Istikharah Sang Perindu (Siri 43): Carilah Diri, Nanti Kita Akan Temui Hati

SYUKURLAH dalam barakah bulan keampunan, bulan Rejab aku dapat bertemu Olin. Aku beritahu Abang Farhan aku dapat tawaran sambung belajar. Memandangkan tiada tempat tinggal aku minta izin untuk tinggal di rumahnya bersama Olin. Mama Olin setuju pinjamkan Olin seketika.

“Daripada menyewa rumah lain, kan baik Jehan tinggal dengan Abang Farhan.
Jimat sikit belanja. Lagipun kita bukannya orang senang. Jehan kena cepat-cepat habiskan program PhD ini sebab nak cepat jadi pensyarah di universiti.”

Mula-mula dia menolak, akhirnya bersetuju. Katanya malu pada aku yang begitu muda sudah mahu buat PhD. Dia hanya ada ijazah, master pun tak habis. Aku buat-buat baik dan tak masukkan bab ibu langsung. Aku tunggu waktu yang sesuai untuk aku mulakan operasi pembersihan jiwa dan mental dia nanti.

Untuk menjejaki dan memantau aktiviti dia, aku beritahu dia akan keluar tiga hari untuk menyelesaikan hal ehwal di universiti. Sebenarnya rumah mama Olin tidak begitu jauh dari tempat tinggal Abang Farhan. Senanglah aku lakukan kerja-kerja pengintipan dan pemantauan. Aku cari kamera dalam beg. Tidak berjumpa. Sah tertinggal di rumah Abang Farhan. Aku ajak Olin pulang sekejap.
Kami masuk ke rumah. Tidak percaya apa yang aku nampak.

“Apa Abang Farhan buat ni?”

Dia turut terkejut dan nampak serba salah. Sebotol minuman keras tercacak
di atas meja. Dua biji gelas masih ada kesan buih. Baunya menyengat. Aku rasa nak muntah. Semasa aku datang tadi seorang perempuan sebaya aku, tergesa-gesa keluar dari rumah. Hari itu dia benar-benar berjanji tidak akan menjamahnya lagi, dan tidak akan bawa pulang sesiapa pun perempuan ke rumah lagi, kerana rumah yang disewanya ini, sudah menempatkan aku lebih dari seminggu, sudah aku bacakan al-Quran lebih daripada 15 juzuk dan bacakan surah Yassin tiap-tiap hari dan sudah dirikan solat empat puluh waktu.

“Eh, Jehan, awalnya balik, kata tiga hari baru balik?” Dia bukan lagi terkejut beruk tapi terkejut gorila, rasa nak cepat-cepat menyorokkan diri, lari masuk hutan. Cepat-cepat dia berdiri dan bawa sebotol minuman keras itu dan kedua-dua gelas ke dapur.

Aku sengaja tidak mahu duduk di sofa. Aku terduduk sedih di lantai. Aku terpandang-pandang Pak Long sedang mengimamkan solat fardu di masjid. Aku ternampak-nampak wajah Kak Ika dan Ustaz Naufal yang jernih. Dan aku terdengar-dengar suara ibu yang sayu pilu mendoakan anak kesayangannya ini. Tiap-tiap hari ibu berdoa semoga Allah tutupkan hati Abang Farhan dan Kak Zura daripada melakukan perkara yang mungkar dan bukakan hati mereka untuk melakukan perkara yang makruf. Aku terdengar-dengar suara ibu sebak pilu.

“Abang Farhan, seminggu tak ke disko, seminggu tak teguk arak, abang rasa tak boleh berhenti dari jadi manusiakah? Apakah syarat untuk menjadi manusia itu mesti kena minum arak? Kalau itulah syaratnya, kenapa gorila, badak sumbu, harimau dan segala binatang tak minum arak?”

Bagai terpukau mendengar kata-kataku, dia berdiri terkaku di bucu sofa. Olin masuk ke bilik. Aku rasa dia tak mahu masuk campur hal ehwal keluarga aku.

“Dulu abang janji nak berhenti buat semua perkara yang mungkar ini. Janji abang itu kerana Jehan atau memang dari hati abang sendiri?” Aku bertanya macam pegawai pencegah maksiat.

