JPW Beri Latihan Profesional

Anda tiada masa untuk membersih dan mengemas rumah? Adakah anda memerlukan khidmat pembantu untuk menguruskan rumah tangga kerana kesibukan bekerja? Adakah anda memerlukan pembantu untuk menjaga warga tua, orang kurang upaya atau kanak-kanak mahupun bayi di rumah?

Jawapannya mudah. Dapatkan perkhidmatan pengurus kediaman anda hari ini. Bayaran boleh dibincangkan kemudian! Pelik bunyinya tetapi itulah hakikatnya tugas pengurus kediaman yang begitu yakin mengiklankan perkhidmatan mereka di Internet.

Ini kerana mereka tahu ramai suri rumah terutama yang bekerja memerlukan khidmat pembantu untuk menguruskan rumah tangga tetapi pada masa sama tidak mampu membayar gaji yang tinggi.

Dengan memiliki sijil dikeluarkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pengurus kediaman boleh menjalankan tugas berdasarkan permintaan majikan dengan bayaran setimpal mengikut tempoh tugas dan jenis pekerjaan.

Penyedia Pusat Latihan Tinta Ori, Rosnah Ahmad berkata, permintaan terhadap khidmat pengurus kediaman ketika ini melebihi tawaran dan yakin lebih ramai wanita tempatan berminat mengisi jawatan itu dengan adanya kemudahan latihan dan bantuan penempatan di tempat kerja oleh perunding.

Menurutnya, matlamat menyediakan khidmat pengurus kediaman bukan setakat mahu menawarkan alternatif kepada masalah pembantu rumah asing.

“Sebaliknya, ia turut membina keyakinan kepada majikan apabila anak-anak diasuh warga tempatan yang lebih memahami adat budaya dan tatasusila masyarakat sendiri kerana orang yang dibawa masuk ke rumah adalah mereka yang terlatih.

“Pengurus kediaman juga boleh mengajak anak majikan (jika ada ketika datang bertugas) membantunya mengemas rumah dan memberi tunjuk ajar cara menguruskan sebuah rumah tangga,” katanya ketika ditemui sempena majlis penutup Kursus Asas Pengurus Kediaman (KAPK) di Indera Mahkota, Kuantan, baru-baru ini.

Rosnah berkata, stigma masyarakat yang berterusan memandang sepi pekerjaan pembantu rumah perlu diubah.

“Hari ini pembantu rumah bukan sekadar mengemas, membasuh, menyediakan makanan dan menjaga anak-anak tetapi perlu memastikan kediaman sentiasa bersih dan kemas untuk kepuasan majikan.

“Kami mahu mengangkat status pengurus kediaman ini kepada satu pekerjaan yang dihormati dan digemari rakyat tempatan,” katanya.

Pengurus kediaman adalah program alternatif yang bertujuan melatih peserta menjadi pengurus kediaman yang cekap, profesional dan berkelayakan, membantu meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan wanita berpendapatan rendah, menyediakan khidmat pengasuh profesional, mengurangkan pengambilan warga asing dan meningkatkan ilmu kemahiran dalam pemantapan institusi kekeluargaan.

“Istimewanya program ini, peserta dibiayai sepenuhnya oleh JPW (termasuk tempat tinggal, makan dan bahan kursus) dan mereka yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Pengurus Kediaman dan Kad Profesional Pengurus Kediaman,” katanya.

Rosnah berkata, pengurus kediaman tidak dibenarkan tinggal atau bermalam di rumah majikan dan itu syarat paling menarik sebagai usaha memastikan privasi keluarga terpelihara terutama pada sebelah malam.

“Ini syarat yang sihat bagi menggalakkan hubungan keluarga yang erat kerana pembantu rumah warga asing lebih mempengaruhi nilai kekeluargaan apabila mereka menguruskan segala-galanya di rumah,” katanya.

Pengurus kediaman yang dilatih JPW tidak semestinya bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang tetapi menawarkan perkhidmatan khusus seperti membersihkan rumah, menggosok pakaian dan menjaga bayi untuk beberapa jam sehari ketika majikan menghadiri seminar, kursus atau menghadiri majlis makan malam.

