Jangan Kecewa Tanggapan Negatif
Sejak di dalam kandungan sehinggalah Ameer Imran Mohd Azman atau mesra disapa Imran berusia tujuh tahun, semuanya kelihatan normal saja.
Namun, perasaan curiga mula menyelubungi hati ibunya, Norsidah Adam, 39, setelah mendapati anak kedua daripada lima beradik itu masih belum mengenal huruf walaupun sudah memasuki tahun satu dan dua.
Walaupun fizikalnya kelihatan normal, Norsidah mula sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan Imran, sekali gus mendapatkan surat kebenaran daripada pihak sekolah ketika anaknya berusia sembilan tahun untuk menjalani pemeriksaan pakar.
“Sejak di dalam kandungan lagi, dia paling mudah dijaga, malah langsung tidak cerewet termasuk soal pemakanan.
“Namun, sejak memasuki sekolah rendah saya dapati dia mempunyai masalah yang saya dan guru sendiri tidak menyedarinya hinggalah mengetahui anak masih belum kenal huruf.
“Saya bertambah bimbang ketika menyemak buku latihannya dan mendapati setiap helaian kosong tanpa ada sebarang tulisan atau angka,” katanya.
Apabila bertanyakan gurunya, jawapan diberikan mungkin Imran agak lambat menerima pembelajaran.
Disebabkan tidak mengetahui masalahnya, dia kerap mengkritik anaknya jika melakukan kesilapan. Sejak di tadika, dia juga sudah menunjukkan sikap tidak mahu bergaul dengan rakan sebaya, pendiam dan lebih suka menjauhkan diri, namun itu tidak diambil kisah kerana menganggap ia perkara biasa.
Percakapannya juga sedikit pelat walaupun tidak begitu ketara. Bukan itu saja, malah pernah juga anaknya bertegas tidak mahu ke sekolah, namun tidak pula dinyatakan sebabnya, tetapi dia lebih suka berdiam diri.
Apabila dipujuk dengan lembut barulah diberitahu sebabnya. Selain itu, anaknya juga mudah hilang tumpuan ketika waktu pembelajaran.
Paling lama untuk dia memberi tumpuan di dalam kelas adalah 15 minit. Selepas itu, dia melakukan halnya sendiri.
Norsidah akui, ketika itu dia dan guru kelas anaknya masih belum mengetahui masalah Imran menyebabkan dia sering dimarahi.
Selama lapan bulan bermula Ogos 2011 hingga akhir April 2012, ketabahan dan kesabaran hati ibu ini diuji tatkala proses pemeriksaan si anak bermula.
Satu persatu hospital dituju bagi mendapatkan pemeriksaan daripada pakar berkaitan. Walaupun jarak jauh terpaksa ditempuh, demi masa depan anaknya itu dia gagahkan juga.
Tidak dinafikan sepanjang tempoh berkenaan, Norsidah kadangkala diterjah rasa kecewa dan keletihan. Namun, hatinya sedikit lega apabila keputusan menyatakan anaknya disahkan menghidap masalah disleksia, sekurang-kurangnya dia tahu perkara perlu dilakukannya.
Justeru, dia segera menghantar Imran ke Persatuan Dyslexia Malaysia di Ampang, Selangor.
Dia juga sama seperti ibu bapa lain yang pernah berasa kecewa disebabkan tanggapan negatif orang sekeliling selepas mengetahui Imran menghidap masalah berkenaan.
Namun, demi kebaikan Imran perasaan itu segera disingkir dan diganti dengan pemikiran positif.
“Sejak mengetahui keadaannya, saya tidak lagi mengkritik anak sebaliknya terus memberi galakan dengan pujian bagi mengelakkannya berasa rendah diri.
“Selain itu, saya juga perlu sentiasa menggalakkan dirinya untuk menjadi lebih baik dan sering mengingatkan mengenai kelakuan buruk yang dilakukannya.
“Saya lebih suka menekankan dan mencari bakat serta kemahirannya berbanding memberi fokus pada pelajaran semata-mata kerana memahami dia mudah bosan,” katanya.
Tambahnya, penting untuk dia mengetahui setiap masalah dihadapi anak bagi membantu mengatasinya dengan lebih baik berpandukan kepada maklumat dan sokongan pihak tertentu seperti persatuan.
Selepas tiga bulan anaknya dihantar ke kelas yang dianjurkan persatuan secara sepenuh masa, banyak perubahan yang dilihat, malah ia lebih baik berbanding dulu.
