Istikharah Sang Perindu (Siri 17): Aku Ingin Sepemurah Embun Sepemurah Pohon

AKU rasa tak sempat matikan enjin kereta, Syafik sudah melompat masuk ke serambi. Dia nampak cemas dan takut amat sangat. Terus diterpanya Pak Long. Digenggamnya tangan Pak Long, diciumnya kalut. Dipeluknya Pak Long. “Assalamualaikum. Pak imam, Pak imam ok ke?”

Hairan aku, mendengar suara Syafik, Pak Long bukan sahaja membuka mata, malah terus tersenyum dan terus duduk. Dia nampak tidak lagi lemah dan tidak bermaya seperti tadi. Dia nampak ceria. “Pak Long sihat, Syafik.” Ewah bila pula dia berbahasakan dirinya Pak Long. Hemm, suka hati dialah, janji dia bahagia.

“Kita ke hospital ya.” Syafik pandang Pak Long penuh hormat dan penuh kasih.

Hairan aku berganda-ganda, Pak Long mengangguk dan ikut saja katanya.

Perlahan-lahan dipimpinnya Pak Long untuk berdiri, Pak Long bagaikan terpukau, ikut sahaja apa yang diarahkannya. “Pak imam…” suara Syafik terputus.

“Pak Long nak tukar baju dulu Syafik…” kerana Pak Long memotong cakapnya.
“Panggil sajalah Pak Long, Syafik.”

Syafik pandang aku. Aku nampak dia tersenyum kemenangan. Aku jeling dia dengan panda-ngan meluat, suka hati kaulah nak panggil apa, tak ada kena mengena dengan aku. Mulut kau, suara kau, suka hati kaulah nak buat apa. Mahu sahaja aku cakapkan itu, tetapi apabila terpandang wajah suci Mak Long, aku kawal kejahatan hati aku. Nampakkan muka dan diri macam bagus sahaja! Walhal dalam hati aku ini, Tuhan sahaja yang tahu. Gerrrrrr!!!

Syafik pimpin Pak Long ke ruang tamu. Mak Long kelam kabut masuk bilik ambil baju dan seluar Pak Long. Pak Long suruh Syafik tukarkan baju dan seluar.
Meluat pula aku pandang, bukannya dia tak boleh tukar sendiri atau suruh Mak Long yang tukarkan.

Melihat Pak Long begitu ceria dan nampak dia begitu sayangkan Syafik dan Syafik pun begitu, aku hanya menahan nafas. Tak kisahlah kalau kau orang berdua nak saling menyayangi macam manapun, tapi janganlah babitkan aku. Pak Long bukannya ada anak lelaki, kalau Syafik jadi anak lelaki dia, bagus juga, boleh juga jadi kawan bergaduh aku. Itu yang bagusnya, tapi yang tak bagusnya, janganlah ada udang di sebalik batu, berbaik dengan Pak Long sebab nak pikat aku. Kirim salam!

Kadang-kadang aku terfikir juga, ilmu apalah yang imam muda itu pakai, sampai hati Pak Long yang keras macam batu boleh cair jadi air laut. Ya Allah, janganlah digunakan-nya ilmu itu untuk cairkan hati aku pula. Matilah aku, macam manalah nak hidup bersama dengan orang macam dia. Hari itu dia cuba jadi aku, macam nak marah-marah aku, tapi tak jadi, nampak dia masih lembut, masih penyabar dan masih bersopan santun.

Hish, seriau hati aku jadinya. Dia bukakan pintu untuk Pak Long, Pak Long mahu duduk di belakang.

“Ke hospital mana?”

“Hospital pakar!” Aku memberi arahan.

Pak Long berkata perlahan, tak mahu.

“Nak simpan duit banyak-ba-nyak nak buat apa, Pak Long. Pak Long dah penat bekerja selama ini, kasihanlah diri Pak Long sendiri. Masuk hospital pakar tak payah tunggu lama.”

“Mahal!” Dia berkeras.

“Duit kita ada. Berapa banyak pun, Jehan akan bayar. Lagipun duit Jehan, duit Pak Long juga. Ladang kambing dan lembu kita itu kan ladang kita. Duit bukannya boleh bawa mati, Pak Long. Lagipun umur Pak Long dah 70 tahun, berapa lama lagi Pak Long nak simpan duit tu? Berbelas kasihanlah pada diri sendiri, Pak Long.
Itu juga amanah Allah. Amanah yang Pak Long kena jaga.”