Dia jadi kelam-kabut. “Err, Je…Jehan, a…abang…..” Menggelabah sungguh dia.

Panjang aku mengeluh. Sedih di hati aku, Allah sahaja yang Maha Tahu.

“Kalau kerana Jehan, abang Farhan berhenti, tak payahlah berhenti. Abang Farhan belilah berbotol-botol arak lagi, belilah bang. Belilah. Siapalah Jehan, bukannya bermakna pun dalam hidup abang.”

Muka Abang Farhan semakin kacau-bilau. “Jehan!” Suaranya tersekat. Dia terduduk lemah di sofa.

Aku cuma tenangkan hati, walaupun sedih, sayu, pilunya tidak dapat hendak aku cerita. Geram dan sakit hati, tak usah nak cakap. Rasanya semuanya dah berhimpun dan berasap atas kepala.

“Tapi kalau seminggu itu abang berhenti kerana tak mahu musnahkan diri sendiri, terima kasih Abang Farhan, kerana ikut nasihat Jehan, walau pun hanya seminggu.”

Terkaku dia pandang aku. Barangkali tersangatlah tidak menyangka adik manis yang dia tinggalkan berbelas tahun ini sudah pandai bercakap dan pandai segala-galanya. Dia nampak bersalah. Suaranya terketar-ketar.

“Jehan, abang, abang tertekan, Jehan.” Rasanya dia tidak berbohong.

Perlukah aku percaya kata-kata sang pemabuk itu? Aku perlu berpsikologi dengan dia. Tidak perlu berkasar. Cara paling berkesan, aku pura-pura merajuk.

“Abang Farhan…” Aku sebakkan suara sesebak yang mungkin.

“Kalau bukan kerana amanah Allah dan pesan ibu, sudah lama Jehan anggap Abang Farhan dah tak ada. Bukannya tak penat, mencari orang hilang, lebih penat dan letih lagi dari mencari orang hanyut. Tak kiralah hanyut dalam laut atau hanyut dalam rumah.”

Dia semakin rasa bersalah dan nampak menyesal sungguh. “Maafkan abang Jehan.
Abang minta maaf banyak-banyak.” Dia turun dari sofa, pegang tangan aku, mahu bersalam. Aku salam dan cepat-cepat lepaskan. Dia seakan menangis.

Aku kawal keadaan. Kawal perasaan.

“Jehan nak buat apa lagi, bang? Dah berbuih mulut Jehan, nasihatkan abang.
Semua nasihat Jehan abang jadikan sampah. Abang hidup di dunia ini untuk apa sebenarnya?”

Lama dia terdiam. Duduk berteleku di atas lantai. “Jehan, maafkan abang, abang berjanji…..”

“Kalaulah sepotong tangan Jehan mampu mengubah tabiat buruk abang, Abang Farhan, ambillah pisau, potonglah. Potonglah tangan Jehan ini bang, potonglah!”

Aku duduk dan bersandar ke dinding. Aku kesat air mata.

“Potonglah sebelah tangan adik abang ini. Kalau tak cukup, potonglah kaki Jehan, dan kalau masih tak cukup juga, ambillah nyawa Jehan, kalau itulah boleh buat abang berubah, dan boleh buat abang balik jumpa ibu. Sama sahaja Abang Farhan, nyawa Jehan dengan hati ibu. Kalau Jehan dapat dua-duanya, syukur alhamdulillah, tapi kalau Allah suruh Jehan pilih salah satu, Jehan pilih kebahagiaan hati ibu.”

Dia nampak sungguh tertekan dan semakin rasa bersalah. “Jehan, abang, abang bersalah Jehan.”

Aku tak pandang pun wajahnya. Hanya pandang ke depan dan biarkan air mata meleleh ke pipi.

“Jehan rela kehilangan satu badan Jehan, Abang Farhan, dari kehilangan Abang Farhan, yang hanya ada satu sahaja dalam dunia ini. Abang Farhan yang sangat ibu sayang. Abang Farhan yang tak lepas dari sebutan mulut ibu, siang dan malam.”

Dia berengsot ke sebelah aku. Aku buat-buat tak nampak.

“Maafkan abang Jehan. Maafkan abang. Abang tahu, ibu sangat sayangkan abang, Jehan. Dan seluruh keluarga kita sangat sayangkan abang.”

