Kanta Lekap Elemen Penting

Pemakaian kanta lekap kini semakin diperluaskan lagi penggunaannya. Ia bukan saja dipakai pada hari biasa sebaliknya semakin digemari bakal pengantin sebagai pelengkap solekan. Namun apa yang perlu diberi perhatian adalah keserasian antara teknik solekan dengan warna kanta lekap supaya penampilan tidak terlalu ketara dan nampak segar pada hari persandingan.

Bagi mempelai, tidak semua sesuai memakai kanta lekap kerana ia turut bergantung pada jenis warna anak mata serta tujuannya. Sekiranya warna anak mata terlalu gelap atau cerah, mereka boleh memilih kanta lekap bersesuaian untuk menyeimbangkan penampilan.

Menurut jurusolek profesional Iwan daripada Iwan Fancy, pemilihan alat solek bersesuaian mampu menaikkan seri wajah pengantin lebih-lebih lagi bagi mereka yang memakai kanta lekap berwarna. Ini kerana bagi sesetengah individu, kanta lekap menjadi penyelamat iaitu sebagai penambah gaya.

“Untuk mempelai dinasihatkan memilih warna semula jadi seperti hazel, coklat atau kelabu supaya wajah tidak terlalu berbeza dan nampak garang. Selain itu, ia memudahkan jurusolek mencari warna pembayang mata sesuai,” ujarnya.

Untuk menaikkan seri pengantin, sebaiknya pilih pembayang mata warna berbeza dengan kanta lekap. Sebagai contoh, kanta lekap hazel tampil lebih menawan dengan solekan smokey manakala coklat boleh digandingkan dengan pembayang mata cerah seperti biru, merah jambu atau ungu.

“Dengan menggandingkan warna pembayang mata bersesuaian dengan kanta lekap, solekan menjadi lebih menyerlah dan lebih penting penampilan anggun pada hari bahagia. Namun anda seharusnya mendapatkan pandangan jurusolek terlebih dulu sebelum memakainya. Ini bagi mengelak anda memakai warna yang tidak sesuai dengan personaliti anda,” jelasnya.

Tambah Iwan, untuk tampil menawan pemakaian celak dan maskara seharusnya tidak diabaikan kerana ia membantu menaikkan seri wajah selain gincu merah jambu dan pengilat bibir untuk bibir yang seksi.

Untuk mempelai yang inginkan kelainan, dandanan rambut sangat penting kerana ia akan membuatkan wajah tambah jelita. Jika terbiasa dengan rambut yang dilepaskan apa kata pilih sanggul tinggi bersesuaian dengan busana dipakai. Pilih perhiasan seperti anting-anting untuk kekal anggun pada hari bahagia.

Panduan memilih kanta lekap

Pemilihan kanta lekap bergantung kepada warna asal mata, warna kulit, personaliti, warna pakaian dan solekan.

Pilih jenis kanta lekap yang ideal.

Di pasaran terdapat tiga jenis kanta lekap iaitu satu, dua dan tiga lapisan. Kanta lekap satu lapisan hanya terdiri daripada satu lapisan warna dan kelihatan kurang semula jadi. Kanta lekap dua lapis pula terdiri daripada warna asas dan warna di sekeliling anak mata manakala kanta lekap tiga lapisan terdiri daripada warna asas, warna pupil dan warna lingkaran luaran kanta (paling gelap).

Pilih yang selesa dipakai.

Keselesaan kanta lekap berkait rapat dengan kandungan air. Lebih tinggi kandungan air, lebih nipis kanta lekap itu dan ini membuat pemakai terlupa yang dia sebenarnya sedang memakai kanta lekap

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,650 views