Kain Satin Pilihan Koleksi

MODEN dan elegan dengan sentuhan rekaan ringkas antara fokus yang diketengahkan dalam himpunan rekaan jenama terkemuka, Giorgio Armani.

Lebih mengetengahkan penggunaan kain satin dalam setiap koleksinya, ia memberikan gambaran kilauan menyerlah bagi setiap warna yang ditonjolkan.

Selain itu, konsep garisan pada pakaian yang direka amat dititikberatkan bagi menghasilkan bentuk lebih ‘bertulang’ dalam menyerlahkan lagi rekaan.

Malah, antara pengenalan yang menjadi perhatian adalah konsep belahan V pada bahagian hadapan setiap koleksi seluar yang disediakan jenama berkenaan.

Bukan saja ia menjadikan rekaan terbabit lebih menyerlah tetapi memberikan lebih gaya santai walaupun ketika menggayakannya untuk majlis formal.

Untuk jaket pula, potongan yang dihasilkan lebih ringkas bagi memberikan keselesaan serta kelainan terutama apabila ia direka tanpa penggunaan kolar.

Sementara itu, setiap butang yang tersedia pada jaket berkenaan tidak dijahit sebaliknya dilekatkan pada bahagian dada menggunakan cangkuk kecil yang tersembunyi.

Gaun yang direka turut dihasilkan dengan pilihan labuh berbeza antaranya hingga paras lutut ataupun buku lali bagi memudahkan pengguna memadankannya mengikut kesesuaian bentuk tubuh mereka.

Bagi mencetuskan lebih gaya elegan moden untuk koleksi kali ini, jenama itu banyak menggunakan kain sutera dan satin berasaskan warna mineral semula jadi iaitu gabungan antara hijau dan azure (kelabu).

Koleksi menarik ini boleh didapati bermula Januari di butiknya di pusat beli-belah Suria KLCC.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,140 views