“Janganlah paksa dia, Jehan. Ikut saja apa kata dia. Kasihan dia..”

“Sebab kasihanlah aku nak masukkan dia ke hospital pakar. Dia berhak untuk dapatkan rawatan terbaik.”

“Mahal.” Pak Long masih tidak puas hati, masih nak cari pasal dengan aku.

“Mahal macam manapun, tak apa.” Aku sabarkan hati untuk terus memujuk.
“Lagipun kita bukannya tak berduit.” Heh, hairan betul aku. Geram betul aku melihat perangai Pak Long yang kedekut satu macam. Dengan diri sendiri pun nak berkira.

“Sayang duit.” Suaranya keras.

Itu sajalah sifir hidup dia. Sifir hidup Pak haji bakhil yang buatkan aku yang sudah pasang niat nak jadi baik ini selalu tak boleh jadi baik. Dia selalu buat-kan niat murni aku selalu tak kesampaian. “Tak pakai duit Pak Long pun.
Pakai duit Jehan.”

Dia pandang aku ternganga.

“Pak Long tahu tak, Jehan sayangkan Pak Long.” Geram yang teramat sangat, aku rasa sampai nak menangis. Aku tahan air mata agar tak tumpah aku tak mahu Syafik tahu yang aku ini di luar nampak saja garang, kasar dan samseng, tetapi dalam hati aku ada tasik, ada sungai ada laut. Dalam hati aku ada taman.
Marah-marah aku pada Pak Long, sayang juga lebih.

“Tak baik awak cakap dengan Pak Long macam tu Jehan.”

“Dah tu, nak cakap baik macam mana? Pak Long tak akan dengar cakap aku.” Aku pujuk hati lagi untuk bersabar walaupun sudah bertambah seorang lagi yang buatkan aku hilang sabar.

“Awak kenalah hormatkan perasaan dia.”

“Masalahnya dia tak hormatkan, tak kasihkan diri dia sendiri. Sampai kan nak dapat rawatan terbaik pun tak mahu. Duit ada berpuluh ribu, masuklah hospital pakar, cepat dan mudah.”

Bertengkar punya bertengkar akhirnya aku paksa juga Syafik hantar ke hospital pakar. Selamat semua urusan. Aku beritahu Kak Ika, Pak Long ditahan di hospital.

Lima hari aku jaga Pak Long di hospital, lima hari Syafik berulang alik ke hospital. Aku suruh dia jangan datang tapi Pak Long sengaja suruh dia beli itu ini, hari-hari. Hemmmm!

Kak Ika di rumah nenek. Pilu hati aku mengenang nasib Kak Ika. Sampai bila dia jadi pelarian begitu? Dia tidak berani jejakkan kaki ke rumah sendiri. Belas sungguh aku kenangkan nasib Kak Ika. Pilu kenangkan nasib Mak Long. Tapi apa lagi yang boleh aku buat? Bukan sekali aku pujuk Pak Long untuk renggangkan sedikit pintu hatinya untuk terima Kak Ika kembali, sudah berjuta kali, tapi Pak Long masih begitu. Degil.

Kalau degil satu macam, bolehlah tahan, ini degil empat puluh macam. Siapa yang boleh tahan? Tapi aku tak akan putus asa, aku tetap akan pujuk Pak Long.
Peduli apa aku, kalau kali ke lima puluh juta pun, yang penting, Pak Long akan terima Kak Ika akhirnya nanti. Aku tetap akan nantikan saat yang paling bahagia itu.

Insya-Allah, aku yakin, Allah akan perkenankan doa aku, doa Kak Ika, doa nenek, doa Mak Long, dan yang paling istimewa doa Ustaz Naufal. Doa yang kami lafazkan setiap kali kami selesai berikan salam pada solat Istikarah kami hari-hari. Amin!

Pak Long bertambah sihat dan dibenarkan pulang. Dia hanya tertekan, runsing dan demam. Doktor mahu berikan ubat penenang, aku kata tak perlu. Nanti aku bawa Pak Long berubat di Rawatan Islam, kalau dia berdegil, aku gunakan Syafik.

