Isadora Kini Chef Berjaya
Tidak semua orang bernasib baik berpeluang bekerja dalam bidang yang mereka minati, malah ramai yang terpaksa bersabar dan meneruskan tugas di pejabat biarpun dalam hati meronta-ronta mahu mencuba sesuatu yang baru atau setidak-tidaknya perkara yang lebih dekat di hati masing-masing.
Namun impian dan realiti adalah dua perkara berbeza, apatah lagi ia membabitkan kos sara hidup dan kehidupan berkeluarga yang tidak boleh diperjudikan sesuka hati.
Apabila mengambil kira semua kelebihan dan kekurangan akibat sesuatu tindakan, ramai yang ‘terpaksa rela’ menjalani kehidupan sebagai pekerja berdedikasi demi melunaskan hutang setiap bulan serta membuat simpanan demi hari tua walaupun terpaksa melupakan minat sebenar.
Selain bimbang hilang mata pencarian, semuanya digagahi berikutan tidak memiliki sebarang keyakinan untuk memulakan cabaran baru dalam kehidupan. Apatah lagi kebanyakan kita dibesarkan dalam suasana yang tidak menggalakkan pengambilan risiko kerana dikhuatiri memakan diri.
Namun, berbeza dengan Isadora Chai, 34, yang bukan saja pernah menghabiskan masa selama beberapa tahun dalam bidang bioteknologi, malah begitu cemerlang dalam kajian sel stem yang dijalankannya sehingga mendapat pengiktirafan dalam kerjaya.
Dia menghabiskan empat tahun di Singapura sebagai pelajar dan melanjutkan pengajian di Universiti New South Wales, Australia dalam bidang bioteknologi, biokimia dan pemasaran dengan kepujian dalam tesis berkaitan kajian sel stem.
Walaupun mempunyai minat mendalam dalam bidang masakan, rasa bersalah yang bersarang dalam diri bagi memenuhi impian ibunya yang juga ibu tunggal untuk berjaya dalam bidang yang dipelajari membuatkan Isadora menyertai dunia farmaseutikal.
Berada pada tahap selesa dalam kerjayanya sebelum ini tidak membantu mengurangkan rasa tidak keruan apabila memikirkan impian yang belum jua terlaksana hingga ia menjadi seakan-akan suatu tekanan dalam diri.
Disebabkan terlalu tertekan dengan keadaan itu, Isadora pernah mengambil keputusan drastik dengan membeli tiket penerbangan ke luar negara untuk bercuti tanpa membawa pakaian, hanya bertemankan kad kredit.
Kehidupan serba pantas dengan gaji yang lumayan tidak mampu menggembirakannya, malah jauh di sudut hati dia terasa kosong, seolah-olah kehidupannya tidak bererti.
“Apabila pulang daripada bercuti, saya mempunyai suatu perasaan tidak mahu kembali ke tempat kerja dan saya tahu ia bukan satu petanda yang baik. Panggilan pertama yang saya buat sebaik pulang adalah menghubungi majikan dan memaklumkan saya akan berhenti kerja dan mahu menjadi chef.
“Panggilan kedua pula kepada ibu saya yang sememangnya sangat terkejut dengan tindakan saya. Mula-mula ibu sukar mengerti mengapa saya lakukan perkara ini, tetapi lama-kelamaan dia menyokong impian saya,” katanya yang kini memiliki sebuah restoran yang menghidangkan makanan Perancis, Bistro Table di Petaling Jaya.
Memiliki karakter ‘gila-gila’, sebaik meletakkan jawatan, Isadora bertekad untuk mengejar impiannya bergelar chef dan sanggup terbang ke Sydney. Di sana, dia belajar memasak dan bekerja di restoran bagi memahami selok-belok pengurusan perniagaan makanan.
Dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pencapaian akademik dan dikelilingi ahli keluarga yang bergelar peguam serta golongan profesional, Isadora mengambil jalan penuh risiko untuk mengejar impiannya.
Menurutnya, ia satu pengalaman yang membuka mata dan membuatkannya terasa lebih ‘hidup’ kerana dapat mencapai impian yang selama ini disemat kemas dalam hatinya.
Seorang yang rajin, berdisiplin dan berdedikasi, usahanya ternyata membawa hasil apabila restorannya mendapat perhatian ramai sehingga dia mendapat pengiktirafan sebagai antara tiga Chef Terbaik di Malaysia daripada buku panduan restoran Miele Guide di Asia pada majlis Anugerah Miele Guide dan American Express, baru-baru ini.
“Saya bertuah kerana dikelilingi mereka yang memberi sokongan kuat. Rakyat Malaysia sememangnya mempunyai semangat keusahawanan yang tinggi.
