Juadah Pelbagai Tema
MENU menarik dan menyelerakan mengikut pelbagai tema bakal menemui pengunjung Hotel Impiana sepanjang Oktober ini.
Dimulakan dengan bufet Pan Asian Treats pada harga RM68++ pada setiap Isnin hingga Khamis, pengunjung berpeluang menjamu hidangan Mediterranean pada setiap Jumaat dan Sabtu, sementara Ahad dipenuhi pelbagai juadah tempatan pada harga RM48++ seorang.
Menariknya, ais krim Baskin Robbins turut disediakan sebagai pencuci mulut untuk semua hidangan bufet ini.
Pada masa sama, Tonka Bean juga mengalu-alukan pengunjung merasai bufet tengah hari menu antarabangsa yang menggabungkan cita rasa tempatan pada harga RM58++ seorang.
Ais krim Baskin Robbins sekali lagi menjadi tarikan, selain beberapa variasi pencuci mulut yang pasti menepati selera pengunjung.
Andai ada masa senggang di hujung minggu, Tonka Bean tidak ketinggalan menyediakan bufet minum petang yang menawarkan bermacam hidangan antaranya burger mini, kuih-muih, dim sum, roti jala, sate ayam dan daging, nasi lemak, ayam goreng berempah, sosej, mi kari, piza, apam balik serta ubi sambal.
Tidak sekadar menjamu selera, pengunjung juga berpeluang melihat keindahan sekeliling serta Menara Berkembar Petronas yang terletak berhadapan kafe dalam keadaan tenang tanpa gangguan hiruk-pikuk kota.
Untuk tempahan, boleh hubungi 03-21471111 sambungan 3034 atau 3035.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04