Syafik yang uruskan semua. Aku cuma jelaskan bayaran sahaja, RM4,090. Dia tanya berapa aku kata, RM300 sahaja. Kalau aku cakap betul, takut pula dia pengsan lagi dan terus tak boleh bangun. RM1,000 duit Pak Long berat macam kepala kereta api. Sebab itu, dia selalu sakit kepala, rasa kepala berat, selalu pening, selalu pusing kepala. Sebab dia ingat duit dia, duit dia semuanya, cuba dia rasa duit yang dia ada itu duit Allah, tentu fikiran dia akan ringan dan hati akan tenang. Hemm, nak berikan dia tazkirah, ilmu aku belum cukup lagi.

Aku minta izin pada ibu, untuk jumpa Olin di Singapura. Aku mahu bawa dia pulang dan ting-gal di kampung. Aku tak mahu apa-apa terjadi pada dia.
Alhamdulillah, kerja aku dimudahkan Allah, dua hari di Singapura, aku berjaya pujuk Olin ikut aku pulang, tetapi dia mahu tinggal seminggu di Mersing dahulu.
Aku ikutkan saja. Tetapi belum pun sempat sampai Mersing, entah mengapa aku rasakan, ada sesuatu yang berlaku pada ibu. Biasanya deria keenamku ini tidak pernah silap berikan petunjuk.

Ketika aku sampai Mak Long dan Pak Long berjalan ke jalan raya, menunggu teksi. Ke mana Syafik? Aku tidak nampak ibu. Aku berhentikan kereta di hadapan mereka. Ke mana ibu?

“Hah, panjang umur kau Jehan.” Pak Long usap kepalaku ketika aku tunduk mencium ta-ngannya. Aku buka pintu kereta untuknya. Dia melangkah masuk dan duduk di sebelah pemandu.

Aku dan Olin salam dan peluk cium Mak long. Dia peluk, cium pipiku kiri kanan dan kucup dahiku dan Olin.

“Nak ke mana, bawa mangkuk tingkat? Ibu mana?” Aku jadi bingung.

“Ha, inilah sibuk sangat uruskan ibu kau. Sampai Mak Long terlupa.” Mak Long tergesa-gesa duduk di tempat duduk belakang. Olin tutupkan pintu kereta. Aku pakai tali pinggang keledar dan ingatkan Pak Long dan Mak Long pakai tali pinggang yang serupa seperti yang aku buat.

“Masih tak jumpa Kak Zura kau, Jehan?” Pak Long masih tidak menjawab pertanyaan dan kebingunganku.

Aku angguk dan mula gerakkan kereta.

Tiba-tiba Pak Long bersuara tegas. “Cari dia sampai dapat. Tak boleh tidak.
Zura mesti balik jumpa ibu kau. Ini antara hidup dan mati.”

Aku jadi seriau mendengar kata-kata Pak Long. “Kenapa Pak Long, ibu tenat ke?”
Aku jadi takut mendengar suara sendiri.

“Kalau ibu kau dah tenat baru nak balik?” Pertanyaanku buatkan dia jadi marah.
Salahkah aku bertanya begitu?

“Eh, tak ada macam tu pak Long. Tapi macam mana Jehan nak fon. Nombor yang dia beri tak pernah berjawab. Sudah ditamatkan perkhidmatan. Jehan nak cari dia di mana lagi? Atau Pak Long nak suruh Jehan jumpa orang surat khabar? Atau jumpa penerbit TV rancangan Jejak Kasih? Boleh. Tapi malulah kita. Malu satu keluarga, apa orang kampung kata nanti. Pak Long orang terhormat dalam kampung.
Ini maruah Pak Long. Kita kena jaga. Jehan dah buntu Pak Long. Pak Long beritahu Jehan, nak buat apa?”

Pak Long jadi semakin geram. Agaknya dia rasa yang aku mahu permainkan perasaan dia. “Siapa yang tahu fon dia? Kau tahu?”

“Kalau tahu, Jehan dah heret dia balik tengok ibu.”

“Tak ada pilihan, apa pun kita kena cari Kak Zura dan Abang Farhan kau.”

Aku jadi bertambah bimbang, di mata di hati yang aku nampak hanya ibu. “Ibu di hospital ke? Kenapa tak beritahu Jehan ibu masuk hospital?”

Mak Long pegang bahuku. “Mak Long tak ada beritahu kau ke Jehan?”

“Kalau ada, dah lama Jehan balik Mak Long.”

“Awak tu perkara penting macam ni pun boleh lupa.” Marah dan geram Pak Long dari satu ke satu bab. Itulah perangai abadi Pak Long yang mutlak dan tidak boleh diubah-ubah. Kalau dia mula marah, semua orang tidak betul di matanya.