Rosnah berkata, konsep itu wajar dipraktikkan pasangan suami isteri yang berkerjaya kerana tidak perlu membayar levi, permit dan mengupah ejen jika menggaji pembantu rumah asing.

Hasrat buka agensi

Peserta program, Noor Affeeda Ramli, 38, berkata, garis panduan dan tunjuk ajar yang diberi penganjur amat berguna dan berharap sijil diperoleh menjadi pencetus semangat untuk terus berjaya.

“Saya berhasrat untuk membuka agensi membekalkan pembantu rumah terlatih, secara langsung dapat membantu menangani kos amah warga asing yang semakin meningkat.

“Memang keluarga berkerjaya memerlukan khidmat pembantu rumah dan kos untuk mendapatkan khidmat mereka semakin meningkat tahun demi tahun sehingga ada kalangan isteri yang terpaksa berhenti kerja kerana masalah mendapatkan pembantu rumah,” katanya.

Berikutan itu, Noor Affeeda nekad menyertai KAPK sebagai persiapan membekalkan perkhidmatan kepada golongan sasaran.

“Cara ini lebih mudah kerana majikan hanya memerlukan masa antara dua hingga tiga jam beberapa kali seminggu menggunakan khidmat mereka dengan bayaran yang ditetapkan sama ada menerusi agensi atau mereka sendiri yang menawarkan perkhidmatan itu.

“Majikan juga boleh menggalakkan anak-anak yang meningkat remaja untuk bersama-sama membantu mengemas dan membersihkan kediaman bersama pengurus kediaman yang ditugaskan,” katanya.

Noor Affeeda berkata, sebelum menyertai kursus itu, dia mendapatkan pandangan beberapa rakan dan ternyata ia satu idea bernas.

“Kawan-kawan bersetuju dengan cadangan menggunakan pengurus kediaman untuk membantu mereka membersihkan rumah,” katanya.

Ibu tunggal, Napisah Omar, 43, berkata, dia dan rakannya menawarkan khidmat mengemas dan membersihkan rumah mengikut jam di FELDA Bukit Kepayang, Bera.

Dia yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal tanah rancangan berkenaan berkata, konsep tugas sebagai pengurus kediaman sudah lama dipraktikkan di tempatnya.

“Ada penduduk yang meminta kami membersihkan halaman rumah dan mengecat selain meminta mengemas rumah mereka,” katanya.

Siti Zaharah Hitam, 55, pula berhasrat membuka agensi yang menawarkan khidmat pengurus kediaman selepas tamat kursus.

“Saya tertarik mengikuti kursus ini kerana ia secara tidak langsung menggalakkan peserta membuka agensi membekalkan pengurus kediaman atau bekerja terlebih dahulu sebelum membekalkan pekerja kepada yang memerlukan perkhidmatan seperti ini.

“Pada dasarnya ia lebih menjimatkan kerana pengurus kediaman hanya mengambil masa antara dua hingga tiga jam mengemas dan membersihkan rumah dua atau tiga kali seminggu,” katanya yang bekerja sebagai tukang jahit bagi menyara hidup.

Menurutnya yang kematian suami sejak 23 tahun lalu, peluang diberikan kerajaan untuk memperkasakan golongan wanita tidak harus dibiarkan begitu saja.

“Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai program bagi membantu menjana pendapatan keluarga terutama ibu tunggal atau keluarga berpendapatan rendah untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Menerusi program inkubator kemahiran ibu tunggal (I-Kit) ini, ia secara tidak langsung melatih ibu tunggal mencari pendapatan lebih dan tidak bergantung kepada bantuan kerajaan bagi mereka yang tidak bekerja,” katanya.

Peserta tunggal kaum India, C Vasanthi, 51, berkata, kursus itu memberi peluang kepadanya mendapatkan kemahiran lebih mendalam sesuai dengan tugasnya sebagai tukang cuci dengan sebuah syarikat pembersihan.

“Saya berminat mengikuti kursus ini kerana ia mudah diikuti dan menawarkan perkhidmatan bertaraf profesional dengan penyediaan modul yang sesuai dengan situasi semasa.

“Saya juga berhasrat membuka agensi menawarkan khidmat pembantu rumah profesional tetapi mungkin mengambil masa sedikit untuk mencari wanita yang berminat menyertainya,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

769 views