Jenama Dari Seluruh Dunia

RAMAI golongan muda akan teruja dengan pembukaan cawangan keempat butik barangan gaya hidup istimewa, Bratpack yang mengetengahkan pelbagai jenama fesyen terkemuka dunia di e@Curve, Damansara, Petaling Jaya.

Membawakan pelbagai pilihan jenama menarik dan bergaya daripada seluruh pelusuk dunia di bawah satu bumbung, butik ini diyakini mampu memberikan kepuasan dalam pemilihan gaya dikehendaki terutama bagi mereka yang sentiasa mengikut perkembangan fesyen global terkini.

Di sini pengunjung boleh memilih koleksi beg, kasut dan juga pakaian untuk disesuaikan dengan bentuk gaya hidup tersendiri.

Antara jenama terkemuka antarabangsa yang boleh diperoleh adalah Ellesse, Sanuk, Native, Tretorn, Herschel, The North Face, Boxfresh, Brixton serta FITFLOP dan Supra.

Ellesse yang diinspirasikan daripada gaya warisan budaya masyarakat Itali, adalah jenama pakaian sukan terkemuka sejak ia mula diperkenalkan pada 1959.

Menggabungkan kesesuaian rasa cinta pada sukan serta rekaan menarik daripada Itali setiap pakaian direka dengan membawakan tanda pengenalan ikonik Ellesse tersendiri.

Jenama kasut Sanuk pula diambil namanya daripada perkataan Thai yang membawa maksud keseronokan dan ia menawarkan produk berinovatif dan juga pelbagai guna.

Bukan saja memfokuskan kepada gaya kasual di hujung minggu tetapi turut menarik minat warga muda kota yang aktif, barangan ditawarkan di kedai ini mampu memberikan kelainan terutama bagi disesuaikan dengan cita rasa setiap individu.

Menurut Pengurus Besar Primer Kenrich Sdn Bhd, Hooi Jacob, pembukaan cawangan keempat butik Bratpack ini jelas menunjukkan penerimaan pengguna tempatan terhadap gaya fesyen terkini terutama daripada peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang memberangsangkan.

Katanya, setiap individu memiliki gaya serta cara hidup tersendiri dan dia berbangga kerana Bratpack mampu memberikan kelainan serta penambahan ke arah bentuk serta fesyen terpilih yang dikehendaki.

Cawangan Bratpack boleh di dapati di Great Eastern Mall, Hartamas Shopping Center dan juga di Bangsar Village II.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,151 views