Aku tarik nafas dan lepasnya perlahan-lahan. Aku tenangkan suara.

“Abang tahukan, kehilangan sebelah tangan, Jehan masih mampu tunaikan suruhan Allah. Tapi kalau Jehan hilang akal, hati dan jiwa Abang Farhan, dengan apa Jehan nak jawab soalan di kubur nanti?”

Dia nampak sangat terkejut dan rasa bersalah yang amat sangat. “Jehan.” Dia menangis teresak-esak.

Air mata aku berlinang lagi ke pipi. “Abang, siapa Jehan Khatijah Sakinah Binti Zainal Abidin dan Hajah Mariam sebenarnya di mata abang? Sampah? Atau debu-debu yang berterbangan. Atau salji yang dah cair, dah masuk dalam longkang?”

“Jangan cakap macam tu Jehan…” Suaranya sebak.

“Siapa nenek, siapa Mak Long, siapa Pak Long di hati abang? Tunggul?”

“Jehan tolonglah, jangan seksa abang dengan pertanyaan itu.” Dia merayu bersungguh-sungguh.

Aku kesat air mata. Suara aku jadi tertahan-tahan. “Terlalu amat muliakah perempuan yang bernama Juliet itu, sehingga boleh padamkan ingatan abang pada ibu, pada Jehan, pada semua ahli keluarga kita dan…”

Aku tersedu. Aku kesat air mata. Aku menangis teresak-esak. Dalam tangisan yang tertahan-tahan aku, ucapkan juga kata-kata….. “dan pada anutan abang?”

Dia menangis bersungguh-sungguh. “Jehan, tolonglah Jehan, jangan tanyakan pertanyaan itu lagi. Tolonglah Jehan. Tolonglah.”

Aku teruskan juga kata-kata. “Besar sangatkah kasih abang pada dia, sehingga tak terlawan kasih ibu, kasih Jehan dan kasih nenek, kasih Pak Long dan kasih Mak Long, kasih agama, kasih bangsa dan kasih negara abang?”

Lama dia terdiam. Hanya menangis teresak-esak. “Abang, tahu, betapa besar kasih Jehan, ibu dan seluruh keluarga kita. Terima kasih Jehan kerana sedarkan abang.” Dia kesat air mata.

“Abang Farhan, siapa dengan abang tadi, yang baru keluar dari rumah ini?”

Dia terkejut mendengar pertanyaan yang tiba-tiba sahaja itu. Mukanya berubah.
Nampak serba-salah. “Eh.. di..dia….”

Aku tenangkan suara. Aku pandang dia terus. “Abang, jujurlah pada Jehan, kalau pada Juliet, cinta agung abang itu, sudah tidak ada kejujuran lagi…..”

Abang Farhan jadi serba salah. “Di..dia Jassica.”

“Siapa Jassica itu?” Dari pegawai pencegah maksiat suaraku berubah menjadi seorang ASP.

“Err, ka..kawan abang.”

“Kawan? Budak semuda itu, jadi kawan mabuk abang?”

“Ka…kami hanya berbual..itu saja.”

“Abang, alhamdulillah sejak sampai di rumah abang ini, Jehan sudah selamat bacakan 15 juzuk al-Quran, dengan harapan, tidak ada benda dan perkara haram yang masuk ke dalamnya. Dengan harapan malaikat rahmat akan datang membawa rahmat dari Allah.”

“Err, a..abang tak buat perkara buruk di..di sini. Jehan percayalah, sejak Jehan sampai abang dah rasakan rumah ini dah jadi suci. Suci buat abang.”

“Tapi, benda dan perkara itu ada dalam mulut, hati dan tubuh abang. Semoga Allah ampunkan abang dan beri petunjuk ke jalan yang benar. Jehan sayangkan abang. Jehan hanya ada satu sahaja abang dalam dunia ini. Hanya ada Abang Farhan.”

“Jehan, abang yang banyak dosa dan terlalu kotor pun, masih sanggup kau doakan yang mulia-mulia untuk abang?”

Aku tersenyum pandangnya. Aku kesat lagi air mata.

“Abang Farhan tetap mulia di hati Jehan. Kalau Jehan tak doakan kemuliaan abang, Jehanlah manusia paling hina bang. Tak layak Jehan jadi adik abang.”

