Janjikan Pendapatan Lumayan

Kot putih labuh ala jururawat tersarung kemas di badan sambil dia pula membimbit beg berisi minyak urut, minyak serai, minyak bayi, tungku, bengkung dan semua peralatan untuk ibu selepas melahirkan anak, wanita ini sudah bersedia melakukan tugasan sebagai perunding perbidanan.

Lagaknya sama seperti jururawat yang datang ke rumah memeriksa ibu dalam pantang. Ada juga yang memberi gelaran mak bidan namun perlu diingatkan, mereka bukan sebarangan mak bidan yang pandai mengurut saja sebaliknya membabitkan kerja rundingan termasuk kesihatan dan penyediaan makanan berkhasiat.

Dalam masyarakat Melayu, bidan sangat dihormati, mempunyai status tinggi dan menjadi rujukan membabitkan hal wanita. Mereka juga dianggap pakar dalam hal penjagaan kesihatan bermula dari sebelum mengandung sehingga selamat melahirkan anak. Begitu pentingnya peranan mak bidan pada zaman dulu sehinggakan kehadirannya ditunggu-tunggu dalam majlis melenggang perut atau cukur jambul.

Jika dulu, hanya golongan berusia mempelopori kerjaya mak bidan kerana persepsi bidang ini sesuai untuk mereka yang mencecah usia emas, namun kini kerancakkan arus kemodenan semasa berjaya mengubah gelaran mak bidan kepada satu bentuk kerjaya profesional yang mempunyai pasaran luas. Sebab itu ramai golongan bukan Bumiputera mengambil alih tugasan ini dan menggelarkan diri mereka ‘confinement lady’, sekali gus menawarkan perkhidmatan yang sama.

Menurut Pengarah Urusan Ainaa-Ailaa Group Sdn Bhd, Norulnaha Abdul Razak, menyedari permintaan terhadap rawatan selepas melahirkan anak semakin meningkat, seharusnya amalan dalam perbidanan Islam dikaji semula serta dinaik taraf supaya menjadi satu kerjaya profesional sama seperti bidang kedoktoran, guaman dan akauntan.

“Jika dulu kerjaya bidan dianggap hanya menjaga wanita bersalin, menyunatkan bayi perempuan, mencukur rambut bayi, menanam uri, menjalankan adat melenggang perut serta mengandam pengantin, kini seiring perkembangan semasa tugas mak bidan semakin meluas. Ia bermula daripada sebelum mengandung, ketika mengandung dan selepas bersalin membabitkan rundingan kesihatan kepada ibu dan bayi,” katanya.

Lebih penting kerjaya yang dianggap sebagai kelas bawahan ini kini menjanjikwwan pendapatan lumayan kerana membabitkan kepakaran dalam bidang urutan, nasihat serta perundingan. Malah kini lebih 40 perunding perbidanan menjalankan perkhidmatan di luar negara seperti Dubai dan London disebabkan inginkan rawatan secara eksklusif serta menepati syariat Islam.

“Dulu ramai berpendapat kerjaya ini tidak menjanjikan pendapatan lumayan, tetapi kini perkhidmatan urutan misalnya semakin mendapat perhatian kerana menjadi rawatan alternatif bukan saja dalam kecantikan tetapi membaik pulih masalah kesihatan.

“Malah ramai yang sanggup mengeluarkan kos tinggi kerana bagi mereka duit tidak menjadi masalah asalkan memperoleh badan yang sihat,” katanya.

Jelasnya, dulu kebanyakan ibu kurang mendalami ilmu keibubapaan kerana tiada perunding yang memberikan khidmat nasihat. Tetapi kini menerusi perunding perbidanan, mereka menyampaikan mesej mengenai kandungan, makanan berkhasiat, menjaga perlakuan daripada perkara negatif serta kebaikan membaca al-Quran supaya ilmu ini dapat dijadikan amalan, sekali gus melahirkan generasi cemerlang dan baik akhlaknya.

Menyedari pentingnya melahirkan lebih ramai perunding perbidanan Islam, Rangkaian Bidan Desa diwujudkan bagi membangunkan modul Amalan Perbidanan Islam (API) di bawah Malaysian Holistik Spa Nu’ Della yang memberi tumpuan kepada amalan dan rawatan perbidanan khusus untuk wanita bersalin berasaskan garis panduan Islam serta bebas unsur khurafat.

