Kanser Kedua Ancam Nyawa

Kanser pangkal rahim adalah kanser kedua yang sering mengancam nyawa wanita. Malah statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kira-kira 250,000 wanita meninggal dunia setiap tahun akibat kanser serviks di seluruh dunia.

Mengikut data yang dikeluarkan WHO, kematian berpunca daripada kanser pangkal rahim dijangka meningkat sehingga 320,000 orang pada 2015 dan 435,000 orang pada 2030.

Ia juga menjangkakan 80 peratus kematian boleh berlaku di negara membangun di mana kawasan itu juga kini mencatatkan angka membimbangkan membabitkan kematian akibat kanser dalam kalangan wanita.

Lebih membimbangkan, kanser pangkal rahim menyebabkan kematian seorang wanita setiap dua minit di seluruh dunia.

Dianggarkan 1,500 wanita negara ini disahkan mendapat kanser serviks setiap tahun. Kanser serviks menyumbang enam peratus daripada jumlah kematian akibat kanser dalam kalangan wanita.

Di Malaysia, kanser pangkal rahim adalah barah ketiga yang biasa berlaku dalam kalangan wanita selepas kanser payu dara dan kolorektal. Kanser berkenaan boleh menyerang mana-mana wanita, tidak kira usia dan latar belakang keturunan.

Risiko berhadapan dengan kanser terbabit meningkat seiring usia tetapi selalunya lebih terdedah dalam kalangan mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun. Biarpun begitu, langkah pencegahan lebih penting berbanding usaha untuk merawatnya.

Antara cara berkesan adalah meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita untuk bertindak sekarang dan melakukan pencegahan supaya tidak termasuk dalam kategori penghidap kanser pangkal rahim.

Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram, disebabkan kanser pangkal rahim biasa menyerang wanita Malaysia terutama yang masih muda, penting untuk mendidik mereka mengenai kepentingan memahami kanser berkenaan.

Katanya, melalui pemeriksaan kesihatan yang dilakukan secara rutin, kanser pangkal rahim dapat dikesan lebih awal, seterusnya membantu seseorang menjalani rawatan sebelum terlewat dan peratusan pemulihan juga lebih tinggi.

“Pendidikan untuk memupuk kesedaran mengambil vaksin Human Papilloma Virus (HPV) dan ujian Pap smear mampu membuat perubahan yang besar.

“Kanser ini mudah ditemui pada peringkat awal, justeru pengesanan awal dapat membantu menyelamatkan nyawa wanita. Ketika ujian Pap smear baru diperkenalkan, jumlah wanita yang menghidap kanser pangkal rahim jatuh mendadak sehingga 70 peratus.

“Ujian mudah itu perlu dilakukan secara rutin dan di negara ini, setiap klinik mampu melakukannya,” katanya pada majlis kerjasama antara jenama mandian, May dengan NCSM, baru-baru ini dalam usaha meningkatkan kesedaran wanita terhadap kanser pangkal rahim.

Menurut Saunthari, ketika ini hanya 35 peratus wanita yang melakukan ujian Pap smear dan kebanyakan mereka hanya melakukannya sekali seumur hidup sedangkan keadaan itu harus diubah segera bagi menyelamatkan nyawa ramai wanita.

Biarpun semua wanita berisiko mendapat kanser pangkal rahim, ia mudah dielak dan dirawat sekiranya langkah pencegahan diambil atau dikesan lebih awal.

“Biarpun ia sebenarnya satu penyakit yang boleh mengancam nyawa, masih ada ramai wanita yang malu memperkatakannya,” katanya.

Ketua Pusat Pengesanan Kanser Wanita NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kanser pangkal rahim berpunca daripada virus HPV dan ia boleh berlaku kepada sesiapa saja manakala lelaki boleh menjadi pembawa kepada virus itu.

Gaya hidup bebas dalam kalangan segelintir wanita yang bertukar pasangan bagi menjalinkan hubungan intim, boleh mendedahkan mereka kepada risiko mendapat barah pangkal rahim.

Selain penyakit kelamin, kurang kesedaran untuk menjaga kebersihan alat sulit, menjalin hubungan seks dengan ramai pasangan, memulakan hubungan seks pada usia muda dan merokok juga boleh menjadi penyumbang kepada penyakit kanser berkenaan.

“Setiap tahun, ada 300 kes baru bagi kanser pangkal rahim dan di Asia Pasifik, setiap empat minit seorang wanita meninggal dunia akibat penyakit itu. Separuh daripada jumlah wanita yang dikesan menghidap kanser pangkal rahim pula akan mati akibat penyakit berkenaan.

“Di Malaysia, wanita berbangsa Cina mencatat kes tertinggi bagi penghidap kanser pangkal rahim iaitu 20 pesakit bagi setiap 100 orang, berbanding bangsa
lain. Namun ia sebenarnya disebabkan kesedaran yang lebih tinggi untuk menjalani pemeriksaan pengesanan serta kerelaan mereka mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurut Dr Dalilah, kanser pangkal rahim bukan berlaku dalam tempoh yang singkat, sebaliknya ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum menjadi penyakit yang membunuh wanita.

Katanya, risiko selalunya muncul pada usia 30 tahun dan tempoh puncaknya apabila wanita mencapai usia sekitar 65 hingga 69 tahun.

