Jurulatih Wanita Tak Kurang Hebatnya
Jika diperhatikan industri kecergasan, ia banyak dikuasai kaum adam kerana kebanyakan pusat kecergasan menyediakan jurulatih lelaki berbanding wanita.
Mungkin juga kerana penerimaan orang ramai yang lebih selesa dan yakin terhadap jurulatih lelaki. Mereka dianggap lebih maskulin dan mampu merealisasikan impian mendapatkan bentuk badan idaman.
Namun, dua nama besar dalam industri kecergasan, Jackie Warner dan Rachel Buschert membuktikan mereka bukan saja tampil feminin, tetapi mampu menjadi peneraju kecergasan wanita di Amerika Syarikat yang banyak dimonopoli lelaki.
Malah dua jurulatih peribadi ini bukan saja menggunakan kepakaran bagi membuktikan keupayaan, tetapi diterima jurulatih lelaki yang lain.
Menariknya kerjaya ini sehingga ia menjadi pilihan tiga wanita, Jed Rashidul, R Patmaloshini dan Lina Shazana yang berkhidmat sebagai jurulatih peribadi di Celebrity Fitness Malaysia.
Walaupun mempunyai latar belakang pendidikan berbeza dengan apa yang dilakukan sekarang, mereka sangat teruja memikul tanggungjawab sebagai jurulatih, sekali gus memberikan keyakinan yang mereka juga mampu bersaing dengan lelaki.
Bagi wanita berketinggian 150 sentimeter, Jed Rashidul, 31, memiliki berat badan sehingga mencecah 80 kilogram (kg) empat tahun lalu menyebabkan dia menghadapi kesukaran berjalan dalam tempoh yang lama. Apatah lagi apabila mula merasai kesakitan pada lutut kiri setiap kali berjalan menuju ke kelas.
“Saya kecewa dengan kekurangan ini lalu mula mencari alternatif dengan mendaftar di gimnasium dan melakukan rutin harian berjoging lima kali seminggu. Saya nekad melakukannya dengan bersungguh-sungguh sehingga nampak hasilnya,” katanya.
Kesungguhan, semangat serta disiplin yang tinggi menyebabkan dia berjaya menurunkan berat badan sehingga mencapai berat ideal 45kg dalam masa setahun.
Menyedari keseronokan yang dirasai setiap kali melakukan pergerakan di gimnasium dengan bantuan jurulatih, dia mula berminat menceburi bidang ini.
Sementara menunggu keputusan peperiksaan di University of London dalam jurusan undang-undang, Jed memberanikan diri mencuba nasib sebagai jurulatih.
“Alhamdulillah saya mampu melakukan tugasan itu dengan bantuan rakan dan jurulatih. Walaupun saya wanita, tiada diskriminasi dalam kerjaya kerana kami sama-sama memberikan yang terbaik untuk mereka yang datang mendapatkan khidmat nasihat,” katanya.
Dia juga tidak pernah menyesal kerana memilih kerjaya berbeza dengan apa yang dipelajari di universiti kerana ilmu diperoleh tidak pernah hilang, malah dapat digunakan dalam kehidupan seharian.
“Misalnya saya menjadi lebih berfikiran terbuka dan dapat memproses sesuatu maklumat dengan cepat. Ini kerana saya perlu menguasai pemahaman dan pembelajaran ketika mengambil jurusan undang-undang dan teknik yang sama digunakan di sini,” katanya yang kini bergelar Jurulatih Pembangunan Kecergasan peringkat Master.
Pada mulanya, Jed hanya ingin menjadikan senaman di gimnasium sebagai hobi tetapi mula memikirkannya sebagai kerjaya kerana ia sesuatu yang sangat menyeronokkan.
Tambahan pula sekiranya dia bekerja mengikut waktu pejabat, sudah tentu masa yang ada sangat terhad ke gimnasium. Justeru, Jed mengambil kursus untuk setiap lapangan senaman bagi menambah pengetahuan mengenai ilmu kecergasan dan mendapat pengiktirafan sebagai jurulatih.
Mengenai sesetengah tanggapan yang mengatakan jurulatih lelaki lebih berkaliber, bagi Jed, jurulatih wanita juga tiada kurangnya kerana berjaya melatih lelaki menyelesaikan masalah mereka.
“Ada juga yang tidak percaya saya mampu mengajar kaum Adam membina otot atau melatih mereka menerusi teknik mengangkat bebanan. Sebab itu pentingnya mempunyai sijil dalam bidang ini serta menjadi model kepada mereka,” katanya.
Lina bangga dapat didik wanita
Selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada University of London, Lina Shazana, 28, yang juga sahabat baik Jed mula jatuh cinta dengan kerjaya sebagai jurulatih kecergasan selepas mengikuti latihan penurunan berat badan di Celebrity Fitness selama setahun.
