Juzairiah Rujuk Buku

Berani mencuba ditambah dengan kesungguhan dalam apa juga bidang pekerjaan akan membawa kejayaan diimpikan.

Bukan mudah untuk berjaya jika hanya melihat peluang yang terbuka luas di depan mata tanpa mengambil tindakan segera.

Bagi Juzairiah Wazir, 37, tiada perkara yang mustahil untuk mencapai kejayaan asalkan terus berusaha dan tidak berputus asa sekalipun tanpa segulung ijazah.

Menceritakan kisah lanjut mengenai kisah dirinya sebelum bergelar usahawan, Pengasas JW United Group ini tanpa segan mengakui dirinya langsung tidak mempunyai asas dalam bidang perniagaan.

Sebelum terbabit perniagaan, dia pernah bertugas sebagai pembantu peribadi di sebuah bank di ibu kota selama lapan tahun. Juzairiah mula bekerja seawal usia 20 tahun selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Walaupun mendapat keputusan membanggakan dalam peperiksaan STPM, dia tekad meneruskan pekerjaan kerana keadaan ketika itu tidak mengizinkannya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Selepas lapan tahun bekerja, saya buat keputusan untuk mengambil skim berhenti kerja secara sukarela dan membuka perniagaan sendiri.

“Minat berniaga tercetus selepas menyertai perniagaan jualan langsung produk kecantikan, kesihatan dan aksesori wanita secara sambilan pada hujung minggu ketika masih bekerja.

“Saya rasa seronok dengan bidang baru ini kerana ia sangat berbeza jika dibandingkan bekerja sebagai pembantu peribadi, apatah lagi dapat melihat ada kumpulan wanita yang berani untuk berniaga,” katanya.

Tambah anak kelapan daripada 12 beradik ini, selepas setahun menjalankan perniagaan jualan langsung, dia bertekad berhenti kerja kerana ingin memberi tumpuan lebih dalam bidang baru berkenaan.

Mengambil masa dua tahun, Juzairiah tekad untuk lebih serius dan memberi tumpuan terhadap dunia perniagaan, malah sanggup menghadapi sebarang risiko serta tanggungjawab yang dipikul selepas bergelar usahawan satu hari nanti.

Sejak itu, dia membuka perniagaan sendiri berasaskan perkhidmatan seperti penghantaran barang dan penyelenggaraan untuk mendedahkan dirinya pada bidang yang penuh cabaran.

Lantaran belum mempunyai produk sendiri untuk diniagakan, perkhidmatan dianggap perniagaan terbaik yang dirasakan sesuai ketika itu.

Walaupun tidak mempunyai ilmu dalam perniagaan, Juzairiah menjadikan buku sebagai rujukan utama dan mengakui ia membantunya mengecap kejayaan yang dimiliki sekarang.

Bermula daripada langkah pertama membuka perniagaan, semua dirujuk menerusi buku bertajuk ‘Panduan Memulakan Perniagaan’ yang masih tersimpan hingga hari ini.

“Saya mengikut setiap langkah disarankan dalam buku berkenaan kerana tidak pandai berniaga dan agak takut untuk bertindak.

“Buku berkenaan menjadi rujukan hingga hari ini dan setiap nota yang ditulis pun masih ada.

“Bagi saya, tiada alasan untuk takut berniaga walaupun kita tidak mempunyai pengetahuan lengkap dalam dunia perniagaan jika ingin berjaya,” katanya.

Tambahnya, sumber terbaik bagi dirinya adalah buku dan mendapati bidang berkenaan bukan semudah disangka kerana banyak risiko menanti.

Selain buku, arwah ayahnya yang sudah lama terbabit dalam perniagaan juga menjadi inspirasi buat dirinya untuk terus berusaha mengecap kejayaan.

Dia berasa bertuah kerana dibesarkan dengan hasil perniagaan arwah ayahnya. Walaupun belum memahami selok-belok perniagaan ketika itu, sedikit sebanyak ia membantu menambah semangat untuk mendalami bidang berkenaan.

“Pada masa sama, saya aktif berpersatuan. Saya pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatan Kuasa untuk Biro Wanita di bawah Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) selama dua tahun.

“Ketika itu, saya juga menjadi ketua wanita di bawah persatuan sama untuk kawasan Kuala Selangor dengan memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan wanita dan pembabitan mereka secara aktif dalam perniagaan.

