Kapas, Sutera Pilihan Untuk Comel
MENGAMBIL gaya kedesaan Perancis dengan hembusan udara segar musim bunga, haruman lavender yang memberikan ketenangan, keenakan makanan serta pengalaman romantik menyusuri perkampungan indah menjadi inspirasi koleksi musim bunga dan panas Poney Enfants 2012 yang diketengahkan pada pertunjukan fesyen di Suria KLCC baru-baru ini.
Khayalan pada keindahan alam sekitar ini diangkat menjadi tema kepada setiap helaian pakaian berkonsepkan Bohemian-chic sama ada daripada segi potongan, sulaman serta warna digunakan.
Nyata selain rekaan, setiap potongan menitikberatkan ciri keselesaan kepada kanak-kanak menerusi pemilihan kemasan serta perincian sulaman atau manik digunakan.
Begitu juga kehadiran aksesori seperti cekak dan topi memberikan gaya baru selain menambah kecomelan kala keluar bersantai.
Menurut Ketua Pereka Poney Enfants, Magda Sola, sungguhpun berpengalaman lebih lapan tahun dalam dunia rekaan, dia mengakui, bahagian paling sukar dalam menghasilkan pakaian kanak-kanak ialah pada pemilihan fabrik yang selesa.
“Keindahan pakaian kanak-kanak bukan saja pada sulaman, reben atau manik sebaliknya terserlah apabila si kecil selesa dengan padanan sama ada ketika bermain atau bersantai ke pusat beli-belah,” katanya yang berpendidikan dalam jurusan fesyen daripada Institut Universiti Antarabangsa Fesyen Esmod di Paris.
Berpengalaman bekerja di Paris, Barcelona sehingga ke London memberi ruang kepada Sola mentafsirkan rekaan mengikut cita rasa Eropah yang bukan saja cantik digayakan, mudah dijaga malah selesa dipakai. Oleh itu, fabrik kapas dan sutera dipilih kerana sifatnya yang lembut, tidak panas dan menyerap peluh malah mudah dijaga.
“Bagi ibu bapa dalam pemilihan pakaian kanak-kanak selain cantik, mereka mencari pakaian yang mampu membuatkan kanak-kanak selesa dan gembira biarpun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Memenuhi impian ibu bapa yang inginkan koleksi sempurna, himpunan musim bunga dan panas kali ini mengetengahkan rekaan jaket dan kardigan longgar bersama padanan seluar sontok, panjang dan skirt. Rona cerah dan ceria seperti biru firus, merah jambu, serta pastel contohnya putih, perang, krim dan hitam menjadi pilihan.
Bagi menampakkan ciri kemewahan kemeja-T dan kardigan berjalur dipilih untuk menambah sentuhan gaya dewasa kepada mereka. Sola juga cenderung bermain dengan teknik jahitan dan lisu bagi memberikan kekemasan selain mudah dipakai.
Pertunjukan fesyen diserikan dengan kehadiran model Amber Chia bersama anaknya, Ashton Wong yang turut memperagakan pakaian di pentas utama. Ternyata kemunculan ibu dan anak ini mendapat tepukan penonton manakala Ashton tampil bersahaja dengan gaya berbeza.
Koleksi musim bunga dan panas Poney Enfants 2012 kini boleh didapati di semua butik Poney seluruh negara bermula hari ini.