Mendengarnya, dia menangis teresak-esak. “Sampai begitu sekali Jehan sayangkan abang Farhan yang kotor ini?”

“Mungkin hati Jehan yang belum lagi bersih Abang Farhan, sehingga doa Jehan masih dihijab Allah.”

Dia masih menangis teresak-esak.

“Jehan, mulia sungguh hati Jehan. Besar sungguh kasih kau pada abang.”

“Apa lagi yang diharapkan oleh seorang perempuan kepada walinya, selain daripada keredaan dan keampunan Allah.”

Dia terkejut mendengar kata-kata yang sangat-sangat tidak disangka itu.

“Wali? Jehan anggap Abang Farhan ini wali? Abang yang sejahil dan sekotor ini?”

Aku tersenyum lagi pandang dia. Aku pegang tangan dia.

“Abang Farhan, selain arwah ayah, siapa lagi yang sah menikahkan Jehan? Allah hadiahkan Jehan rasa cinta yang besar ini. Sudah Jehan berusaha semampu mungkin untuk meletakkan rasa ini ke ruang yang semulianya, tetapi Allah masih hadiahkan ujian ini kepada Jehan. Abang Farhan amanah Allah kepada Jehan. Jehan terima dengan reda.”

Ada panggilan fon. Dari sahabat yang mahukan aku segera bertemu untuk melawat ke kandang lembu tenusu. Aku minta izin untuk pergi. Abang Farhan berjanji akan jadi abang aku yang baik.

Aku pegang janji manis anak kesayangan ibu itu. Sehingga aku selamat pulang kembali. Ketika aku buka daun pintu, dia tiada di rumah. Olin yang arif tentang kehidupannya, membawa aku ke satu tempat yang selalu dikunjunginya. Aku fon dia.

Suara garaunya keluar dari peti suara fon tanganku. Dalam dentuman muzik aku masih boleh dengar suaranya. Dia seakan terkejut.

“Hello, ha, abanglah ni.” Suaranya bertukar menjadi geram. “Apa? Ada di luar?”
Dia merungut. “Iyalah, iyalah, abang keluar sekarang.” Sebelum fon tangannya ditutup aku masih terdengar dia merungut. “Hei, dia ni, hidup kalau tak menyusahkan orang, tak sah. Menyampah.”

Di hadapan disko tersohor itu, dia tercacak berdiri di hadapan aku. Dalam kebisingan bunyi kenderaan, dia marahkan aku.

“Jehan, kenapa cari abang di sini? Bahaya.”

“Jehan yang patut bertanya, kenapa abang pergi ke tempat ini lagi? Kan abang dah janji pada Jehan? Tak ingat?”

Dia nampak kalah dan mengeluh berat. “Hemm, abang mencari dia, Jehan.”

Aku pegang tangannya. Aku pujuk dia.

“Abang Farhan, lima belas tahun, bukan sehari. Sedangkan sehari, macam-macam perkara boleh terjadi, inikan pula selama itu.”

Dia mengeluh semakin berat. “Jehan tak faham hati abang.”

“Abang sendiri faham hati abang?”

“Banyak sangat Jehan tanya abang. Rasanya abang tak perlu jawab, Jehan dah tahu jawapannya kan?”

“Anak sungai lagikan berubah bang, inikan pula hati orang.”

Kami berjalan menuju ke kereta. Olin ikut sahaja langkah kami. Sejak dulu, dia masih tidak mahu bersuara. Masih diam.

“Lima tahun abang hidup bersama dia Jehan. Abang kenal hati budi dia. Abang tahu dia siapa.”

“Abang masih sayangkan dia?”

Kami sampai di kereta. Aku bukakan pintu untuk Olin. Olin diam-diam duduk di belakang. Abang Farhan hidupkan kereta.

“Sebab itu abang terus cari dia.”

“Dari disko ke disko?”

“Di situ abang bertemu dan..” Dia nak cakap tapi tak jadi. Dia merenung jauh
ke hadapan.

“Dan tinggalkan dia? Begitu murah cinta dan kasih abang. Senang abang ambil dia, senang abang campakkan dia. Dan sekarang, abang nak ambil dia semula.
Abang ingat dia apa? Kayu? Batu?”

