Istikharah Sang Perindu (Siri 16): Belum Sempat Terluka, Aku Temui Makna Perkasa

AKU teringin jadi Kak Ika. Selalu berfikir untuk menajamkan minda. Berfikir dan berfikir. Minda yang tajam akan melahirkan fikiran-fikiran yang hebat. Fikiran-fikiran hebat akan selalu diguna pakai dan jadikan panduan dan pedoman orang. Boleh jadi amal jariah, boleh jadi sedekah. Bila mati nanti, adalah juga saham yang aku tinggalkan.

Dan akupun berfikir tentang diri. Aku bermuhasabah bersungguh-sungguh.
Akhirnya aku berjumpa diriku sendiri. Perjalanan hidup di usia baru mendapat kunci kebebasan ini, sedarlah aku, setelah aku menikmati fragmen-fragmen kecewa yang menyesakkan dada, aku menjadi insomnia untuk mencari penawar terbaik agar kecewa tidak menjadi luka. Alhamdulillah belum pun sempat terluka, aku berjumpa makna perkasa.

Suara Mak Long menjerit merampas kekhusyukan aku melakukan senaman minda.
Fokus aku hilang terbang. Hish baru sahaja mendapat kata-kata secantik itu, ada sahaja yang mengganggu. Belum pun sempat kata-kata yang mantap itu melekat dalam fikiran, semuanya terbang dan melayang. Macam manalah aku nak jadi pemikir sehebat Kak Ika ini? Hish, ada sahaja halangannya!

Aku berlari dapatkan Pak Long. Tidak percaya apa yang aku lihat. Pak Long terbaring lemah di pangkuan Mak Long. Muka Pak Long pucat dan berpeluh-peluh.

Aku baringkan Pak Long di atas lantai. Aku teringat semasa ketika belajar pertolongan cemas di tahun pertama, bersama Olin, mengikuti program Basic Life Support, yang ketika itu berkobar-kobar mahu sertai program penyelamat di Gaza.
Insya-Allah aku akan ke sana juga, bersama Olin. Ya, bersama Olin.

“Pak Long.” Aku tepuk-tepuk tangannya. Dia hanya berdehem, walaupun matanya pejam, maknanya dia berikan tindak balas, mengatakan dia masih hidup. Aku baringkan dia. Bajunya aku longgarkan. Aku perhatikan nafasnya, dadanya turun naik dengan baik. Dia masih bernafas. Ya dia masih bernafas. Alhamdulillah. Aku pegang pergelangan tangannya.

Ya Allah, ke mana perginya denyutan nadi pak Long?

Dadaku mula berdetap-detup. Aku rasa berdebar satu macam. Aku sempat pandang muka Mak Long. Muka Mak Long cemas, takut, bimbang, sedih dan segala macam perasaan yang senada dan seerti dengannya. Aku teringat peti pertolongan cemas dalam kereta. Aku meloncat dan berlari ke kereta. Aku jinjit dan letakkan kotak itu di sebelah Pak Long.

Dada aku berdebar-debar. Tangan aku tergigil-gigil keluarkan set tekanan darah dan set ujian glukos dalam darah. Aku lekapkan alat pelekap di lengan kanan Pak Long. Aku tekan butangnya. Alhamdulillah tekanan darah Pak Long walaupun agak rendah tetapi masih dalam keadaan selamat.

“Pak Long, Jehan kena buat ujian gula dalam darah Pak Long. Pak Long jangan takut ya. Jehan nak ambil darah Pak Long sedikit sahaja.” Aku pegang hujung jari Pak Long. Baru mahu aku cucukkan jarum, dia menepis tanganku. Aku terkejut, nasib baik jarum di tanganku tercucuk ke tangan sendiri.

“Pak Long nak baik kan? Jehan nak baikkan Pak Longlah ni. Nanti bila Pak Long baik, bolehlah hisap rokok banyak-banyak. Pak Long suka hisap rokok kan?
Rugilah, ada lima kotak lagi tu. Siapa nak hisap? Jangan membazir. Membazir itu sahabat syaitan.”