“Kalau Pak Long tak lupa, kenapa tak Pak Long saja yang beritahu Jehan?” Aku rasa bertanggungjawab membela Mak Long yang mulia itu.

“Maafkan Mak Long Jehan, rasanya Mak Long dah beritahu. Tapi kelam kabut hari tu, terlupa pula, rupanya masih belum beritahu Jehan, ibu masuk hospital.”

“Dah berapa lama?”

“Semalam, lepas Jehan pergi ke Singapura.”

“Dah masuk dua hari? Patutlah hati Jehan tak sedap. Jehan fon ibu, ibu tak cakap pun dia ada di hospital. Hish, mana boleh perkara serius macam ini sembunyikan dari Jehan.”

“Mak Long minta maaf Jehan.”

“Tak apalah, perkara dah jadi Mak Long. Ibu sakit apa?”

“Asma dan darah tinggi.”

“Siapa yang hantar ke hospital?” Aku mula menggelabah. Tuhan selamatkanlah ibu. “Ibu ok ke?”

“Ustaz Naufal. Alhamdulillah. Sehari dua nanti bolehlah balik.”

Tiba-tiba Pak Long mencelah dengan suara semula jadinya itu. Garang, marah dan sakit hati.

“Hei, geram betullah dengan budak degil tu. Pak Long dengar dia dah bercerai.
Dia tinggalkan anak dia di Australia. Mana boleh tinggalkan anak dia macam tu.
Apapun caranya, apapun terjadi, kau mesti suruh dia dapatkan balik anak dia.
Ini tanggungjawab kau Jehan.”

Ewah sedapnya Pak Long cakap. Macamlah dalam hidup Kak Zura, yang ada hanya aku. Dia tu siapa? Hem, marah, geram dan sakit hati dia saja yang aku kena tahu, marah, geram dan sakit hati aku nak buang ke mana? Dia tak boleh tahukah?

“Takkan Jehan tak boleh tolong dia?”

Pertanyaan Mak Long buatkan aku jadi sakit hati. Tapi aku tahu, tidak terlintas pun dalam hati Mak Long nak buatkan aku marah dan panas hati, macam Pak Long. Aku maafkan Mak Long. Aku tahu hati Mak Long yang mulia.

“Kalau dia ada depan mata Jehan, senang Mak Long. Kalau tangan Jehan tak kuat nak tarik dia balik tengok ibu, Jehan akan upah ketua samseng yang paling samseng sekali di Malaysia ni, beri penampar sekali ke muka dia. Heret dia jumpa ibu. Habis cerita. Kita pun tak payah bergaduh hari-hari pasal dia. Ibu pun tak masuk hospital pasal dia.”

“Cakap macam orang tak ada pegangan.” Aku perasaan, Pak Long jeling aku satu macam. “Lain kali kalau nak bercakap, jangan ikut sedap mulut saja.”

“Pak Long yang ajar Jehan macam tu kan?’ Aku pulangkan paku buah keras kepada Pak Long. Ada hati nak betulkan aku, dia dengan aku lebih kurang saja. Aku kira oklah juga, budak remaja, darah tengah panas.

Dia? Dahlah tua. Pak imam pula. Hish, banyak sungguh kekurangan Pak Long. Aku terpandang wajah Olin di cermin. Aku nampak Olin tersenyum dan menahan gelak.

“Hei, nak sabitkan Pak Long pula?”

Telinga pak haji yang tidak mampu menahan marah depan ahli keluarga itu jadi merah. Maaflah merah macam mana pun, jangan haraplah aku akan takut. Semakin menyampah adalah.

“Tengok tu budak zaman sekarang, nak jumpa mak sendiri pun ada masalah? Patut ke macam tu?”

“Nantilah, tak lama lagi baliklah dia Pak Long. Doalah banyak-banyak. Solat istikharah, solat hajat jangan berhenti. Minta hajat besar itu kepada Allah.
Insya-Allah, niat kita yang suci mulia ini, akan Allah perkenankan juga. Masa dan ketikanya saja yang kita tak tahu. Bersabar sajalah!”

“Tak lama lagi tu bila? Sampai dah masuk hospital ibu kau tu, nak tunggu bila lagi? Nak tunggu sampai orang angkat mayat dia? Nak tunggu sampai mayat ibu kau dah selamat dikebumikan? Hah, baru terhegeh-hegeh nak balik? Masa tu tak ada maknanya dia orang balik pun. Nak jumpa siapa? Nak jumpa dua batang batu nesan?”