Dia mengeluh kesal. “Itu dulu Jehan, sekarang abang dah insaf, berilah abang peluang sekali lagi untuk betulkan kesilapan.”

“Nak betulkan kesilapan? Dengan ulangi perkara yang sama?”

“Abang yakin dia masih seperti dulu, dia mesti ada di disko.”

“Dah berapa banyak disko yang abang pergi? Ada abang jumpa dia?” aku bertanya menguji.

“Belum nak jumpa lagi Jehan. Tapi itu bukan syarat untuk abang berhenti mencari dia.”

Aku mengangguk. “Iya, itu bukan syarat untuk abang berhenti mencari dia. tapi Amerika bukan negara kecil bang, sebuah benua. Berapa banyak disko yang ada dalam Amerika ni? Ini bukan negara Arab atau Iraq atau Iran. Ini Amerika.”

“Abang hanya nak cari dia, sampai jumpa.”

“Untuk apa?”

“Nak bawa dia pulang ke pangkal jalan.”

Sejuk hati aku mendengar kata-kata Abang Farhanku itu. Aku pegang tangan dia.
Aku pujuk dia.

“Niat abang Farhan itu sangat baik dan mulia dan terpuji. Tapi apapun, abang kenalah betul-betul pulang ke pangkal jalan dulu. Abang kena betulkan diri abang dulu. Barulah abang boleh betulkan dia.”

Dia nampak tak puas hati. “Abang nak bawa dia pulang ke pangkal jalan. Salah?”

“Nak bawa pulang ke pangkal jalan macam mana? Abang sendiri masih tak berubah, disko tak boleh tinggal, ke masjid tak pernah. Apa makna semuanya ini bang?”

“Ini tempat dia!”

Aku pujuk hati untuk bersabar. Aku pujuk dia lagi. Olin di belakang sudah terlena. “Itu dulu berbelas tahun yang lalu. Mungkin sekarang dia dah tak
ke tempat ini lagi, siapa tahu?”

“Itu hanya sangkaan Jehan.”

“Firasat Jehan, jarang tersasar bang.”

Abang Farhan terdiam dan nampak mengantuk. Aku suruh dia ke bahu jalan dan suruh dia keluar. Aku kejutkan Olin dan suruh dia duduk di hadapan untuk jadi tunjuk arah ke tempat yang aku mahu pergi. Abang Farhan ikut arahan aku, dia duduk di belakang. Aku arahkan kereta ke tempat yang sudah kami rancangkan.

Tiba-tiba Abang Farhan terbangun. Dari cermin tengah, aku nampak dia pandang kiri kanan. “Nak ke mana ni Jehan?”

“Kita ke masjid Pakistan.”

Dia semakin tidak percaya. “Ke masjid Pakistan? Jehan tahu ada masjid Pakistan
di sini?”

Aku menjawab tenang. “Abang belum pernah ke masjid ini lagi kan? Dan Abang pun tak pernah tahu, berapa banyak masjid yang ada di bumi Amerika ini?”

Dia terdiam. Akhirnya kami sampai ke masjid. Abang Farhan ikut kami bersolat.
Dia menangis teresak-esak. Alhamdulillah barakah bersolat di masjid, dia semakin berubah. Aku tak sabar nak masukkan hal ibu. Tiba-tiba hari minggu itu, dia mahu keluar. Aku pujuk dia, tinggal sahaja di rumah, ada ribut di luar. Dia mahu juga keluar. Macam tidak dapat ditahan-tahan kemahuan nak keluar.

“Abang Farhan, masuk cepat, ribut semakin kencang.”

“Abang keluar sekejap saja Jehan.”

“Kalau abang keluar juga, Jehan ikut abang.” Aku mengugut.

Dia macam nak marah. Tapi sudah pandai menahan marahnya itu. “Okey, okeylah.”
Dia hanya merungut. “Hish, kata dia saja nak diikut.”

Suaraku tergigil menahan kesejukan. “Jangan keluar ke mana-mana, bahaya.”

“Abang bosan tinggal di rumah. Hemm, tambahkan suhu alat pemanas tu.”

“Sejuk sangat? Okey, Jehan buatkan abang kopi panas. Air dah Jehan didihkan tadi. Tunggu bancuh saja.”

“Tak payahlah susah-susah nak jaga abang.” Dia seakan merajuk.