Aku tahu, Pak Long tak apa-apa, cuma lemah, mungkin alami tekanan. Sengaja aku buat dia marah, sekurang-kurangnya dia dapat bebaskan emosi dia. Lagipun, telinga aku, telinga Mak Long dan telinga ibu sudah pun kebas dibuis marah Pak Long yang susah dikawal itu.

Dia mendengus. Aku tahu dia marah. Hish apalah Pak Long ni, dalam keadaan kritikal macam ni, dia masih berburuk sangka pada aku. Aku betul-betul nak selamatkan dia, dia mesti sangka aku nak hantar dia ke alam satu lagi. Aku bukannya nak ambil darahnya satu cawan pun, aku cuma perlukan setitis kecil sahaja untuk mengetahui tahap glukos dalam darahnya.

“Pak Long sabar ya, Jehan nak tolong Pak Long ni.” Aku picit hujung jarinya. Dia tepis tangan aku.

“Jangan macam ni Pak Long, nanti baik-baik Jehan nak cucuk sekali dengan hujung jarum yang kecil ni, nanti tercucuk pula empat puluh kali. Hah jari siapa yang hancur nanti? Jari Pak Long juga kan?”

Aku suruh Mak Long pegang tangan Pak Long. Kerja aku dipermudahkan.
Alhamdulillah, paras gula dalam badan Pak Long tidak membimbangkan. Tapi Pak Long nampak lemah, aku perlu menghantarnya ke hospital.

Pak Long menggeleng lemah apabila aku pujuk dia untuk dihantar ke hospital.
Mak Long pandang aku, matanya mengharap agar aku dapat membuat keputusan yang betul dan memberi kebaikan pada Pak Long. Sebenarnya dalam keadaan begini, aku ingin meminta pendapat Mak Long, tetapi siapalah Mak Long untuk memberi keputusan dalam hidup Pak Long. Selama ini dia tidak pernah diberikan ruang dan peluang untuk itu. Keputusan muktamad yang dia kena terima dan buat adalah ikut apa sahaja keputusan dan kata-kata Pak Long.

Terfikir juga aku untuk fon kak Ika. Tetapi aku rasa aku kena selamatkan Pak Long dan hantar dia ke hospital dahulu, baru aku beritahu dia. Aku tak mahu Kak Ika susah hati.

Aku pujuk lagi Pak Long untuk dihantar ke hospital. Dia masih berkeras.
Tiba-tiba aku teringat Syafik. Ya, tidak ada cara lain, aku mesti dapatkan khidmat dia. Soal mata, soal hati aku pada dia, itu jadi persoalan yang ke seratus, pokok persoalan utama, dia kena pujuk Pak Long.

Entah apa ilmu yang dia pakai, Pak Long akan ikut apa sahaja kata Syafik.
Tapi, walaupun aku tak gunakan apa-apa pun ilmu, Syafik akan ikut apa sahaja kata-kata aku. Hairan juga aku. Hemm, hairan tak hairan, masa inilah aku kena gunakan dia. Gunakan untuk kebaikan, aku yakin, aku tidak lakukan kesalahan.
Cepat-cepat aku dail nombor fon Syafik.

Pak Long nampak lemah, aku letakkan dua bantal di kepalanya. Aku beritahu dia, sekejap lagi Syafik sampai. Mendengar nama Syafik, muka Pak Long yang pucat nampak berdarah. Dia mengangguk. Aku macam terdengar-dengar hatinya berkata, Syafik itu anak imam Mursyid. Ilmu agamanya tinggi, guru al-Quran, imam muda di kampung, guru bahasa Arab Sekolah Menengah, kau nak cari lelaki macam mana lagi Jehan?

Aku pegang tangan Pak Long. “Pak Long tak apa-apa. Cuma penat. Berehat ya. Jehan dan Mak Long, tunggu Pak Long di sini.”

Sementara menunggu Syafik sampai aku baca catatan hati Kak Ika untuk hari yang keempat. Catatan yang tulus mulus, tidak ada sekatan di mana-mana.

Hendry datang dalam hidup saya.

Bermula daripada pensyarah pelawat, hubungan kami jadi akrab. Dia minta saya bawanya melawat pasar seni. Saya tidak punya pilihan, luangkan masa untuk temankan dia.