Sangkaku kata-kataku yang sungguh berhemah itu dapat kendurkan sedikit marah Pak Long. Rupa-rupanya dia masih marah-marah. Itulah sifat tipikal Pak Long Mustakimku yang tidak ada sesiapa pun dalam rumah kami yang dapat mengubahnya.

“Tak baik cakap macam tu Pak Long. Bersabar boleh? Sabar itu separuh dari iman kan? Berdoalah, satu hari nanti, dia balik juga. Jehan yakin.”

“Itulah modal kau, yakin-yakin. Nak yakin macam mana? Dia tak balik juga.”

“Baliklah. Nanti, nanti Jehan cari dia sampai dapat.”

“Jangan beritahu saja, paksa dia balik.”

Ewah, bukan main marah lagi Pak Long aku ni. Aku rasa mahu balas balik saja cakapnya yang menyakitkan itu. Tetapi bila terpandang di cermin tengah kereta, wajah Mak Long yang mulia, aku pujuk hati untuk mengalah.

“Jehan nak buat macam mana lagi, Pak Long?”

“Itulah dari dulu aku dah cakap, jangan berkawan dengan orang putih. Bukannya kau tak tahu, orang putih memang pandai pujuk rayu, putar belit. Macam Yahudi.
Hati penuh dengan khianat.”

“Dia dah bercerai pun. Dahlah tu, jangan nak ungkit-ungkit. Perkara nak nak jadi, nak buat macam mana?” Mak Long di tempat duduk belakang jadi resah.

“Kalau beringat dari awal kan bagus, taklah sampai jadi macam ni. Ha, lain kali ingat, buat apa pun, fikir masak-masak, dengar pandangan orang lain, elok tak elok, fikir habis-habis.”

Tiba-tiba fon tanganku berbunyi. “Hello, ya, Hendry.” Aku dengarkan dia bertanya aku dan Kak Ika di mana. “Saya ada masalah sikit. Ha, okey, okey, esok kami balik. “

“Siapa tu Jehan?” Mata Pak Long terbeliak dan penuh curiga.

Aku jadi serba salah, tak tahu nak cakap apa. Kalau aku kata, dia kawan Kak Ika, aku dapat rasakan, bukan setakat dikerat empat tubuhku ini, pasti Pak Long akan kerat empat puluh empat dengan parang panjang yang dia asah hari itu, sebelum dikumpulkan mayatku, dimandikan dan disolatkan.

“Siapa?” Dia semakin mendesak. Matanya semakin curiga.

“Pensyarah Jehan.” Alhamdulillah aku rasa terselamat daripada kepungan tentera Israel laknatullah dalam perjalanan ke Gaza.

“Pensyarah fon kau sampai ke rumah? Kau sebut namanya apa tadi? Hendry kan? Dia orang putih kan?”

Mak hai, apa aku nak jawab?

Di sebelahku sekarang bukan lagi Pak Long tetapi seekor singa jantan yang sedang kelaparan. Siap sedia untuk menerkam dan patahkan tengkukku. Aku tak tahu nak cakap apa.

Dalam tergigil-gigil tanganku tertekan emel dari Ustaz Naufal semalam. Assalamualaikum angin. Berdoalah Rasulullah; Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu kebaikan angin, kebaikan yang ada padanya dan kebaikan apa yang Engkau kirimkan bersamanya. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya, keburukan yang ada padanya dan keburukan yang Engkau kirimkan bersamanya.

Terima kasih embun pagi buah-buahan yang manis di laman rumah. Kadang-kadang kita ingin sekali menjadi embun, walau dilemparkan batu dan kayu, embun masih mahu memberi segarnya memandikan pohon-pohon.

Dan lihat pula pohon-pohon walau dilempar kayu dan batu, walau dipotong dahan dan batangnya, masih mahu memberi lazatnya menikmati sari juznya, mahu terus memberi, di laman kehidupan yang serba mencabar. Terima kasih Allah.

Bantulah hamba-Mu ini menjadi insan pemurah yang selalu memberi, seperti pohon-pohon seperti embun.

Aku pandang Pak Long yang masih marah-marah. Iya, akulah pohon dan embun itu, walaupun Pak Long memilih menjadi batu dan kayu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

27,707 views