Kaftan Gabungan Timur, Barat

PILIHAN fabrik berwarna terang ditambah dengan perincian seperti mutiara, sulaman dan manik labuci pada busana ini mampu menyerlahkan lagi penampilan si pemakai.

Walaupun tampak ringkas, kepelbagaian busana seperti kaftan, gaun kembang dan gaun mini masih dan semakin diterima pakai kerana ia sesuai digayakan mengikut majlis yang ingin dihadiri.

Bijak bermain dengan warna dan pemilihan fabrik yang selesa, ramai wanita pasti tidak mahu ketinggalan memiliki koleksi pakaian sedia dipakai daripada butik Francisca D.

Diilhamkan pereka selaku pemilik butik yang masing-masing berdarah kacukan, Francisca Turner Shaik dan Daljeet Kaur menyuai padan rekaan mereka berdasarkan identiti asal dan kepelbagaian budaya yang terdapat di negara ini.

Unsur timur bertemu barat digabungkan dalam penghasilan gaya klasik glamor Hollywood, retro, toga dan kaftan kontemporari.

Bagi mereka, kaftan dan gaun kembang ala Audrey Hepburn dianggap sebagai rekaan yang kekal lama dan masih diterima kerana menitikberatkan soal keselesaan serta memudahkan pengguna.

“Rekaan busana seperti ini sentiasa diminati kerana si pemakai boleh mempelbagaikan penggunaannya tidak kira ke majlis rasmi, makan malam ataupun semasa bertugas di pejabat.

“Lebih-lebih lagi, ia dihasilkan menggunakan fabrik berkualiti tinggi seperti sifon, sutera Thai dan satin direka sendiri bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

“Material fabrik ada yang dibeli dari dalam negara manakala selebihnya kami dapatkan dari luar seperti Thailand, Indonesia dan India,” kata Francisca ketika ditemui pada majlis pelancaran label pakaiannya di butik berkenaan terletak di Medan Damansara, baru-baru ini.

Melihat sembilan koleksi busana sedia dipakai yang digayakan model pada petang itu, terdapat dua jenis rekaan set kaftan yang direka bagi menunjukkan perbezaan iaitu di bahagian leher misalnya bentuk V dan bulat bagi memberi pilihan kepada pengguna mengikut keselesaan masing-masing.

Semua busana dihasilkan mengikut rekaan Francisca dan Daljeet yang menepati cita rasa wanita kini yang gemarkan fabrik lembut untuk digayakan ketika pelbagai majlis termasuk makan malam.

Menurut Francisca, kebiasaannya sebuah butik hanya menyediakan pakaian sedia dipakai manakala tukang jahit menyediakan perkhidmatan menjahit baju. Namun, di butik Francisca D, kedua-keduanya boleh diperoleh.

“Butik yang dibuka pada awal tahun ini mulanya hanya menyediakan perkhidmatan menjahit baju, tetapi atas permintaan ramai dan kami juga berfikir sudah sampai masanya memperkenalkan jenama kami sendiri, terhasillah sembilan koleksi ini.

“Kami adalah tukang jahit dan amat mementingkan kualiti jahitan serta kemasan pada pakaian. Tugas seorang tukang jahit juga sebenarnya lebih sukar daripada pereka fesyen kerana tenaga yang dicurahkan untuk menyiapkan sepasang baju mengambil masa yang lama.

“Di butik kami, kerja menjahit banyak dilakukan oleh Daljeet kerana dia seorang yang sangat obses dan menitikberatkan aspek jahitan serta kemasan pada baju. Keliman mahupun perincian seperti manik hiasan labuci harus dijahit dengan sempurna supaya pakaian itu menyerlah,” katanya.

Aura elegan jelas ditonjolkan melalui semua busana ini. Kombinasi fabrik yang digunakan itu lebih menyempurnakan koleksi bergaya, riang, muda, ringkas dan menarik, mencerminkan sisi personaliti Francisca dan Daljeet.

Secara langsung, mereka memberi nafas baru dan inovatif bagi rekaan tradisional kaftan.

Pendek kata, tidak hairan sekiranya setiap rekaan Francisca dan Daljeet didatangkan dengan nilai estetika tinggi yang memukau perhatian ramai dengan pesona romantis, rekaan terperinci, moden kontemporari, kemas, elegan dan anggun untuk digayakan si pemakai.

Koleksi Francisca D ini dijual dengan harga bermula daripada RM600 sehingga RM200.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,284 views