Kalaulah Jehan tahu, dia tentu tidak setuju dengan tindakan saya. Jehan? Dia pasti saya beritahu.

Dia selalu jadi penasihat saya, walaupun jarang-jarang sekali saya minta nasihat darinya.

Kami di pasar seni. Bermula dari langkah pertama matanya melilau ke sana ke mari dengan pandangan yang kagum.

“Hemm Pasar Seni ni, penuh dengan khazanah seni budaya Melayu. Saya kira, bukan hanya budaya Melayu di Malaysia, tapi kelihatan budaya bangsa Melayu di seluruh Nusantara dan dunia ada di sini. Saya sukakan Pasar Seni ini Fikah.”

Dia berjalan di sebelah saya. Wajahnya tenang. Entahlah mungkin saya silap, tapi saya dapat rasakan, dia memang budiman. Apa yang lahir dari hatinya, bukan hanya kata-kata untuk mengambil hati semata-mata. Dia berkata jujur. Saya nampak kejujuran itu ada di matanya.

“Tulisan khat? O cantik sekali. Nilai seninya tinggi.”

“Bukan setakat seni budaya Melayu, seni tamadun Islam pun ada di Pasar Seni ini Hendry.” Saya pandang ke arah kedai yang menjual ukiran ayat-ayat al-Quran dan doa-doa. Perlahan-lahan kaki saya melangkah ke situ.

Tidak percaya apa yang saya dengar. Saya perhatikan dia masih tersenyum pandang saya, mahu yakinkan apa yang diucapkan adalah jujur dari hatinya. “Awak sukkan khat. Boleh baca tulisan jawi?” Saya terus menduga.

Dengan bangganya dia menjawab. “Ya, saya boleh baca jawi.”

Saya jadi terkejut. “Awak boleh baca jawi?”

Dia tergelak. “Kenapa terkejut? Tak percaya?” Dia berhenti tergelak dan pandang saya. “Kalau tak percaya, awak ambil ini. Saya sukakan khatnya. Indah sekali.”

“Terima kasih.” Saya perhatikan tulisan di khat itu. “Eh, ini surah An Nissa.”

“Saya sukakan seni khatnya, indah. Yang paling indah yang pernah saya jumpa, yang pernah saya pandang.” Dia berkata sungguh-sungguh.

Saya bagai terdengar suara hatinya. Saya jadi terpaku seketika.

“Awak tahu Fikah, pertama kali saya terpandang, hati saya tersentuh. Surah An Nissa, untuk awak Fikah.”

Disuruhnya jurujual itu balut hadiah. Selesai membayar, terus diberikan saya.
“Untuk seorang an nissa bernama Syafikah. Saya suka nama itu. Banyak beri saya inspirasi. Terima kasih Syafikah.”

Saya tergamam. Rasa macam tidak percaya. Saya terharu. Berbagai-bagai rasa bercampur-baur dalam hati saya. “Terima kasih, terima kasih Hendry.”

Saya bawanya ke gerai-gerai makanan tradisi Melayu. Dia masih mahu bercakap tentang surah An Nissa. “Nissa itu bermaksud perempuan kan? Surah dalam al-Quran yang khusus perkatakan tentang hak dan kewajipan perempuan Islam.”

Saya benar-benar kagum dan terkejut. “Macam mana awak tahu?”

Saya tanyakan dia, apa dia suka makan dodol atau bahulu? Dia menjawab sukakan kedua-duanya. Saya pun membeli kedua-duanya. Dia tergelak.

Penat berjalan menyusur dari satu premis ke premis saya tanyakan dia suka makan apa. Dia menjawab nasi beriani kambing. Saya tercengang dan tidak punya pilihan bawanya ke Bangi ke restoran Briyani Gam Johor.

“Fikah, kebanyakan universiti di London dan Amerika, ada pengajian agama Islam. Awak tahu siapa pensyarahnya?” Sepanjang perjalanan dia masih seronok bercerita tentang Islam.

“Tentulah para sarjana dan doktor falsafah Islam.”

“Ya, mereka ada sarjana dan kedoktoran dalam mengkaji al-Quran. Lulusan syariah, lulusan usuluddin. Pakar dalam hadis. Tapi mereka bukan orang Islam.”