Menerusi Jed, Lina berasa dia mula berminat terhadap kerja di gimnasium lalu memohon untuk menjadi jurulatih sambilan.
Apa yang dilakukannya itu memang berbeza, tambahan pula berkongsi kegembiraan dengan pelanggan apabila mereka dapat merealisasikan impian menurunkan berat badan, ia satu kepuasan yang sukar digambarkan.
“Lalu saya menghantar permohonan untuk menjadi jurulatih peribadi dan perlu mengikuti setiap kursus bagi membolehkan saya mengajar dalam setiap lapangan,” katanya.
Sebagai wanita, dia turut menghadapi cabaran apabila ramai yang tidak percaya pada jurulatih wanita. Untuk itu, Lina yakin sekiranya kualiti dan kesungguhan ditunjukkan, sudah pasti kemampuan jurulatih wanita dipandang tinggi. Lantas dia harus menjadi dua kali ganda lebih bagus daripada apa yang mereka fikirkan.
Sebagai jurulatih peringkat Master, Lina bukan saja bertindak sebagai penasihat, sebaliknya dia mendidik pelanggan mengenai latihan yang perlu mereka lakukan bergantung kepada masalah yang dihadapi.
Pencapaian paling membanggakan apabila Lina berjaya melatih seorang wanita yang bergantung kepada kerusi roda selama empat bulan. Apa yang dilakukan adalah membangunkan kekuatan otot sehingga dia mampu berjalan dan mendaki tiga anak tangga dalam masa hanya dua bulan.
“Apabila bertemu pelanggan yang menceritakan kegembiraan mereka, sudah tentu ia satu kepuasan yang tidak terhingga. Saya juga gembira kerana pada masa sama dapat bersenam dan menjaga kesihatan.
“Selama ini ramai beranggapan untuk mendapatkan bentuk badan idaman hanya perlu ke gimnasium saja. Sebenarnya bersenam saja tidak mencukupi tanpa ilmu yang diberi oleh mereka yang pakar dalam bidang ini.
“Oleh itu, saya sering nasihatkan supaya mengambil jurulatih peribadi bagi mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.
Loshini ubah haluan
Bagi pemegang diploma fisioterapi, R Patmaloshini, dia ingin lari daripada tanggapan orang ramai yang mengatakan pelajar fisioterapi hanya sesuai bekerja dalam sektor perubatan.
“Saya ingin berubah haluan dengan memilih jurulatih kecergasan di gimnasium. Sebenarnya ramai tidak tahu bidang tugas ahli fisioterapi sangat luas.
“Di gimnasium misalnya, saya mendidik pelanggan untuk lebih mengetahui mengenai tubuh dan otot mereka. Apabila mereka tahu, ia dapat mencegah kecederaan. Inilah yang saya utamakan kepada pelanggan,” katanya.
Katanya, fisioterapi mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kecergasan. Kebanyakan pelanggan tidak sempurna dan mempunyai pelbagai masalah berkaitan otot dan postur tubuh.
Sekiranya mereka hanya melakukan senaman secara bersendirian tanpa pengawasan jurulatih, sukar bagi mereka mengetahui apa yang perlu diperbetulkan. Di sinilah pentingnya jurulatih peribadi yang dapat memberikan tunjuk ajar.
Dia yang mesra disapa Loshini percaya sesiapa juga harus mempunyai mental dan fizikal yang kuat. Jurulatih wanita bukanlah seorang yang bersifat sentimental, sebaliknya berjiwa besar kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelanggan daripada pelbagai bidang kerjaya dan usia.
“Pesakit misalnya ke hospital mendapatkan khidmat rundingan doktor untuk mengetahui sejauh mana kesakitan dialami serta ubat-ubatan diperlukan.
“Begitu juga mereka yang menghadapi masalah mengenai berat badan dan otot perlu bertemu jurulatih peribadi bagi mendapatkan khidmat nasihat. Mereka tidak boleh melakukannya secara bersendirian,” katanya.
Namun, dalam keghairahan wanita inginkan tubuh yang langsing dan kurus, mereka seharusnya sedar senaman bertujuan mendapatkan badan yang sihat dan cergas.
Tidak guna sekiranya individu berjaya memperoleh apa yang mereka idamkan, sebaliknya sering sakit dan berada dalam keadaan tidak selesa.
“Justeru, pentingnya mendidik wanita menjalani senaman mengikut keperluan badan. Ada yang beranggapan untuk mendapatkan badan yang seksi, sudah cukup dengan hanya berlari di treadmill sedangkan ia tidak benar. Banyak perkara yang perlu mereka pelajari dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya,” jelasnya yang dipilih sebagai Fitness Team Leader selama dua tahun berturut-turut di Celebrity Fitness.