Jual Semula Barang Berjenama

Apabila membeli pakaian, apa ciri yang anda pertimbangkan? Jenama, rekaan, fabrik digunakan, kehalusan jahitan atau harga? Tidak seperti beg tangan, biasanya kebanyakan orang tidak kisah sangat soal jenama asalkan pakaian itu mempunyai rekaan yang menarik, selesa apabila disarungkan ke badan dan harganya pula masih dalam jangkauan kemampuan.

Namun bagi Jenna Broems yang tinggal di Stamford, Connecticut, Amerika Syarikat (AS), cara dia membeli pakaian sama seperti usahanya mencari kereta baru. Setiap kali dia mahu mendapatkan pakaian baru, kepalanya akan ligat mencongak sama ada ia boleh dijual semula.

Untuk itu, dia amat mementingkan jenama. Jenna hanya akan membeli pakaian berjenama contohnya Abercrombie Fitch dan 7 For All Mankind kerana dia percaya ia mampu dijual semula pada harga yang tinggi apabila dia mahu mendapatkan baju baru.

“Ada banyak persoalan yang berlegar dalam fikiran saya sebelum membeli satu-satu pakaian seperti Apakah pakaian ini akan memberi pulangan? Adakah saya boleh menjualnya balik?” kata wanita yang bekerja sebagai guru itu.

Sehingga kini dia sudah berjaya memperoleh kira-kira RM8,000 hasil jualan pakaian lamanya melalui ThredUP, laman web untuk menjual baju terpakai.

Ini bukanlah satu idea yang pelik kerana kini semakin ramai rakyat AS mula mengambil kira nilai jual semula setiap kali mereka mahu membeli apa juga barang daripada seluar denim hinggalah ke beg tangan.

Kecenderungan baru ini mungkin dirangsang oleh kemunculan banyak laman web seperti ThredUP yang membolehkan pelanggan membeli dan menjual semula barang yang mereka miliki tanpa perlu bersusah payah membuat iklan atau aktiviti pemasaran.

Ia juga gambaran ekonomi yang lembap di negara itu. Membeli barangan dari kedai menjual barangan terpakai kini menjadi trend yang semakin popular terutama dalam kegawatan ekonomi.

Walaupun ekonomi semakin pulih, trend itu masih kekal kerana warga AS sudah terbiasa memakai pakaian berjenama dan terkini tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak. Keadaan ini samalah seperti orang yang bertukar kereta setiap beberapa tahun supaya mereka sentiasa kelihatan bergaya. Menjual semula pakaian kini menjadi ikutan rakyat AS khususnya pada mereka yang suka membeli-belah tetapi kini ia boleh dilakukan tanpa menyakitkan dompet.

Kenaikan mendadak harga barangan mewah juga antara faktor yang menyumbang kepada trend ini. Contohnya, harga beg tangan Chanel klasik kini mencecah AS$4,900 (RM15,680) tahun ini berbanding RM7,040 pada 2007.

Bagaimanapun, saiz pasaran jual semula ini masih kecil, hanya kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pasaran barangan mewah termasuklah pakaian, beg tangan, aksesori dan perabot rumah yang semuanya dijual di pasar barangan terpakai.

Menurut Sucharita Mulpuru daripada Forrester Research, daripada jumlah itu dianggarkan hanya satu peratus barangan dijual secara dalam talian.

Namun data menunjukkan trend ini berkembang cepat iaitu pembeli kini dilihat sudah mempunyai idea untuk menjual semula barang yang mereka beli. Berdasarkan soal selidik yang dijalankan oleh The Intelligence Group’s Cassandra Report, 44 peratus daripada 900 pembeli berumur antara 14 hingga 34 tahun memikirkan mengenai nilai jual semula apabila mereka membeli barangan elektronik, perabot dan pakaian.

Shannon Dolan berkata, antara beg tangan Louis Vuitton dan Gucci, dia akan memilih jenama Louis Vuitton kerana percaya ia mempunyai nilai jual semula yang lebih tinggi.