“Bukan orang Islam?” Jantung saya jadi bergetar. Saya takut mendengar suara sendiri. Lebih takut mendengar kenyataan dari mulut Hendry. Saya nampak Ustaz Naufal. Saya mula rasa tidak sedap hati.

“Ramai antara mereka orang Yahudi.” Dia mengeluh panjang.

Barangkali dia dengar degupan jantung saya yang bertambah kencang ini.
Barangkali dia dengar bisikan hati saya mahu mencari siapa dia sebenarnya.
Entahlah, barangkali juga, dia tahu yang saya mahu pastikan apa yang dia katakan itu adalah fakta. Dia tidak menipu saya dan dia hanya mahu berbasa basi mahu mengambil hati saya.

“Awak tahu orang Yahudi yang boleh dikatakan tidak pernah kalah dalam perbahasan?”

“Mereka bijak.” Sebenarnya saya tak tahu nak cakap apa. Kata-kata Hendry tadi masih buatkan saya bingung. Saya rasa bersalah kerana kurang berdoa untuk semua umat Islam agar jadi lebih pandai, lebih tekun mencari ilmu, lebih rajin, lebih fokus menggali ilmu dalam al-Quran dengan niat mencari keagungan kebesaran ilmu Allah dalam kalam suci al-Quran dan lebih segala-galanya daripada Yahudi yang hanya mahu memutarbelitkan ayat-ayat suci itu, dan mengambil kehebatan ajaran kitab suci itu hanya untuk mencari keuntungan untuk bangsa mereka.

“Bukan. Bukan itu Syafikah.”

Saya tak tahu nak cakap apa. Masih bingung. Masih rasa bersalah. Masih belum menyintai solat istikharah dengan penuh jiwa dan raga.

“Sebabnya mereka rajin. Rajin yang luar biasa. Mereka pencari ilmu yang sangat rajin. Dalam setiap perbahasan, fakta-fakta dalam al-Quran mereka selewengkan.
Kebanyakan pelajar-pelajar yang ambil kursus untuk penuhkan kredit, tak ramai yang Islam, kalau ada pun yang Islam, Islamnya masih baru dan masih belum kukuh.”

Saya kehilangan kata-kata. Bulu roma saya meremang. Saya jadi takut mendengar fakta itu. Sesekali saya rasa Hendry sengaja mahu merendah-rendahkan orang Islam. Saya pandang wajahnya sejenak. Dia tersenyum pandang saya. Saya rasakan senyuman itu lahir dari hatinya yang jujur. Saya rasa bersalah pula, menuduhnya yang bukan-bukan tadi.

“Mereka Yahudi Syafikah. Awak tahu Yahudi bukan? Dalam Quran diceritakan beberapa kali tentang degilnya bangsa Yahudi itu. Seperti dalam kisah Nabi Musa dan Isa.”

Entahlah, semakin banyak yang dikatakan tentang Islam, saya jadi semakin takut. Saya tertanya-tanya, mengapa Allah aturkan pertemuan saya dengan dia?
Rahsia apa, hikmah apa, yang akan Allah berikan saya. “Awak juga mengkaji al-Quran?” “Saya belajar dengan guru Pakistan.” Dia menjawab yakin.

“Saya sebenarnya tersangat ingin pergi ke Makkah, saya mahu lihat Kaabah, saya mahu lihat makam Nabi Muhammad, tapi, saya belum boleh ke sana. Dengan nama dan identiti di kad pengenalan, saya tidak dibenarkan.”

Hampir sahaja kaki saya tertekan brek. Nafas di dada saya bertambah kencang.
Saya cuba sedaya upaya sembunyikan perasaan hati yang mula tertanya-tanya siapa dia sebenarnya. “Awak mahu ke sana?”

“Saya sedang mengkaji sirah Nabi Muhammad.”

Untuk kali kedua saya hampir tertekan brek. Mujur lampu trafik di persimpangan jalan masuk ke Bangi bertukar merah. Saya hentikan kereta. Badan rasa berpeluh-peluh. Sedaya upaya, saya sembunyikan lagi perasaan hati. Tidak mahu saya, dia tahu apa yang bercelaru dalam hati dan perasaan saya saat ini.

