Jangan Lebih Warna

Rekaan yang tidak terlalu sarat dan tampak ringkas tetapi masih mengekalkan potongan moden menjadi kegemaran untuk digayakan ke pejabat.

Bagi menjadikan penampilan lebih senada, pilihan warna yang diadun juga haruslah tidak terlampau terang atau terlalu lembut. Di dalam panduan bergaya korporat, biasanya kita tidak digalakkan untuk mengenakan lebih daripada tiga warna dalam satu masa bagi mengelakkan penampilan terlalu sarat. Bukan itu saja, pemilihan material atau fabrik sesuai juga penting agar pakaian yang digayakan tidak mudah renyuk dan tampak sentiasa kemas sepanjang hari. Bagi wanita yang berbadan agak berisi pula, tidak salah untuk menggayakan kemeja dan seluar asalkan corak dan warna yang dipilih sesuai dengan bentuk badan. Selain itu, penggunaan baju kurung untuk ke pejabat juga tampak sesuai. Mungkin ada yang beranggapan pemakaian baju kurung ke pejabat pada masa kini kelihatan kolot, tetapi jika bijak memilih warna dan fabrik eksklusif, pasti penampilan tampak elegan. Untuk menampakkan kesan lebih langsing, gunakan corak garisan menegak atau motif yang lebih kecil dan warna gelap. Penampilan yang kemas juga pasti membuatkan diri lebih yakin ketika melakukan tugasan di dalam atau luar pejabat. Bermula daripada tudung hinggalah sepatu, semuanya dipadan dengan teliti. Paling penting, tambahan sedikit aksesori seperti barangan kemas, jam tangan dan beg tangan menjadi pelengkap untuk bergaya elegan. Lebih menarik, sapuan mekap yang ringan menyempurnakan penampilan yang anggun dan bertenaga ketika menjalankan tugasan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

539 views