Jana Sumber Pendapatan
MUNGKIN ramai beranggapan belajar menjahit hanya untuk mereka yang mempunyai banyak masa lapang hinggakan ada yang memandang remeh mengenai aktiviti sebegini.
Bagi mereka, kenapa perlu bersusah payah sedangkan kini terdapat banyak tukang jahit yang mampu memberikan khidmat menjahit pakaian dengan mudah.
Tetapi hakikatnya, ia bukan saja boleh dijadikan sebagai hobi, tetapi seni jahitan juga memainkan peranan dalam membantu memberikan sumber pendapatan sampingan kepada wanita jika dilakukan dengan kaedah yang betul.
Menurut pengasas merangkap Pengarah Urusan Pusat Latihan Kraftangan Epal (Epal), Fully Chye Goet Lee, seni jahitan amat unik terutama apabila membabitkan seni jahitan kreatif kerana ia tidak hanya tertumpu pada satu produk saja.
Katanya, Epal bertindak sebagai pusat sehenti dalam bidang seni jahitan yang menawarkan kursus latihan pelbagai seni dan kaedah jahitan secara kreatif menggunakan mesin jahit berkomputer.
“Setiap kursus yang dianjurkan adalah berasaskan keperluan serta permintaan masyarakat agar mereka boleh lebih berdaya saing bagi memenuhi permintaan industri.
“Kami juga ingin membantu wanita agar sentiasa berfikiran positif dalam menjana ekonomi keluarga melalui kemahiran yang diberikan dan tidak hanya bergantung kepada sesuatu inisiatif untuk terus berjaya,” katanya.
Pusat latihan ini juga katanya, dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi dan menyebarkan maklumat berkaitan seni jahitan kreatif terutama kepada golongan suri rumah yang ingin memperoleh kemahiran baru di samping menjana pendapatan tersendiri.
“Kami mendapatkan tenaga pengajar daripada mereka yang pernah mengikuti kurus jahitan daripada GiatMara, Kolej Komuniti dan Kolej Industri Pendidikan Negeri Selangor (Inpens).
“Namun, mereka perlu mengikuti kursus selama tiga bulan terlebih dulu sebelum boleh mengajar kerana tidak dinafikan, mereka lebih terarah kepada bentuk seni jahitan biasa yang lebih memfokuskan kepada satu produk saja,” katanya.
Sehingga kini pusat latihan kraftangan ini memiliki 16 pusat latihan seluruh negara iaitu di Puchong, Klang, Bandar Sunway, Kota Raya (Kuala Lumpur), Bahau dan Seremban (Negeri Sembilan), Melaka, Johor Bahru, Kuantan (Pahang), Kota Bharu (Kelantan), Pulau Pinang, Ipoh (Perak), Sungai Petani (Kedah), Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu dan Tawau di Sabah.
Malah, ia turut mempunyai dua cawangan di Indonesia iaitu di Mangga Dua Square, Jakarta Utara dan Blok M Square di Jakarta Selatan.
Fully berkata, Epal juga bekerjasama dengan Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dalam menganjurkan Program Berasaskan Perniagaan Di Rumah dengan harapan ia boleh membantu wanita menjana pendapatan sendiri walaupun dengan hanya berada di rumah.
Katanya, program sebegini bertujuan mengubah pandangan wanita terhadap dunia jahitan dan hanya menganggapnya sebagai minat ataupun hobi kepada satu kerjaya yang mampu menjana sumber pendapatan lumayan.
“Kami ingin melahirkan lebih ramai wanita yang mampu berdikari dan produktif dengan harapan melalui kemahiran ini, mereka boleh menjadi usahawan berjaya serta berjaya meningkatkan kualiti hidup bersama keluarga.
“Melalui program sebegini juga, wanita tidak perlu keluar bekerja namun masih boleh menjana pendapatan sambil menguruskan rumah tangga serta anak-anak terutama bagi ibu tunggal,” katanya.
Bagi Faridatul Mohd Arif, 46, Epal banyak memberikan kemudahan kepadanya kerana selain menyediakan kursus pusat latihan terbabit turut menyediakan kelengkapan jahitan untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan sendiri.
Sungguhpun tidak mengikuti kursus yang diadakan di Epal, dia cukup berterima kasih kerana dengan peralatan menjahit disediakan di situ yang memberikannya kemudahan dalam menyiapkan tempahan pakaiannya.
“Saya berkecimpung dalam dunia seni jahitan sejak usia muda disebabkan minat yang mendalam dan hingga kini, masih lagi mampu bertahan namun bentuk dan corak yang digunakan disesuaikan dengan kehendak pasaran terkini.
“Saya banyak memberi tumpuan pada perincian yang digunakan pada jubah dan makin memahirkan diri menggunakannya mengikut kesesuaian serta permintaan pelanggan,” katanya.
Faridatul berkata, pada awalnya dia mengetahui kewujudan pusat latihan ini melalui rakan dan hingga kini mendapatkan segala kelengkapan jahitan di situ.
Sementara itu, Nurhani Sakinah Abdul Rahman, 18, pula berkata, dia mengikuti kursus seni jahitan kreatif ini bagi memenuhi masa lapang sepanjang menunggu pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Menurutnya, dia amat meminati bidang jahitan dan sebolehnya ingin menimba pengalaman sebanyak mungkin asas seni jahitan sehingga mahir.
Sungguhpun dia tiada asas jahitan sebelum ini, ia tidak menghalang gadis manis berasal dari Putrajaya ini daripada meneruskan minatnya menceburi bidang ini dengan lebih mendalam.
“Saya suka menjahit walaupun tidak begitu pandai melakukannya justeru, saya mengikuti kursus yang diadakan di Epal bagi mengembangkan bakat yang ada dalam diri.
“Kini saya sudah mempelajari dan mahir menjahit baju dan beg. Kini saya dalam proses menyediakan jahitan seluar dan masih cuba melakukan yang terbaik walaupun boleh dikatakan agak sukar berbanding dua produk sebelum ini,” katanya.
Walaupun aktiviti yang dilakukannya kini hanya bersifat sementara, tetapi yang pasti, seni jahitan yang dipelajarinya sepanjang tempoh ini tidak akan sesekali dilupakan.
Malah, katanya dia juga bercita-cita membuka butik jahitan sendiri apabila menamatkan bidang pengajiannya suatu hari nanti.
“Saya akan tetap menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana mengetahui pelajaran adalah bekalan penting dalam hidup, tetapi tidak akan sesekali mengabaikan bidang jahitan seni kreatif ini.
“Saya akan terus mempelajari dan mengusahakannya pada setiap hujung minggu hingga betul-betul mahir dan boleh menghasilkan produk tersendiri,” katanya.