“Perkara ini mengubah cara saya membeli-belah,” kata Dolan yang sudah mengaut hasil sebanyak RM32,000 selepas menjual pakaian melalui laman web untuk barangan mewah terpakai TheRealReal.

“Saya akan fikir mengenai nilai dan pelaburan bagi sesetengah barang yang dibeli,” katanya.

Laman web yang menawarkan khidmat menjual semula barangan terpakai memanfaatkan sebaik-baiknya kecenderungan baru ini. Kebanyakan laman web akan menggabungkan diskaun yang ditawarkan oleh raja penjualan barangan terpakai, eBay dengan kawalan yang lebih ketat.

Laman web terbesar yang menjual barangan mewah terpakai seperti Portero dan TheRealReal mempunyai kakitangan sendiri untuk memastikan barangan berjenama yang ditawarkan itu adalah tulen.

Laman web ini juga menawarkan kaedah jualan yang lebih cepat berbanding gedung barangan terpakai konvensional apabila pembeli kadangkala perlu menunggu sehingga beberapa bulan untuk satu-satu barangan itu dijual dan memungut tidak lebih 50 peratus daripada harga jual semula.

Namun melalui laman web ini, barangan biasanya dijual dalam masa beberapa hari saja dan pembeli boleh mendapat pulangan sehingga 80 peratus daripada harga jual semula.

Kebanyakan laman web mempunyai panduan jual semula tersendiri. ThredUP menggelar panduan mereka Official Kelley Blue Book, yang merujuk kepada manual jual semula untuk kereta.

TheRealReal pula menghasilkan panduan jual semula melalui aplikasi telefon bimbit. Menurutnya, pengiraan jual semula itu dibuat berdasarkan harga 450,000 barang yang sudah dijual sejak ia ditubuhkan pada 2011.

“Keadaan ini menunjukkan bagaimana orang sekarang membeli dan menggunakan barang,” kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ThredUP, James Reinhart.

Julia Wainwright, Ketua Pegawai Eksekutif TheRealReal yang memfokuskan fesyen daripada jenama terkemuka termasuklah aksesori dan barang kemas berkata, pihaknya menerima lima atau enam panggilan sehari daripada pelanggan yang mahu tahu mengenai nilai jual semula bagi satu-satu jenama.

“Pelanggan menelefon kami sebelum mereka membeli atau ketika memilih barangan,” katanya.

Laman web ini ada pelbagai teknik jualan semula. Contohnya, TheRealReal melaporkan, ia tidak menjual sesetengah jenama mewah termasuklah Escada, St John dan Max Mara kerana ia tidak lagi sepopular dulu selain tidak mempunyai nilai jual semula yang tinggi.

“Antara beg tangan dan pakaian terpakai yang paling mendapat sambutan ialah Chanel, Hermes dan Louis Vuitton. Bagi kasut pula, jenama Christian Louboutin mempunyai nilai jual semula paling tinggi,” kata Wainwright.

Sesetengah penganalisis berpendapat, kecenderungan ini akan menjejaskan perniagaan konvensional khususnya jenama mewah. Bagaimanapun, pengusaha laman web jual semula ini mendakwa mereka boleh membantu peniaga kerana pembeli sanggup mengeluarkan wang jika mereka tahu satu-satu barang itu boleh dijual semula dengan mudah. Bahkan ada pengusaha laman web ini yang sudahpun menjalankan kerjasama dengan peniaga konvensional yang menjual barangan baru.

Pelanggan berkata, kerjasama seperti itu bukan saja memudahkan tetapi ia juga membuatkan mereka berasa lebih selesa untuk berbelanja di gedung konvensional.

Amy Fine Collin, koresponden majalah Vanity Fair menjual beg tangan Chanel selepas setahun menggunakannya di TheRealReal pada harga AS$1,000 (RM3,200) – beberapa ratus dolar lebih tinggi berbanding harga beli di kedai.

“Sekarang poket saya tidaklah seperti dulu apabila membeli satu-satu barang. Saya tahu ada pasaran untuk barangan terpakai,” katanya. – AP

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

625 views