Jaga Pemakanan, Aktif Beriadah

Diabetes adalah sejenis penyakit zaman moden yang semakin meningkat dan mengancam kesihatan penduduk di seluruh dunia, malah di Malaysia sendiri, 1.4 juta rakyatnya direkodkan menghidap penyakit ini.

Ia menyebabkan pelbagai kerosakan organ dan sistem saraf. Bahagian paling mudah mengalami masalah terluka atau ulser dan terdedah kepada kecederaan adalah tapak kaki.

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), dalam tempoh 20 saat, satu kaki akan dipotong akibat diabetes dalam kajian global yang dilakukan pada 2011.

Apabila seseorang mengalami diabetes dalam satu tempoh yang panjang dan kandungan gula dalam darahnya tidak dikawal dengan baik, ia boleh menyebabkan kerosakan saraf dan kaki menjadi kebas serta tidak berasa sakit, biarpun kaki sudah terluka.

Kerosakan saraf pada kaki juga bermakna aliran darah yang membawa zat dan bekalan oksigen terganggu. Tanpa pengaliran darah yang baik, luka di kaki akan lambat atau tidak akan sembuh. Luka yang tidak dirawat dengan baik akan berisiko mendapat jangkitan seterusnya mengancam nyawa.

Menurut Koordinator dan Perunding Penjagaan Luka Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Harikrishna, pesakit diabetes cenderung untuk mengalami masalah luka di kaki kerana kewujudan ulser akibat luka yang tidak dirawat awal. Dalam kebanyakan kes, luka ini hanya disedari apabila ia mula berbau menandakan terdapat jangkitan kuman.

Katanya, apabila luka berkenaan dijangkiti kuman dan menjadi lebih teruk, bahagian kaki yang terjejas akan mengalami gangren iaitu tisu mati. Bagaimana keadaannya? Jari kaki pesakit kelihatan lebam dan hitam yang sekali gus boleh menyebabkan kecacatan jika apabila bahagian itu perlu dibuang (dipotong) demi menyelamatkan nyawa.

“Apabila kaki terkena jangkitan, kami akan cuba menyelamatkannya dengan mengurangkan sebanyak mungkin gangren, namun jika ia sudah bertukar menjadi hitam yang menandakan tisu sudah mati, kami terpaksa memotongnya.

“Jika seseorang pesakit diabetes sudah dipotong satu kaki akibat penyakit itu, tetapi masih tidak menjaga kesihatan dan mengawal paras gula dalam darah, berkemungkinan besar (50 peratus) sebelah lagi kakinya akan turut dipotong.

“Melalui pengalaman saya, keadaan ini akan meningkatkan sehingga 68 peratus risiko kematian pesakit dalam tempoh lima tahun selepas kakinya dipotong jika gaya hidup tidak diubah,” katanya ketika ditemui di pusat pengurusan luka bagi pesakit diabetes di Klinik Pakar Harian HKL.

Biarpun diabetes mempunyai kesan yang teruk kepada kesihatan, luka dan kehilangan kaki akibat penyakit berkenaan sebenarnya boleh dielakkan sehingga 85 peratus andai pesakit peka dan mengambil serius terhadap usaha mengekalkan paras gula normal dalam darah mereka.

Selain menjaga pemakanan dan aktif beriadah bagi mengawal paras gula dalam darah, penghidap diabetes juga disaran sentiasa membersihkan dan memeriksa keadaan kaki dan keseluruhan tapak kaki setiap hari supaya luka baru dapat dirawat dengan segera.

Katanya, kaki yang mempunyai luka kecil dan masih belum dijangkiti kuman boleh dibersihkan sendiri oleh pesakit menggunakan air dan sabun, sebelum ditutup dengan plaster.

Kaki juga perlu dipastikan tidak mengalami masalah kulit kering dan pecah di tapak kaki yang boleh mengakibatkan luka dan membenarkan kuman memasuki bahagian berkenaan, seterusnya menyebabkan kaki diancam gangren.

Disebabkan itu, pendidikan dan kesedaran bagaimana untuk menjaga kaki dan luka bagi pesakit diabetes adalah sangat penting demi memastikan anggota penting tubuh itu dapat dipelihara sebaik mungkin.

Tidak sayang diri sendiri

Kata Dr Harikrishna, orang awam tidak mempunyai kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kaki bagi pesakit diabetes dan selalunya pesakit mengambil ringan perkara itu selagi ia tidak benar-benar berlaku terhadap diri mereka.

“Pesakit tidak peduli dengan kesihatan sendiri. Mereka tidak ambil berat kandungan gula dalam darah, tidak berjumpa doktor atau mengikuti nasihat doktor. Mereka tidak sayang pada diri sendiri.

“Siapa lagi yang paling menyayangi kita kalau bukan diri sendiri dan siapa yang perlu mengambil berat mengenai dirinya sendiri? Keluarga mungkin boleh membantu memberi nasihat, tetapi pokok pangkalnya adalah diri kita sendiri yang perlu menjaga kesihatan supaya tidak mengalami masalah kesihatan lebih serius.

“Disebabkan itu, kerjasama daripada pesakit itu sendiri adalah sangat penting dengan menjaga pemakanan dan kandungan gula dalam darah mereka supaya kesihatan mereka tidak terjejas,” katanya.