“Biarpun HPV sememangnya ada dalam kalangan manusia tetapi 80 peratus daripadanya akan bertukar menjadi kanser, dengan jenis HPV 16 serta HPV 18 paling biasa berlaku.

“Bagi mereka yang sering terkena jangkitan pada bahagian sulit, perlu lebih berhati-hati untuk menjalani ujian kerana 80 peratus wanita akan mendapat jangkitan HPV sepanjang hidup mereka. Ia selalunya dibersihkan oleh tubuh, namun ia mungkin masih tinggal dalam tubuh sekiranya jangkitan sering berlaku.

“Apatah lagi bagi mereka yang sering bertukar pasangan, golongan ini perlu lebih mengambil berat untuk menjalani pemeriksaan terutama sekiranya wujud rasa sakit ketika hubungan kelamin atau berlaku pendarahan.

“Bagi wanita berusia yang sudah kematian pasangan mereka selama beberapa tahun, mereka masih perlu menjalani ujian Pap smear kerana virus HPV boleh hidup dalam jangka lama di dalam tubuh dan mencapai kemuncaknya selepas tempoh tertentu,” katanya.

Dr Dalilah berkata, selain secara seksual, kuman HPV merebak melalui ibu kepada anak iaitu ketika proses kelahiran, pakaian dalam tidak bersih, sarung tangan pembedahan doktor serta forsep biopsi yang tercemar dengan HPV.

Katanya, virus itu mengambil masa antara 10 hingga 20 tahun untuk berkembang. Oleh itu, penting untuk menjalani ujian Pap smear bagi mengesannya sebelum ia merebak atau mengambil suntikan vaksin HPV.

“Sekali terkena HPV, mungkin badan boleh membersihkan virus itu tetapi sekiranya berkali-kali dan ketika sistem pertahanan tubuh lemah, ia boleh mendedahkan seseorang kepada kanser pangkal rahim.

“Ada tiga jenis ujian Pap smear yang boleh dilakukan tetapi minta doktor jalankan ujian lebih khusus iaitu HPV DNA yang lebih tepat untuk mengesan risiko seseorang terdedah kepada kanser berkenaan,” katanya.

Apa itu ujian Pap smear?

Ujian Pap smear dilakukan bagi mengesan sebarang keganjilan pada pangkal rahim seperti sel sebelum kanser. Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan pangkal rahim dan dihantar ke makmal untuk diuji. Wanita digalakkan menjalani ujian itu setiap tahun bagi mengesan kanser pada peringkat awal bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Simptom kanser pangkal rahim:

Pendarahan ketika melakukan hubungan seks

Pendarahan pada pertengahan bulan

Pendarahan selepas menopaus

Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj

Sakit ketika melakukan hubungan seks

Rasa pedih ketika membuang air kecil

Wanita berisiko:

Mempunyai lebih daripada seorang pasangan

Mula aktif hubungan seks sebelum usia 18 tahun

Mengalami jangkitan kuman seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV

Kurang daya tahan imun

Merokok

Fakta kanser pangkal rahim

Berlaku apabila sesetengah sel dalam tubuh tidak berfungsi dengan betul, sel membahagikan diri terlalu cepat atau mengeluarkan terlalu banyak tisu yang kemudiannya membentuk ketumbuhan.

Selalunya ia memakan masa bertahun-tahun untuk sel normal di bahagian pangkal rahim bertukar menjadi kanser, tetapi dalam sesetengah keadaan, ia boleh berlaku hanya dalam tempoh yang singkat.

Vaksin HPV disarankan diberikan kepada kanak-kanak perempuan berusia antara 13 tahun hingga wanita dewasa berusia 26 tahun. Jika doktor mempunyai alasan kukuh, ia juga boleh diberikan seawal usia sembilan tahun.

Vaksin diberikan menerusi tiga suntikan dalam tempoh enam bulan. Ia perlu diberikan sebelum berlaku hubungan seksual atau sebelum terkena virus HPV.

Namun, vaksin berkenaan mungkin tidak cukup untuk melindungi semua orang. Justeru, pemeriksaan rutin dengan doktor perlu dilakukan.

Virus HPV belum ada penawar dan satu-satunya cara terbaik mengelak diri daripada terkena virus itu adalah dengan mengelak hubungan seks secara bebas.

Ujian Pap smear perlu dimulakan pada usia 21 tahun. Bagi mereka yang mendapat keputusan negatif atau tiada sejarah ujian Pap smear tidak normal, perlu meneruskan pemeriksaan setiap tiga tahun.

Kanser pangkal rahim adalah jenis kanser paling biasa menyerang wanita United Kingdom yang berusia 35 tahun ke bawah. Sejak 10 tahun lalu, ia meningkat secara mendadak sehingga 15 peratus dan menyerang wanita berusia lewat 20-an di negara berkenaan.

Ia juga kanser paling biasa berlaku dalam kalangan wanita di negara Afrika Selatan dan Amerika Tengah.

Dua pertiga wanita yang menghidap kanser pangkal rahim hidup selama lima tahun atau lebih.

Wanita yang mempunyai ibu atau saudara perempuan yang menghidap kanser pangkal rahim mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser ini.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, satu daripada 28 wanita berbangsa Cina terdedah kepada risiko kanser pangkal rahim manakala satu daripada 34 wanita India berisiko dan satu daripada 80 wanita Melayu terdedah kepada kanser terbabit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya 41 peratus wanita di negara membangun mendapat rawatan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

3,202 views