Jangan Makan Sembarangan

Setiap individu memerlukan pemakanan yang seimbang bagi memenuhi segala keperluan badan dan begitu juga dengan pesakit kanser. Tiada makanan yang dapat menyembuhkan kanser dan tiada makanan khusus yang perlu dimakan atau dielak jika anda menghidap kanser.

Pemakanan faktor penting dan perlu diambil berat oleh pesakit kanser dan individu yang menjaganya. Ini kerana kanser dan jenis rawatan yang diambil akan meningkatkan keperluan badan terhadap makanan.

Corak pengambilan makanan anda juga terganggu. Oleh itu, amalan pemakanan yang baik sebelum, semasa dan selepas rawatan adalah penting dan mampu membuat anda rasa lebih sihat dan bertenaga.

Kanser melemahkan sistem imunisasi seseorang. Pemakanan yang seimbang boleh menguatkan sistem pertahanan tubuh dan untuk melawan penyakit.

Diet yang sihat juga boleh mempercepatkan penyembuhan tisu yang rosak akibat kanser atau kemoterapi. Bagaimanapun, kemoterapi boleh menjejaskan nafsu makan pesakit. Malah, ada kalanya pesakit mengalami masalah ulser dalam mulut termasuklah di lidah. Ini menyebabkan rasa sakit untuk menelan atau mengunyah manakala ada sesetengah ubat-ubat kemoterapi boleh menghilangkan selera makan.

Semasa menjalani kemoterapi, pesakit berasa cepat penat dan emosi mereka menjadi lebih tertekan. Hilang selera makan ini boleh berlarutan sehingga berminggu atau berbulan lamanya.

Walaupun tiada selera, tetapi pesakit kanser perlu memaksa diri untuk makan. Apabila anda makan, badan memberi tindak balas lebih baik kepada rawatan, selain dapat melawan jangkitan kuman (kerana ketika ini sistem imun badan amat lemah) dan memperbaiki tisu tubuh yang rosak akibat rawatan kemoterapi.

Pesakit kanser perlu berhati-hati dan menyedari kepentingan pengambilan diet yang seimbang. Ini untuk mengawal pembiakan kanser sel di dalam badan pesakit.

Sekiranya mereka mengamalkan diet yang sama seperti sebelum disahkan menghidap kanser, dikhuatiri ia membawa kemudaratan. Apabila disahkan menghidap kanser, pesakit perlu menukar cara pemakanan dengan mengambil diet yang lebih bersifat alkali seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dan mengurangkan diet yang bersifat asid (banyak daging).

Antara kepentingan amalan pemakanan yang baik ialah:

Dapat membantu mempercepatkan penyembuhan luka dan tisu yang rosak terutamanya selepas pembedahan, radioterapi, kemoterapi atau rawatan perubatan lain.

Dapat membantu menghadapi kesan sampingan rawatan dengan lebih baik dan sembuh lebih cepat.

Dapat meningkatkan sistem imun atau ketahanan badan bagi membolehkan anda melawan jangkitan.

Dapat membantu anda mencapai dan mengekalkan berat badan yang seimbang.

Pemakanan sebelum rawatan

Makan pelbagai jenis makanan menolong anda mendapat segala nutrien yang diperlukan. Badan menukar makanan kepada bentuk tenaga. Anda memerlukan tenaga walaupun anda tidak aktif seperti biasa. Oleh itu, pengambilan makanan bertenaga dari sumber karbohidrat dan lemak perlulah mencukupi.

Makanan berprotein juga amat penting untuk memperbaiki tisu yang rosak dan mengekalkan sistem imun badan bagi melawan jangkitan kuman. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran menyumbangkan vitamin, mineral dan serat yang diperlukan oleh badan.

Pemakanan selepas rawatan

Rawatan diperlukan untuk membunuh sel kanser, namun begitu ia juga merosakkan sel yang sihat. Pelbagai kesan sampingan dialami.

Bagaimanapun, kesan sampingan ini berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada bahagian badan yang dirawat, tempoh dan dos rawatan serta tindak balas badan pesakit itu sendiri. Kebanyakan kesan sampingan bersifat sementara dan berakhir selepas rawatan selesai.

Ketika ini selera makan meningkat beransur-ansur.

Antara amalan pemakanan yang disarankan untuk meningkatkan kesihatan ialah:

Makan makanan seimbang dan berkhasiat. Pelbagaikan makanan anda.

Makan lima atau lebih hidangan sayur dan buah setiap hari.

Pilih karbohidrat kompleks dan bijirin penuh bagi meningkatkan pengambilan serat dalam diet anda.

Kurangkan pengambilan lemak dan garam dalam makanan.

Pilih makanan yang boleh mengekalkan berat badan sihat. Seimbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

348 views