Imran lebih bertanggungjawab dan boleh meluahkan isi hatinya jika ada perkara yang dia sendiri tidak berpuas hati berbanding berdiam diri seperti dulu.
Bukan itu saja, dia juga sudah dapat membezakan antara perkara yang boleh dan tidak sepatutnya dilakukan terutama di rumah.
Walaupun sebelum ini dia agak sukar ke sekolah, sejak menghadiri kelas berkenaan, Imran lebih seronok dan bersemangat. Malah, dia juga gembira ke sekolah harian di sebelah pagi sebelum dihantar ke kelas khas di persatuan pada waktu petangnya.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memberi semangat, motivasi dan menggalakkan anak lebih berjaya walaupun mereka mempunyai masalah.
“Kita tidak tahu mungkin satu hari nanti mereka boleh berjaya asalkan usaha itu berterusan. Apabila mengetahui anak bermasalah, segera dapatkan pemeriksaan untuk pencegahan awal.
“Bagi saya, sebenarnya penghidap disleksia ini lebih bijak daripada mereka yang normal jika ibu bapa sedar mengenai minat serta kemahiran dimiliki yang boleh membawa kepada kejayaan dalam hidup mereka,” katanya.
Bagi membantu anaknya itu, Norsidah juga memperbanyakkan pencarian maklumat mengenainya menerusi Internet dan menyertai bengkel diadakan persatuan.
Tambahnya, ibu bapa tidak perlu berasa malu dan menyisihkan anak kerana mereka boleh dibantu. Ibu bapa perlu mengambil berat setiap perkembangan anak dan mengenal pasti minat mereka agar ia boleh dikembangkan ke pelbagai cabang pilihan untuk berjaya.
Elak memberi tanggapan anak sebagai orang kelainan upaya (OKU) walaupun mereka adalah pemegang kad berkenaan sebaliknya layan seperti anak yang lain bagi mengelakkan mereka terasa tersisih.
Material berbeza berbanding buku
Bagi penyelaras program yang juga guru di persatuan berkenaan, Hazlina Ahmad Azahari, sebaiknya segera dapatkan pemeriksaan sekiranya ibu bapa menyedari anak berusia seawal enam tahun mempunyai masalah.
“Antara tanda apabila mendapati anak tidak dapat mengenal abjad atau membaca dengan baik berbanding rakan sebaya yang lain. Apabila anak tidak mampu membaca perkataan mudah seperti buku dan pen, ia bermaksud mereka sedang ketinggalan.
“Sebaik ibu bapa mengesan masalah sedemikian, segera dapatkan pemeriksaan daripada pakar atau hantar anak ke persatuan terdekat bagi menjalani penilaian pelajaran,” katanya.
Ia bagi membantu mengenal pasti masalah dihadapi dan mendapatkan kelas terapi sepatutnya. Sebaiknya, kelas perlu dihadiri setiap hari untuk tiga bulan pertama selepas disahkan mempunyai masalah disleksia atau mengikut keperluan si anak.
Di dalam kelas yang mempunyai kira-kira lima pelajar itu, mereka diajar menggunakan material yang sesuai seperti gambar bagi mengelakkan pelajar mudah bosan dan hilang tumpuan.
Ini kerana, mereka lebih suka guru mengajar menggunakan material berlainan berbanding buku. Terdapat lima peringkat atau kategori kelas perlu dihadiri pelajar.
“Ia mengikut keperluan murid itu sendiri bermula yang mana pembelajaran dimulakan dengan latihan prapenulisan, huruf atau suku kata.
“Kemudian, ia dipertingkatkan dengan pembelajaran membuat perkataan pendek sebelum menjadikannya lebih panjang dan ayat penuh. Biasanya, kami menggunakan ayat lebih mudah,” katanya.
Pelajar terbabit juga melakukan aktiviti pergerakan berpandukan muzik setiap pagi. Ia bagi menggalakkan mereka berfikir atau memberi idea setiap bentuk pergerakan dilakukan itu mempunyai makna selain menggalakkan otak kiri serta kanan digunakan dengan baik.
Malah, menerusi persatuan juga kanak-kanak disleksia didedahkan di depan orang ramai sama ada dengan persembahan atau menyertai pertandingan seperti menari, perkhemahan dan bersukan.
Aktiviti itu bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri mereka, menggalakkan sikap berdikari dan menonjolkan kebolehan diri walaupun menghadapi masalah dalam pembelajaran.