Jaga Kulit, Solekan

Tatkala pertama kali bersua muka, semua mata tertumpu kepada kecantikan asli dimiliki Sui He, 25, model antarabangsa berasal dari Wenzhou, Zhejiang, China ini.

Kulitnya yang putih mulus tanpa sebarang cela, mata besar, wajah tirus serta tubuh tinggi lampai, dia kelihatan seperti patung bergerak.

Kesopanan dan tutur kata lembut yang sememangnya menjadi identiti orang Asia cukup ketara pada gadis cantik ini walaupun dia sudah berdiri sama taraf dengan model terkenal lain.

Gadis ini sebenarnya model Asia pertama yang dipilih untuk membuka pertunjukan fesyen pereka terkenal Ralph Lauren dan model kedua dari China menyertai Pertunjukan Fesyen Victoria’s Secret, malah turut menjadi penghias muka depan majalah W.

Semestinya wajah Asia untuk jenama terkenal Shiseido ini mempunyai keistimewaannya tersendiri sehingga terpilih mewakili jenama kosmetik berpengaruh dari negara matahari terbit itu.

Memperkatakan mengenai regim kecantikannya, Sui He sememangnya seorang yang sangat menitikberatkan penjagaan kulit dan kecantikan, malah tidak berkompromi dalam soal pemakanan serta penggunaan produk penjagaan kecantikan serta kosmetik.

Dia mengakui begitu mengambil berat penjagaan kulit memandangkan kerjayanya memerlukan dia sentiasa tampil segar dan cantik. Padanya, perkara itu tidak boleh sesekali dipandang ringan.

Walaupun masih muda, Sui He sudah mengambil beberapa langkah drastik dalam usaha mengekalkan kulit cantik berseri memandangkan ia antara ciri utama yang menonjolkan dirinya hingga ke peringkat antarabangsa.

“Di belakang pentas, semua model berkulit perang, tetapi hanya saya seorang begitu putih. Dalam industri fesyen, saya tidak dibenarkan berjemur atau menjejaskan warna kulit yang putih kerana ia dikehendaki dalam kerjaya saya ketika ini.

“Saya sememangnya seorang yang mementingkan penjagaan kulit dan bagi saya apabila seseorang dalam keadaan gembira, kecantikan mereka akan menonjol. Namun, penjagaan kulit dan solekan amat penting supaya anda kelihatan lebih hebat dan menarik,” katanya yang mengakui sukar menangis dan hanya akan mengalirkan air mata apabila menonton filem sedih.

Bagi Sui He, solekan termasuk bedak asas mampu menyerlahkan kecantikan seseorang. Dia sendiri gemar menggabungkan dua warna bedak asas untuk mendapat warna paling sesuai dengan kulitnya.

Sejak usianya mencecah 17 tahun, penjagaan kulit diletakkan pada keutamaan tertinggi dan dia sentiasa mementingkan langkah seperti mencuci, menyegar dan melembapkan kulit.

“Sapuan krim pelembap untuk melancarkan peredaran darah, melembapkan serta penggunaan krim pelindung matahari amat penting bagi saya. Pada malam hari pula, saya menyapu krim malam untuk memperbaiki kulit wajah.

“Saya menggunakan banyak krim pelembap untuk mengekalkan kulit yang lembut kerana kelembapan kulit antara perkara paling penting kepada saya. Saya juga menyukai makanan Jepun dan minum banyak air dan makan buah-buahan,” katanya yang menjadikan pelakon terkenal dari Taiwan, Shu Qi sebagai idola.

Sui He turut mengakui dia memaksa dirinya mengamalkan pemakanan epal biarpun dia tidak menyukainya kerana khasiat yang dibekalkan buah itu kepada kulit.

Malah, wanita cantik itu juga tidak mengambil kopi, lobak merah atau betik pada siang hari, sebaliknya hanya mengambilnya pada waktu malam kerana mahu mengelak penghasilan melanin yang boleh menjejaskan warna kulitnya yang putih mulus.

Katanya, sebaik mencecah usia 25 tahun, ia mendorongnya untuk lebih menjaga kecantikan kulit dan sering mengamalkan penggunaan losen badan selepas mandi, selain menyapu masker setiap dua ke tiga hari.

“Apabila melihat gambar saya di majalah, ia memberikan satu rasa pencapaian dan saya gembira apabila keluarga dan rakan menghantar mesej memaklumkan mereka melihat saya di majalah,” katanya.

Mengakui sentiasa merindui keluarga dan rakan di China disebabkan jadualnya yang sentiasa terbang ke sana sini untuk pertunjukan fesyen ternama, setiap kali pulang ke kampung halamannya dari semasa ke semasa, wajah Shiseido ini akan memastikan dia bertemu mereka untuk makan bersama dan berkongsi cerita terbaru.

Selain itu, Sui He juga percaya untuk muncul sebagai wanita hebat, seseorang perlu mempunyai keyakinan diri, bersikap baik hati dan percaya pada kebolehan diri mereka.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

501 views