“Ia adalah persatuan pertama yang disertai selepas enam bulan menubuhkan syarikat sebagai satu platform kukuh untuk usahawan baru seperti saya memahami jalinan dalam perniagaan selain boleh dijadikan tempat rujukan,” katanya.

Menurutya, menyertai persatuan berkaitan bidang diceburi dianggap penting bagi menguatkan jalinan perniagaan dan pada masa sama mengembangkan rangkaian sosial.

Bukan hanya menjadi tempat rujukan dan menambah kenalan, malah usahawan yang berjaya juga boleh menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk berjaya dalam apa saja jenis perniagaan yang diceburi.

Idea habbatus sauda

Bijak mengambil peluang yang terbuka luas, Juzairiah bertekad menghasilkan produk sendiri selepas idea tercetus apabila kerajaan mula membangunkan industri halal pada 2009.

Ketika itu, masyarakat mula sedar dan mengambil berat status makanan atau minuman yang dimakan setiap hari.

Idea untuk menghasilkan produk makanan dan minuman berkhasiat yang boleh membantu meningkatkan kesihatan pengguna dirasakan sesuai, sekali gus memilih produk berasaskan habatus sauda.

Justeru, dia melebarkan sayap perniagaannya dengan menubuhkan anak syarikat, JW Food Beverages Sdn Bhd bagi menyahut seruan kerajaan mempromosikan produk makanan dan minuman berstatus halal ke peringkat global.

“Ketika itu ada kajian mengenai kebaikan habatus sauda terhadap kesihatan. Saya berusaha untuk bertemu penyelidik yang bertanggungjawab bagi mengetahui lebih mendalam mengenai kesahihannya.

“Selepas berpuas hati, kami berjaya menghasilkan produk makanan dan minuman berkhasiat berasaskan habatus sauda seperti kopi, coklat serta soya campuran oat,” katanya.

Dia akui bergelar usahawan, menghasilkan produk dan pada masa sama perlu membantu masyarakat meningkatkan keupayaan diri mereka sebagai peniaga dengan program berguna bukan perkara mudah.

Malah, Juzairiah yang pernah menerima Anugerah Wanita Cemerlang daripada sebuah syarikat penerbitan juga bekerjasama menyampaikan saluran kerajaan, agensi atau yayasan usahawan menerusi taklimat bagi membantu memudahkan mereka membuka perniagaan.

Tugas membantu usahawan tidak berhenti begitu saja, malah Juzairiah turut menubuhkan persatuan usahawan sendiri dikenali sebagai Jaringan Usahawan Melayu Malaysia (JARUM) pada 2011.

Ketika mengimbas kembali saat membuka perniagaan, dia akui turut menghadapi pelbagai cabaran. Namun usaha dan pembelajaran mengenai perniagaan yang tidak pernah berhenti memudahkan segala urusan.

“Modal permulaan ketika itu hanya RM30,000 untuk membuka dan mengubah suai pejabat. Menerusi lima pekerja dan menambah modal secara perlahan-lahan, syarikat berjaya mengumpul sehingga RM250,000.

“Bagi saya kerugian tetap ada, namun kita perlu bijak mencari jalan penyelesaiannya. Saya sendiri pernah mengalami kerugian RM20,000 disebabkan penipuan ketika produk berasaskan minuman pertama disambut baik oleh pengguna.

“Kejadian berlaku kerana belum mempunyai kilang sendiri, faktor pekerja baru dan penambahan pengeluaran produk. Bertambah buruk apabila ada penipuan dari segi dokumen yang menjadi punca kerugian kerana segala urusan pengeluaran tidak dapat dikawal sebaiknya menyebabkan produk tidak menepati piawaian sebenar,” katanya.

Kerugian itu dijadikan pengajaran dan sedar ia antara risiko dalam perniagaan apabila membabitkan perkara atau tenaga kerja yang tidak boleh dikawal sendiri.

Katanya, setiap wanita yang mahu berjaya dalam dunia perniagaan perlu memiliki ilmu yang banyak dan jalinan perniagaan kukuh untuk terus berjaya.

Dalam perniagaan, kita memang selalu mengharapkan keuntungan dan disebabkan itu, usahawan berjaya yang bijak perlu sentiasa mencari peluang untuk berniaga.

Malah, usahawan juga perlu bijak membahagikan masa antara keluarga, kawan, diri sendiri dan perniagaan supaya semua dapat dilakukan dengan seimbang walaupun kadangkala masa yang ada tidak mencukupi.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,322 views