Aku pujuk dia. “Abang Farhan, kita ini adik beradik. Jehan diamanahkan untuk jaga abang. Ini pesan ibu, sebab abanglah Jehan dihantar belajar di sini, temankan abang.” Aku kacau kopi dan gula. Aku tuangkan air panas. Aku sajikan untuk dia.

“Tak menyesal datang sini?”

Aku menggeleng. “Jehan menyesal kalau gagal selamatkan seorang anak arwah Zainal Abidin dan Hajah Mariam hanyut jauh. Abang Farhan, kita hanya tiga beradik sahaja dalam dunia ini, kalau abang dah jauh terhanyut, siapa yang tinggal pada Jehan dan Kak Zura?”

Menyebut nama Kak Zura, hatiku bagai terhiris. Aku tahan sebak di dada.

Lama Abang Farhan pandang aku. “Jehan terlalu baik untuk jadi adik abang.”

“Abang Farhan pun tidak sejahat mana, hanya terlalu ikut sangat perasaan, terlupa akar diri. Itu pun hanya seketika. Bukan selamanya pun.”

“Jehan, sebenarnya sejak Jehan tinggal di sini, abang jumpa diri abang, sebab itulah abang berusaha untuk cari dia, Juliet, bekas isteri abang. Abang mahu kami hidup harmoni dalam sebuah keluarga.”

“Jehan tak nampak pun abang dah jumpa diri.”

“Jangan hina abang, Jehan.”

“Abang, akar kita satu, kukuh tidak bercabang, itulah tunjang hidup kita, Islam dan Melayu. Maaf, Jehan tak nampak satu pun ada pada abang.”

Dia pandang aku semacam. Nampak dia rasa tersinggung. “Yang abang cakap ini bukan Melayu?”

“Mujur Jehan berpeluang belajar dan berkat doa ibu yang berbelas tahun, akhirnya Allah temukan kita, kalau tidak, tak sepatah pun perkataan Melayu keluar dari mulut abang kan?”

Dia hanya mengeluh.

“Abang, seminggu bercuti, tinggallah di rumah, banyak yang perlu abang cari.”

Panjang dan berat dia mengeluh. Mukanya nampak berserabut. “Tapi, abang masih belum dapat cari dia.”

“Dia terlalu jauh dari abang.”

“Jauh macam mana pun abang tetap akan cari dia. Kalau Jehan boleh bertemu abang, tak mustahil abang akan jumpa dia juga. Kalau Jehan tak nak terus berdosa, abang pun sama.”

Lapang hati aku mendengarnya. Aku tersenyum pandang muka Abang Farhan.
“Alhamdulillah, pertama kali Abang Farhan sebut dosa depan Jehan.”

“Jehan ingat abang ni jahil sangat?”

“Takkanlah konsultan penganalisa komputer jahil. Tak logikkan?”

“Dah, jangan nak perli abang. Abang tahu, Jehan nak kata, bahawa Abang Farhan ini jahil agama kan?”

“Dulu iya, tapi saat ini, sejak dengar abang cakap pasal dosa, Jehan rasa abang dah tak jahil lagi.”

“Sindir abanglah tu?”

Aku tersenyum. “Jehan ikhlas. Abang, bukankah dosa itu jadi perisai untuk kita tidak melakukan larangan Allah?”

Panjang Abang Farhan mengeluh. “Tapi, dia masih terlalu jauh dari abang, Jehan.”

“Carilah dulu, sesuatu yang sangat dekat dengan abang. Dia sudah lama menanti abang.”

Dia pandang aku dengan muka penuh tanda tanya.

Aku pujuk dia lagi. “Jangan tinggalkan dia, bang.”

“Siapa?”

“Dah lama sangat, abang tinggalkan dia, ambillah dia kembali.”

Dia mengeluh semakin berat. “Abang tetap akan cari dia.”

“Bukan perempuan itu.”

“Dah tu siapa?” Dia bertanya hairan.

“Ahmad Farhan bin Zainal Abidin.” Aku menjawab tenang. “Diri abang sendiri.”

Dia terpaku pandang aku. Kemudian tunduk dan mengangguk. Ketika dia mengangkat mukanya kembali, aku nampak air matanya berlinang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,909 views