Kaji Resipi Sebelum Kongsi

Siapa sangka di sebalik sikapnya yang cukup ceria dan mesra itu, dia pernah berhadapan dengan kanser payudara peringkat ketiga.

Bohong jika dia tidak terkesan apabila pertama kali mendapat perkhabaran mengenainya 10 tahun lalu. Tetapi ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan dan mengalahkan kesakitan dengan cara paling positif.

Demi keluarga dan anak, dia nekad berusaha dengan mengikuti rawatan ditetapkan.

Bagi pengasas MyCitarasa Asli Studio, Mai Abdul Halim, 43, tidak dinafikan pesakit kanser amat sensitif dengan keadaan diri mereka, tetapi dia tidak menjadikan faktor berkenaan sebagai alasan untuk terus berada dalam kemurungan.

Jika melihat individu lain bermurung, pasti diri turut mengalami perasaan sama, jadi penting bagi pesakit kanser untuk tidak terikut dan terbawa-bawa dengan keadaan terbabit.

Pada masa sama, pesakit kanser amat memerlukan sokongan moral daripada keluarga dan rakan bagi memberi keyakinan kepada mereka untuk menghadapi penyakit berkenaan.

Justeru, dia cuba mencari alternatif yang membolehkannya sentiasa menyibukkan diri agar tidak terlalu memikirkan keadaan penyakit dialaminya.

“Saya memilih untuk menceburi bidang masakan dengan mengikuti pelbagai kelas masakan berbeza bagi menimba pengalaman sebanyak mungkin.

“Kemudian selepas yakin mampu memberikan sumber pengetahuan kepada mereka yang ingin belajar, barulah saya menubuhkan studio masakan sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters KTMB, Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar, baru-baru ini.

Lebih mesra dipanggil Kak Mai dalam kalangan peserta, dia mengakui mula membabitkan diri dalam bidang ini empat tahun lalu selepas ‘bebas’ daripada kanser.

Namun hanya dua tahun kebelakangan ini saja minatnya mula bercambah dengan menyediakan kelas masakan.

Walaupun secara kecil-kecilan dengan menjadikan rumah sebagai studio masakan, ia memberi kepuasan kerana berupaya membantu golongan yang ingin mempelajari teknik memasak tertentu.

“Sebelum ini saya bekerja, tetapi nekad untuk berhenti demi menumpukan sepenuh perhatian pada bidang masakan.

“Walaupun tidak seperti golongan profesional lain, saya mampu menyampaikan inti pati penting diperlukan peserta yang menghadiri kursus masakan,” katanya.

Menerusi aktiviti memasak, dia berasa bebas daripada segala masalah dan mampu menjadikannya lebih gembira dan bahagia.

Dia juga tidak lagi duduk termenung mengenang nasib diri kerana terlalu sibuk dengan jadual kelas sepanjang minggu.

“Ia seakan-akan terapi dalaman pada diri dan saya tidak perlu bergantung pada ubat-ubatan semata-mata untuk menyembuhkan penyakit.

“Kini saya mampu tersenyum bangga kerana usaha yang saya lakukan ini makin membuahkan hasil dan memberikan sumber pendapatan kepada keluarga,” katanya.
Selain menjalankan kelas memasak di rumah, Kak Mai turut menghadiri jemputan kelas masakan di luar Kuala Lumpur.

Antara kelas disediakannya termasuk kelas aneka kuih talam, roti jala, bingka, muruku, puding, mufin, brownies dan kek continental.

Turut diadakan kelas penyediaan pulut kuning perkahwinan. Peserta diberi tunjuk ajar berkaitan teknik menghasilkan pulut kuning hantaran dua dan tiga tingkat.

“Teknik memasak pulut masih sama, tetapi cara menghias pulut berbeza mengikut kreativiti pembuatnya.

“Untuk menampakkan kelainan, pelbagai cara boleh digunakan kini antaranya menyediakan pulut kuning seperti kek bertingkat yang kelihatan lebih moden dan menarik,” katanya.

Selain itu, peserta diajar teknik ukiran sayuran ringkas serta gubahan bunga segar untuk dijadikan hiasan pulut kuning.

Bagi melengkapkan kelazatan pulut kuning, Kak Mai turut mengajar cara menghasilkan rendang pedas untuk dihidangkan bersama.

Ada sedikit pengubahsuaian pada resipi bagi memberi kelainan pada produk disediakan, namun masih mengekalkan rasa asal.

Penting baginya membuat kajian resipi yang akan digunakan terlebih dulu agar memberikan kepuasan terutama kepada peserta yang menghadiri kelas berkenaan.

“Saya tidak akan sesekali mengetengahkan resipi yang saya sendiri tidak yakin hasilnya. Apabila ia sudah lengkap barulah saya berkongsi dengan peserta,” katanya.

Malah, peserta tidak pulang dengan tangan kosong kerana setiap peserta akan membawa pulang pulut kuning hasil gubahan sendiri berserta sagu hati disediakan penganjur iaitu set kotak perkakasan masakan mengikut tema.

Di samping itu, peserta boleh membuat pilihan sama ada ingin menghadiri kelas perseorangan atau berkumpulan.

Kelas perseorangan diadakan setiap hari manakala kelas berkumpulan pula diadakan pada Sabtu dan Ahad.

Mengembara demi ilmu

Bagi Mahsuri Mustafa, 53, dia sanggup mengikuti kelas masakan berkenaan sungguhpun terpaksa mengembara jauh dari utara tanah air semata-mata untuk mendapatkan tunjuk ajar.

Dia yang menetap di Pulau Pinang mengakui walaupun kelas dihadiri hanya berbentuk bengkel sehari, pelbagai teknik dan cara masakan boleh dipelajari.

“Ini kali pertama saya mengikuti kelas masakan jauh dari tempat tinggal dan bersyukur kerana suami menyokong usaha saya ini.

“Malah, dia sanggup menemani saya ke sini demi memastikan minat saya dalam bidang masakan tidak terkubur begitu saja,” katanya.

Apa yang berlainan mengenai kelas masakan ini, interaksi antara tenaga pengajar dan peserta diadakan secara santai.

Ia penting bagi memastikan peserta mampu menghasilkan produk sama seperti yang dinyatakan bukan sebaliknya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, layari citarasaasli.blogspot.com.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

614 views