“Selepas hampir tiga tahun terbabit dalam menguruskan restoran, saya belum puas dan mahu mencipta lebih banyak hidangan menarik, berbeza daripada orang lain,” katanya.
Menurutnya, tidak sekadar mencipta resipi mengikut selera, dia juga menjadikan hal ehwal semasa termasuk politik sebagai sumber inspirasi untuknya menghasilkan menu dan menimbulkan suasana unik dan penuh ceria di restoran miliknya.
Selain menguruskan restoran, Isadora juga terbabit dalam perundingan restoran, penggayaan hidangan, rekaan pinggan mangkuk serta barangan kemas di samping menulis buku masakan.
“Bagi saya, jangan sekali-kali kita beritahu pada diri sendiri apa yang kita tidak boleh lakukan, tetapi perkara yang kita mahu lakukan dan berusaha menjadikannya realiti.
“Anda perlu menjadi seorang yang pandai memberi motivasi kepada diri sendiri supaya kuat semangat sekiranya ingin menjadi usahawan berjaya,” katanya.
Begitu juga halnya dengan Tee May Yee, 30, yang bertukar kerjaya daripada ahli korporat dengan sut kemas dan dihantar ke tempat kerja menggunakan limosin kepada pembuat aiskrim tiga tahun lalu.
Menurutnya, selepas tamat pengajian ijazah dalam bidang seni 10 tahun lalu, dia memegang jawatan di bahagian pengurusan korporat dan tugas pertamanya adalah di kota London.
Walaupun kerjayanya membuka peluang untuk mengembara ke luar negara selain menikmati pelbagai kelebihan daripada majikan, dia tidak mempunyai minat dan merasakan hidupnya hanya berkisar kerja semata-mata.
“Ketika bekerja di London, saya membeli sebuah mesin pembuat aiskrim. Disebabkan menjadi budaya di sana yang sering mengadakan parti di rumah, saya membawa aiskrim buatan sendiri ke setiap parti yang saya hadiri.
“Apabila ramai memuji aiskrim yang saya buat, saya mula berasa seronok dan merasakan membuat aiskrim bukan sukar, malah saya rasa amat gembira apabila dapat menghasilkan aiskrim yang lazat,” katanya.
Selepas empat tahun bertugas di London dan kontraknya hampir tamat, majikan menawarkan kontrak baru kepadanya yang akan membuatkan Tee terikat untuk empat tahun lagi dengan syarikat berkenaan.
Selepas berfikir semasak-masaknya, Tee mengambil keputusan untuk tidak menandatangani kontrak, sebaliknya mengemas semua pakaiannya dan pulang ke Malaysia untuk memulakan impian menjadi penjual aiskrim.
Dia kemudian bertemu rakan baiknya, Lee Ee Vee dan berkongsi idea mengenai rancangan membuka perniagaan aiskrim. Akhirnya mereka bersama-sama menyusun rancangan perniagaan sehingga tertubuhnya jenama aiskrim buatan tangan, The Last Polka sejak tiga tahun lalu.
Apa yang menarik mengenai aiskrimnya bukan sekadar pembungkusan yang menarik, malah rasa serta bahan yang diilhamkan daripada memori makanan penuh nostalgia bagi penduduk negara ini seperti gula Melaka, teh tarik dan pandan kaya.
Aiskrim yang dihasilkan dua rakan baik itu banyak berasaskan eksperimen bagi menghasilkan rasa paling unik dan boleh mengejutkan peminat dan pengkritik makanan di negara ini.
“Selepas kami bersetuju dengan idea ini, perkara pertama yang kami buat adalah menghabiskan masa yang lama dengan membuat pelbagai eksperimen untuk menghasilkan rasa aiskrim paling sedap.
“Apabila saya berjaya menjual keluaran aiskrim pertama, ia memberi semangat yang luar biasa untuk terus berusaha dan berjaya dalam bidang ini. Saya menjadi semakin yakin dan terus menghasilkan pelbagai perisa lain,” katanya.
Bermula tanpa sebarang pengetahuan mengenai perniagaan, lebih membanggakan, aiskrim keluarannya kini berada di 16 kafe dan restoran di seluruh Lembah Klang, menawarkan aiskrim gaya Perancis dengan rasa Asia.
“Kami bermula tanpa sebarang pelan perniagaan, hanya untuk mengejar impian. Saya masih bersusah payah untuk berusaha mencari bahan terbaik pada harga berpatutan bagi menghasilkan aiskrim yang lazat.
“Selepas, tiga tahun meninggalkan kerjaya dalam dunia korporat, saya tidak berasa menyesal, malah teruja untuk membina empayar perniagaan,” katanya.