“Awak datang ke Malaysia, untuk belajar atau melancong?” Akhirnya dapat juga saya tanyakan pertanyaan itu dengan suara yang tenang. Walaupun gelora dalam hati ini, Allah sahaja yang maha tahu.

“Kedua-duanya. Buat masa ini, saya sedang siapkan tesis tentang Kesusasteraan Sufi atau Islam di Nusantara. Saya pilih Malaysia. Saya baru kembali dari selidik perkembangan Islam di Johor Riau, minggu depan saya akan ke Terengganu.”

Fahamlah saya, dia sebenarnya seorang pengkaji yang begitu profesional.
Serta-merta saya panjatkan doa dalam hati, semoga Allah berikan dia petunjuk di atas segala pencariannya yang mulia itu.

“Ke Terengganu?” Tiba-tiba saya rasakan dia bukan seorang Hendry yang saya kenal hampir tiga tahun yang lalu.

Saya dapatkan rasakan dia begitu hampir dengan saya. Tidak tahu mengapa perasaan itu tiba-tiba sahaja datang.

“Iya, saya ingin mengkaji tentang batu bersurat yang mengisahkan kedatangan Islam pertama di Tanah Melayu.”

Lampu trafik bertukar hijau. Saya gerakkan kereta. Saya jadi malu sendiri dengan perasaan yang menjelma seketika dalam hati tadi.

“Kalau perlukan bantuan, beritahu saya. Saya boleh dapatkan maklumat tentang perkembangan Islam di Malaysia.”

“Terima kasih Syafikah, saya sudah dapatkan buku tentang ulama-ulama Terengganu dan Johor sebelum abad ke-20.”

“Dulu awak kata awak sedang siapkan pengkajian sejarah dunia.”

“Itu tiga tahun yang lalu. Saya sudah selesai kedoktoran tentang itu.”

“Tapi macam mana pula pengkajian awak beralih ke perkembangan Islam di Malaysia?” Alhamdulillah akhirnya berjaya juga saya redakan perasaan hati dan usulkan pertanyaan yang lebih profesional.

“Semasa saya mengkaji sejarah dunia, saya cukup tertarik dengan sastera Islam dan kesusasteraan Melayu.”

Saya mengangguk dan berkata “o”.

“Syukurlah, kerana subjek itu kita dipertemukan Tuhan. Awak masih ingat Pertemuan Sasterawan Nusantara di Johor Bahru dulu? Masakan saya lupa, masa itu saya bertemu awak. Gadis Melayu Johor yang sentiasa berpakaian baju kurung dan bertudung. Awak hadiahkan saya sepasang baju Melayu Teluk Belanga. Sungguh cantik hadiah itu Syafikah.”

“Awak buat apa dengan baju tu?” Kata-katanya begitu menjentik hati. Saya jadi tergelak.

“Kalau ada majlis budaya di universiti, saya akan pakai. Baju Melayu Teluk Belanga dari Selat Tebrau, Tanjung Puteri, hadiah dari teman, saya simpan dalam lipatan hati.”

Ketika saya pandangnya tanpa kata-kata, dia pandang saya dengan hati yang penuh kata-kata. Bahasa matanya ceritakan segala-galanya. Mungkin saya silap, tetapi saya tidak tahu mengapa pandangan itu jadikan hati saya bergetar.

Luar biasa getarannya. Masya-Allah!

Aku tutup catatan hati paling ikhlas dari Kak Ika. Aku pandang Pak Long. Mata Pak Long terbuka dan pandang aku, walaupun lemah tetapi menusuk. Apakah dia tahu apa yang aku baca tadi?

Hendry? Dada aku berdebar kencang, aku rasa, Pak Long akan pengsan dan mati dan hidup semula untuk marah Kak Ika kerana berkawan dengan lelaki yang namanya bukan Melayu itu.

Hendry?

Akal fikirku yang tidak panjang dan tidak bijak ini mula rasakan yang Kak Ika sedang mencipta bencana lagi. Aku rasa nak menangis.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,577 views