Jam Tangan Gaya Eksklusif, Mewah
JAM tangan adalah barangan yang sering menjadi pilihan sebagai hadiah buat insan istimewa bagi memberi penghargaan terhadap jasa yang tidak ternilai harganya.
Seiring dengan fungsinya sebagai pemberitahu masa, jam tangan juga kelihatan menarik dengan rekaan kreatif yang digabung bersama material berharga mengikut keinginan pemakai masa kini membuatkan ia antara sebab dijadikan sebagai pilihan.
Justeru itu, ia sesuai dijadikan hadiah kepada wanita istimewa bersempena sambutan Hari Ibu pada 13 Mei yang disambut setiap tahun.
Tidak mahu ketinggalan dalam memberikan pilihan untuk dijadikan hadiah kepada wanita, jenama pembuatan jam tangan terkenal, Roger Dubuis menampilkan koleksi menarik bagi yang masih lagi tercari-cari barangan sesuai untuk insan tersayang.
Pemberian koleksi jam tangan Excalibur Lady dengan 0.99 karat daripada jenama itu dilihat sesuai untuk diberi kepada wanita yang begitu mementingkan gaya eksklusif dan mewah.
Permukaannya yang diperbuat daripada keluli tahan karat tampak mewah dengan kehadiran hiasan 48 batu berlian di sekelilingnya membuatkan ia bersinar indah.
Bertambah menarik pada bahagian jarumnya yang diperbuat daripada saduran warna putih dan menggunakan angka Roman bagi menampilkan gaya lebih klasik.
Malah, ia mudah dipakai dan disesuaikan mengikut saiz pergelangan tangan dengan kehadiran kancing boleh laras yang diperbuat daripada keluli tahan karat.
Selain itu, talinya menggunakan fabrik satin berwarna ungu lembut tampak selesa dipakai oleh wanita yang bergelar ibu.
Ia bertambah lengkap dengan kehadiran fungsi wajib jam tangan iaitu tahan air agar ia kekal lama untuk dipakai sebagai hadiah penuh bermakna.