Jalani Hidup Baru
SELEPAS empat tahun menganggur dan 12 bulan hidup melarat serta terpaksa bermalam di tepi jalan, Orlando Sousa, 62, akhirnya berjaya mendapat pekerjaan dengan menjalani latihan sebagai pengilat kasut di ibu negara Portugal.
“Hidup saya berubah sama sekali, terasa seperti baru dilahirkan,” kata lelaki tua bertubuh kecil yang duduk di atas bangku kayu, lengkap dengan kain penggilap sambil tersenyum lebar.
Bekas pekerja binaan yang kehilangan kerja apabila syarikat dia bekerja gulung tikar itu baru saja menamatkan kursus menggilap kasut selama dua bulan. Kursus berkenaan ditaja oleh sekumpulan institusi untuk mengembalikan perniagaan tradisional di negara itu apatah lagi dalam keadaan yang serba-serbi sukar dan peningkatan kadar pengangguran.
Bapa kepada tujuh anak itu mula bekerja sejak berumur 14 tahun tetapi dalam beberapa tahun terakhir ini, dia terpaksa mengharapkan bantuan kebajikan bulanan yang berjumlah RM480. Dia dibantu oleh Angkatan Takhlisan yang mendapatkannya tempat berlindung sejak beberapa tahun lalu.
Di bawah pintu gerbang Dataran Perniagaan di pusat bandar Lisbon, bekas pusat perniagaan yang kini menjadi tumpuan pelancong untuk ke muara Sungai Tagus, Sousa menunggu pelanggan dengan sabar di bawah pemerhatian gurunya, Jose Roque, yang menjadi penggilap kasut selama 30 tahun.
Dua lelaki itu bertemu pada program latihan yang dikendalikan bersama oleh badan kebajikan Santa Casa de Mosericordua de Lisboa, sekolah perniagaan dan persatuan CAIS untuk gelandangan.
Ia bertujuan mengembalikan perniagaan yang hampir pupus seperti tukang kasut, pengasah pisau atau tukang jahit. Dalam fasa permulaan, program ini mengambil 10 pelatih pengilat kasut dan empat guru daripada 15 saki-baki pengilat kasut yang ada di Lisbon.
Pelatih perlu menjalani latihan dua bulan yang membabitkan pelbagai aspek termasuk teknikal dan kemahiran melayan pelanggan. Mereka kemudiannya diberikan peralatan dan perlu memulakan perniagaan sendiri.
Presiden CAIS, Henrique Pinto berkata, mereka mahu mengembalikan perniagaan tradisional itu kerana faham bahawa dengan membina jaringan pelanggan, penggilap kasut boleh memperoleh pendapatan secukupnya untuk menyara diri dan keluarga mereka.
Portugal kini berada dalam saat sukar apabila ia terpaksa mendapatkan bantuan berjumlah 78 bilion euro (RM317.5 bilion) menerusi pakej penyelamat daripada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Mei lalu.
Pada November, parlimennya memperkenalkan bajet berjimat cermat yang ketat dengan melakukan pemotongan gaji, meningkatkan cukai dan memanjangkan waktu kerja bagi pekerja yang sememangnya sudah dihimpit kemelesetan ekonomi.
“Dengan kadar pengangguran setinggi 12.4 peratus dalam suku ketiga tahun lepas, ekonomi yang semakin menguncup dan inflasi, kebanyakan mereka yang dapat bertahan disebabkan adanya bantuan daripada keluarga dan adik beradik. Tetapi untuk berapa lama?” soal Pinto.
Di luar kafe popular Martinho da Arcada yang sudah berusia 200 tahun dan dulunya kerap dikunjungi penyair Portugis, Fernando Pessoa pada 1920-an dulu, Jose Roque berkata dia mendapat RM140 sehari, dengan mengenakan bayaran sebanyak RM10 untuk menggilap kasut dan RM20 untuk but. Gaji minimum di Portugal ialah 565 euro atau RM2,267 sebulan.
“Kerja ini tidak semudah seperti yang dilihat. Kena tahu bagaimana menggunakan berus dan kain, paling penting perlu tahu cara untuk memuaskan hati pelanggan,” katanya.
Bagi Sousa, perjalanannya dalam kerjaya itu baru bermula. Selepas tamat latihan, dia membuka ‘kedai’ di satu sudut di dataran berkenaan tetapi perniagaannya agak perlahan kerana hanya menerima dua atau tiga pelanggan sehari pada minggu pertamanya.
“Keadaan ini tidak melemahkan semangat saya. Saya percaya, satu hari nanti peluang akan datang,” katanya dengan penuh yakin.
Sejurus kemudian, seorang pelanggan lelaki datang dan duduk di atas bangku tinggi yang diletakkan di tepi dinding dan meletakkan kakinya di atas platform khas.
“Awak memang dapat seorang pelanggan,” kata lelaki berkenaan kakitangan kerajaan yang setiap hari datang ke kawasan terbabit pada waktu makan tengah hari.
“Tempat awak ini bagus, dalam masa setahun awak akan dapat 20 pelanggan sehari,” sambungnya lagi, yang menaikkan lagi semangat Sousa untuk meneruskan kerjaya tradisional di Portugal, sebagai penggilap kasut. – AFP