebih lumayan daripada bekerja makan gaji dan hakikat itu turut diakui usahawan di alam maya.

Kemudahan Internet juga membuka dimensi baru kepada wanita untuk mencari pendapatan sampingan ataupun utama, demi menanggung kos hidup yang semakin meningkat.

Ada yang melakukannya secara serius tetapi ada juga sekadar suka-suka memandangkan perniagaan secara talian mudah dan menyeronokkan.

Wanita adalah golongan yang sering mendapat kelebihan melalui perniagaan dalam talian kerana mereka insan paling sibuk dengan urusan keluarga dan pada masa sama, sanggup bekerja untuk mempunyai pendapatan sendiri.

Bagi Marduwati Ismail, 32, minat berniaga sudah lama bercambah dalam diri dan kemudahan Internet membolehkannya merealisasikan impian bergelar ahli perniagaan tanpa perlu berusaha-payah membuka kedai.

Perniagaan melalui syarikat Petrocimec Sdn Bhd yang diusahakannya dengan menggunakan Internet sebagai pengantara memberi banyak kemudahan untuknya menguruskan urusan jual beli bukan saja dalam negara malah pesanan dari pelanggan luar negara.

“Lebih mudah menjalankan perniagaan dalam talian dan pelanggan juga lebih pelbagai selain barangan yang dijual lebih mudah diketengahkan kepada orang ramai.

“Sekiranya berniaga hanya di kedai, produk bersifat statik dan kena tunggu pelanggan datang.

“Lagipun sekiranya berniaga cara tradisional, agak ‘penat’ hendak menerangkan mengenai produk berulang kali tetapi dengan Internet, itu semua tidak perlu kerana pelanggan boleh baca di laman web,” katanya.

Marduwati berkata, walaupun perniagaan barangan komoditi yang dijalankannya mengambil masa sebelum mendapat keuntungan, hasilnya sangat memuaskan.

Apabila berurusan dengan pelanggan luar negara, terdapat banyak prosedur yang perlu dibuat tetapi ia berbaloi apabila pulangan yang diterima agak lumayan.

“Peluang perniagaan menerusi dalam talian lebih luas, lebih realistik dan menawarkan peluang yang lebih banyak.

“Setakat ini perniagaan yang saya usahakan menunjukkan kemajuan memberangsangkan hingga saya mempunyai perancangan untuk mengembangkannya.

“Saya bercadang untuk meluaskan perniagaan dan menjadi pembekal tunggal barangan komoditi kepada pasar raya besar di Malaysia,” katanya.

Memulakan perniagaan sejak 2011, Marduwati berkata, berbeza dengan wanita lain yang lebih gemar menjalankan perniagaan bersifat kewanitaan seperti pakaian dan tudung, dia memilih produk komoditi kerana ia barangan kegunaan harian.

Lagipun, barangan komoditi mempunyai pelanggan yang lebih luas dan jangka hayat yang panjang. Dia turut menggalakkan lebih ramai wanita berkecimpung dalam perniagaan yang diusahakan menerusi dalam talian kerana ia lebih mudah diuruskan.

“Perniagaan menjanjikan pulangan yang lumayan sekiranya ia dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’,” katanya.

Sementara itu, Aduni Din, 35, mengakui status sebagai isteri dan ibu kepada empat anak kecil membuatkannya lebih selesa bekerja dari rumah dan Internet memberi peluang kepadanya untuk mencari pendapatan sampingan tanpa mengabaikan keluarga.

Melalui peniagaan Nina Cybercakes yang sudah diusahakan sejak lapan tahun lalu, dia sangat berpuas hati kerana masih dapat membesarkan anak di depan mata.

Sebaik mendirikan rumah tangga, suami memintanya berhenti kerja demi menumpu perhatian kepada keluarga.

“Saya kemudiannya berjinak-jinak dengan perniagaan kek yang dijual melalui Internet dan syukur kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Suami turut memberi sokongan padu apabila sanggup bawa kek ke tempat kerjanya untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan yang kemudiannya membuat tempahan,” katanya.

Aduni berkata, minat mendalam dalam pembuatan dan menghias kek menguatkan hatinya untuk berniaga secara dalam talian.

Dunia perniagaan melalui dalam talian juga mempunyai cabaran tersendiri dan seseorang perlu kuat sekiranya ingin berjaya selain tidak mudah rasa putus asa sekiranya tidak mendapat pelanggan.

“Perniagaan yang saya usahakan ini memang mendapat pulangan yang baik kerana saya menjaga kualiti kek yang dihasilkan.

“Disebabkan itu, saya mempunyai pelanggan tetap yang sudah tahu hasil kerja saya dan ini lebih memudahkan urusan perniagaan,” katanya.

Aduni berkata, dia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka kedai kerana sudah seronok berniaga secara dalam talian, lagipun ia lebih mudah tanpa banyak prosedur.

Melalui perniagaan secara dalam talian, pelanggan yang mencarinya, bukan sebaliknya dan itu membuatkan dia lebih cenderung meneruskan perniagaan sedemikian.

“Saya sangat menggalakkan wanita lain berkecimpung dalam perniagaan melalui dalam talian kerana ia lebih mudah dan memberi pulangan yang baik.

“Tetapi mereka perlu cekal, rajin, berdisiplin dan cekap menguruskan masa dengan baik supaya boleh berjaya,” katanya.

Aduni berkata, wanita yang berminat berniaga juga perlu pandai menarik pelanggan, antaranya menghasilkan produk berkualiti serta produk yang unik dan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

850 views