Bagi memberi kefahaman lebih jelas, Nu’Della mengadakan kursus asas API selama tiga hari kepada sesiapa yang berminat untuk menceburi kerjaya ini secara profesional.

Jelas Norulnaha, pengamal API mestilah seorang Islam dan didedahkan dengan amalan perubatan Islam seperti zikir dan doa yang boleh diamalkan sebelum, semasa dan selepas bersalin serta dalam tempoh berpantang. Rawatan dalam API sama seperti yang diamalkan masyarakat Melayu lama cuma diberi penambahan mengikut Islam dan perubatan moden.

“Antaranya persediaan air dan minyak selusuh, mandian herba, urut, bertungku, bertangas, berbengkung, berbarut, tapel, param, pilis dan melulur. Penekanan diberikan dari segi penyediaan bahan dan peralatan supaya bersih dan halal juga mematuhi prosedur standard operasi bagi menunjukkan pengamal perbidanan dan organisasi beroperasi berdasarkan syariah,” katanya.

Selain menetapkan etika berpakaian supaya menutup aurat, perunding perbidanan diajar menjaga batas pergaulan dengan pelanggan serta memastikan tidak melakukan perkara ditegah seperti mengumpat, bergosip, riak serta menceritakan keaiban pelanggan kepada orang lain.

Mereka harus menjaga peradaban, akhlak dan bersopan-santun ketika menjalankan tugas sama ada dilakukan dari rumah ke rumah atau di pusat rawatan dan kecantikan.

Ramai tidak sedar Amalan Perbidanan Islam kini sangat relevan dengan kesedaran masyarakat yang bukan saja inginkan kehidupan yang sihat tetapi mengikut syariat Islam. Perkhidmatan berasaskan tuntutan syariah, tiada unsur khurafat serta penggunaan produk halal menjamin rawatan perbidanan Islam yang lebih meyakinkan.

“Malah ia kini menjadi fardu kifayah dalam membantu pengurusan perbidanan untuk Muslimah secara khusus serta menjadi negara halal dalam menyediakan perkhidmatan dan produk halal untuk Muslimah,” katanya.

Ganjaran lumayan

Menurut Pengasas Rangkaian Bidan Desa, Awanis Musa yang berpengalaman sebagai bidan, Rangkaian Bidan Desa diwujudkan kerana terdapat peningkatan dari segi permintaan wanita selepas bersalin yang ingin mendapatkan rawatan secara tradisional dan menggabungkannya dengan rawatan moden di hospital.

Dalam erti kata lain, ibu moden ini masih percaya kepada keajaiban urutan, mandi herba, bertungku, param dan pilis, bertangas dan berbengkung dalam memulihkan fizikal dan mental serta pada masa sama tidak mahu nilai khurafat diterapkan dalam rawatan.

Dia yang aktif bergerak dari rumah ke rumah sebagai memenuhi permintaan pelanggan mengakui sesetengah wanita lebih selesa berurusan dengan perunding perbidanan berbanding ibu atau suami. Ini kerana perunding perbidanan lebih memahami dan mampu memberikan pandangan bukan saja sebagai bidan tetapi ibu dan kakak.

“Ada pelanggan menanti-nantikan kehadiran saya di rumah dan sanggup menyambung rawatan selepas tempoh diminta kerana rasa selesa. Mungkin kerana teknik rawatan menggunakan cara berhemah serta boleh bertukar-tukar pendapat menjadikan mereka selesa meneruskannya untuk kelahiran anak seterusnya,” katanya.

Dia yang berkhidmat mengikut jadual mengakui kerjaya ini sebenarnya menjanjikan pendapatan lumayan. Ini kerana untuk satu sesi urutan, bayaran paling minimum sebanyak RM100 untuk tempoh satu jam. Bayangkan dalam sehari mereka ada dua pelanggan dan bekerja hanya empat hari, jumlah pendapatan diterima melebihi gaji seorang profesional,” katanya.

Kajian di Selangor mengenai tahap kesuburan wanita menunjukkan terdapat peningkatan dari segi jumlah wanita subur berusia 20 hingga 40 tahun, sekali gus membuktikan pasaran dalam rundingan perbidanan Islam sangat diperlukan.
Bagi wanita yang ingin memperlengkap serta menambah kemahiran mengenai amalan perbidanan ini, boleh melayari laman sosial www.facebook.com/bidan-desa.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

4,472 views