Katanya yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam penjagaan luka pesakit diabetes, cara terbaik menjaga kesihatan adalah mengambil langkah pencegahan dan mengubah sikap dengan cara mengambil langkah proaktif bagi penjagaan kesihatan,” katanya.

Apabila gula dalam darah pesakit berada pada tahap tinggi dan dia mengalami luka yang dijangkiti kuman, aliran bekalan darah tidak sampai ke kaki lalu ia akan mengakibatkan gangren.

“Apabila berlaku gangren, memang kita sudah tidak boleh hendak buat apa-apa dan jawapannya hanya satu – ia perlu dipotong untuk menyelamatkan nyawa dan bahagian anggota lain.

“Bagi mereka yang merokok pula, ia meningkatkan lagi masalah itu. Di Malaysia, 6.3 peratus daripada penghidap diabetes sudah kehilangan kaki mereka akibat gangren,” katanya.

Jumlah mereka yang mengalami risiko kaki dipotong lebih tinggi di bahagian luar bandar kerana kebanyakannya tidak tahu luka di kaki itu adalah berbahaya, tidak tahu di mana hendak mendapatkan rawatan, ada kalanya tidak sedar sehinggalah terdapat lubang besar yang menampakkan tulang pada kaki dan luka berbau busuk.

Katanya, bagi pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan berkaitan luka di kaki mereka, pihak hospital akan melakukan pemeriksaan kesihatan keseluruhan bagi mendapatkan maklumat sebenar sebelum mula menjalankan rawatan tepat.

“Diabetes adalah satu-satunya penyakit yang mengancam semua bahagian organ dan anggota tubuh badan dan membabitkan semua pakar dalam pelbagai bidang untuk mengawal kesannya kepada pesakit.

“Mereka juga akan dibawa bertemu pakar nutrisi, pakar diet, kaunselor dan ahli farmasi bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai penjagaan kesihatan mereka,” katanya.

Berikutan pengurusan luka yang betul amat penting dalam membantu merawat pesakit, HKL turut bekerjasama dengan semua hospital dan klinik kesihatan seluruh negara dengan memberi latihan, pengetahuan dan peralatan terbaik mencuci dan membalut luka.

Setiap kakitangan di hospital dan klinik di seluruh Malaysia juga kini sedang dilatih dan dilengkapkan dengan unit pengurusan luka yang lebih maju sebelum dirujuk kepada pakar .

Ketika ini katanya, kit pengurusan luka lebih maju bagi kaki pesakit diabetes diberikan kepada hospital dan klinik seluruh negara, tetapi jumlahnya masih terhad memandangkan harganya yang mencecah ribuan ringgit bagi setiap kit.

“Dalam rawatan pengurusan luka yang lebih maju, antara bahan yang kita gunakan adalah hidrokoloid, madu, hidrofiber, gel hidroaktif, busa, pembalut kalsium alginat, gliserin, serbuk perak dan emas.

“Perak akan membunuh kuman dan setakat ini ia adalah yang terbaik dan tidak ada tentangan daripada kuman manakala emas pula bertindak menyerap lebihan cecair. Gliserin pula melembapkan kawasan luka dan memastikan ia pulih dengan baik.

“Selain membersihkan dan membalut luka, kita juga ada menggunakan terapi infra merah bagi mempercepatkan luka sembuh. Kesemua ini kita jalankan di HKL dan setakat ini, HKL merupakan pelopor dunia di bahagian pengurusan luka kaki akibat diabetes,” katanya.

Langkah penjagaan kaki pesakit diabetes

1. Basuh kaki menggunakan sabun terutama di celah jari setiap hari.

2. Keringkan kaki dengan tuala bersih dan lembut terutama di celah jari kaki.

3. Sapukan losyen pelembap supaya kulit tidak kering termasuk antara celah jari kaki.

4. Selalu mengurut kaki dan jari kaki dengan tangan secara perlahan-lahan.

5. Gunakan stokin daripada kain kapas yang dapat menyerap peluh. Pastikan ia tidak terlalu ketat kerana akan menghalang edaran darah pada kaki. Tukar sarung kaki setiap hari.

6. Elak berkaki ayam di luar ataupun di dalam rumah supaya tidak luka terpijak benda tajam atau panas.

7. Pakai kasut bersaiz sesuai. Pilih kasut yang lembut dan tidak ada besi bagi mengelakkan terluka.

8. Setiap kali sebelum memakai kasut, lakukan pemeriksaan teliti terhadap kasut bagi mengelak bahan yang boleh mencederakan kaki.

9. Potong kuku jari secara lurus dan tidak terlalu pendek. Jangan bulatkan bahagian tepinya. Kikis pinggir kuku supaya tidak tajam, gunakan penyepit kuku dan jangan gunakan peralatan yang hujungnya tajam ketika membersihkan kuku kaki.

10. Jangan merendam kaki lebih daripada lima minit dan di dalam air panas.

11. Jangan duduk menyilang kaki untuk masa yang lama.

12. Periksa kaki, tapak dan celah kaki dengan teliti setiap hari di tempat yang terang. Gunakan cermin jika perlu atau minta bantuan orang lain. Periksa untuk mengesan rekahan kulit, calar, kudis, bisul, bengkak, luka, lepuh, perubahan warna kulit dan kulit tebal.

13. Luangkan masa beberapa minit sehari untuk berbaring atau duduk dengan meletakkan kaki lebih tinggi daripada badan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

434 views