Isopod Pindah Pesakit Kritikal [METROTV]

PEMAKAIAN peralatan perlindungan peribadi (PPE) bertujuan melindungi petugas barisan hadapan daripada risiko jangkitan Covid-19.

Ada satu lagi ‘senjata penting’ digunakan petugas terbabit bagi tujuan yang sama iaitu pengangkutan dan pengasingan pesakit (Isopod).

Namun, penggunaannya ialah untuk memindahkan pesakit kritikal dan berisiko tinggi menjangkiti orang lain.

Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Tuanku Canselor Mukhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Siti Sarah Md Zhahir berkata, pemindahan pesakit dilakukan sama ada antara wad di dalam hospital sama atau ke hospital lain dengan menaiki ambulans.

Beliau berkata, sebelum ini Isopod digunakan bagi pesakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan wabak Ebola.

“Peralatan ini lebih dikenali ramai selepas wabak Covid-19 melanda Malaysia yang merekodkan 6,742 kes setakat 12 Mei lalu.

“HCTM-UKM memiliki 10 Isopod yang dua unit ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan selebihnya di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Katanya, HCTM-UKM menerima Isopod setelah hospital itu dijadikan sebagai hospital Covid-19 bagi menampung bilangan pesakit yang meningkat April lalu.

“Ini sebagai persediaan berhadapan kes Covid-19 lebih teruk apabila pesakit memerlukan penggunaan Isopod.

“Sebaik saja menerima Isopod, jabatan ini menubuhkan satu unit Isopod yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan, dua paramedik (jururawat dan penolong pegawai perubatan) dan pemandu ambulans untuk mengambil tindakan terhadap kes yang memerlukan penggunaan Isopod.

“Kemudian, petugas unit ini (Isopod) diberikan latihan khusus mengenai tatacara yang betul mengendalikan peralatan berkenaan oleh pakar perubatan dari Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Dr Siti Sarah berkata, ia amat penting bagi melindungi petugas daripada dijangkiti Covid-19.

“Covid-19 disebarkan melalui titisan cecair pernafasan yang dilepaskan pesakit menerusi batuk dan bersin.

“Pesakit dalam tempoh inkubasi virus Covid-19, iaitu tempoh antara individu dijangkiti sehingga gejala penyakit ini timbul antara lima hingga enam hari dan boleh berlaku sehingga 14 hari.

“Dalam tempoh ini yang dikenali sebagai masa prasimptomatik, penghidap Covid-19 boleh menjangkiti ndividu lain walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit.

“Tetapi dengan menggunakan Isopod, risiko pesakit menjangkiti petugas barisan hadapan adalah rendah selain penggunaan PPE,” katanya.

Katanya, ini kerana, tekanan udara dalam Isopod adalah negatif, maka virus yang dilepaskan pesakit hanya dalam ruangan peralatan berkenaan.

“Isopod turut dilengkapi penapis udara zarah berkecekapan tinggi (HEPA) yang berfungsi menapis ruang udara apabila pesakit dimasukkan ke dalam peralatan ini.

“Penapis HEPA dan peralatan Isopod akan dinyah cemar menggunakan 70 peratus kandungan alkohol selepas digunakan bagi memindahkan pesakit.

“Terdapat beberapa jenis Isopod, tetapi fungsinya adalah sama. Perbezaan dapat dilihat ialah daripada segi reka bentuknya,” katanya.

Jelasnya, pengendalian peralatan ini perlu dilakukan secara berhati-hati dan cermat bagi mengelakkan ada bahagian Isopod yang tidak ditutup kemas.

Kata Dr Siti Sarah, sebab itu petugas unit Isopod perlu menjalani latihan berterusan untuk mengendalikan peralatan ini.

INFO

Langkah memindahkan pesakit dalam pemantauan atau Covid-19 ke Isopod

1. Pemeriksaan pemakaian PPE pasukan Isopod

2. Pembahagian tugas oleh pegawai perubatan atau pakar (ketua pasukan Isopod) kepada ahli pasukan yang terdiri daripada dua paramedik dan pemandu.

3. Pemeriksaan komponen Isopod

4. Pemeriksaan tekanan negatif Isopod

5. Pegawai perubatan di zon kritikal menyampaikan maklumat pesakit kepada ketua pasukan Isopod

6. Ketua pasukan Isopod mengambil alih dan mengarahkan penyediaan ubat-ubatan intravena atau infusi yang perlu dibawa

7. Zip Isopod dibuka

8. Bahagian atas Isopod dibuka

9. Bahagian atas dipegang oleh seorang paramedik bagi mengelakkan bahagian atas Isopod jatuh ke lantai.

10. Katil dirapatkan kepada pesakit.

11. Mesin pernafasan dialihkan ke katil Isopod terlebih dahulu.

12. Pesakit dimiringkan sebelah kanan untuk meletakkan papan di belakang pesakit. Pada masa sama, ketua pasukan Isopod akan memegang tiub pernafasan pesakit.

13. Pesakit dialihkan dengan menarik pesakit ke Isopod

14. Papan di belakang pesakit dialihkan.

15. Troli pesakit dialihkan.

16. Bahagian atas dan bawah Isopod dinaikkan.

17. Wayar monitor pada pesakit dipasangkan ke pesakit yang sudah tersedia daripada Isopod oleh paramedik.

18. Paramedik memberi ubat pengendur otot atas arahan ketua pasukan.

19. Bahagian atas Isopod ditutup setelah semua peralatan perubatan dan ubat-ubatan dimasuk serta dikemaskan.

20. Zip Isopod ditutup separuh.

21. Tiub pernafasan dikepit sebelum memindahkan tiub sambungan mesin pernafasan ke salur servis

22. Tiub penyambung di antara tiub pernafasan dengan mesin pernafasan (ventilator) ditanggalkan dan dikeluarkan melalui bahagian Isopod yang tidak dizip dan diberikan kepada ketua pasukan.

23. Ketua pasukan memasukkan sambungan tiub mesin pernafasan melalui saluran servis di Isopod dan paramedik akan menyambung semula tiub sambungan ke tiub pernafasan pesakit dan kepitan tiub tadi dilepaskan.

24. Ikat sambungan salur servis dan kemaskan dan zip Isopod sepenuhnya.

25. Pemeriksaan semula tanda vital (fungsi tubuh) pesakit sebelum memindahkan pesakit ke dalam ambulans.

26. Memindahkan pesakit ke dalam ambulans.

27. Memeriksa semula tanda vital pesakit dan tekanan negatif Isopod sebelum ambulans bergerak. Pasukan bergerak ke hospital yang diarahkan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

18 views