Kasut Corak Unik, Menarik

MELIHATKAN peranan kasut, tidak hairan kini semakin ramai yang mementingkan pemakaiannya supaya selesa bergerak ke mana saja.

Namun, ada juga yang membeli kasut kerana rekaannya cantik sehinggakan tidak menyedari ia bukan sesuai untuk jenis kaki sekali gus menyakitkan jika dipakai lama.

Justeru, pereka kasut kini semakin bijak menampilkan koleksi kasut yang menitikberatkan penggunaan material bagi memberi keselesaan kepada pemakai di samping mengekalkan gaya menarik untuk ke mana saja.

Untuk wanita yang mudah terpedaya dengan rekaan kasut unik, seeloknya fikir dulu sebelum membeli terutama melalui butik secara dalam talian bagi mengelakkan aksesori pelengkap itu hanya disimpan di dalam almari.

Bagi pemilik butik The Calaman, Hazwan Faiz Abdul Rahim, 25 dan Badruzzaman Zakaria, 25, memilih kasut yang bersesuaian dengan kaki amat penting agar ia selesa dipakai.

Tidak hanya mengambil berat mengenai saiz, malah dua sahabat baik itu juga sentiasa menasihati pengguna untuk mementingkan material digunakan agar tidak timbul sebarang masalah kelak.

Menampilkan pelbagai corak unik dan menarik, kebijaksanaan pemilik butik berkenaan menghimpunkan cita rasa wanita dapat dilihat menerusi koleksi kasut Crown dan Moutache.

Menggunakan fabrik suede, ia mudah dan selesa dipakai untuk ke mana saja kerana direka dengan tapak rata yang menutup seluruh bahagian kaki bagi membantu memberi perlindungan berpanjangan.

Didatangkan dalam rona terang yang pelbagai untuk memberi pilihan kepada pengguna, ia sesuai dipadan bersama seluar atau skirt untuk tampil lebih santai.

Bagi wanita yang masih inginkan rekaan unik pada kasut digayakan, koleksi Lips membantu memberi kelainan pada penampilan.

Tampak lebih ceria, kasut yang direka dengan ketinggian empat inci itu menampilkan corak bibir pada bahagian depan untuk aktiviti bersantai.

Untuk gadis di bawah 25 tahun, penggayaan koleksi Rock Studd dapat menonjolkan keberanian dalam memilih fesyen yang tidak terbatas.

Menggunakan material aloi ringan, ia disesuaikan dengan elemen bagi menonjolkan gaya ranggi si pemakai yang boleh dipadan bersama denim atau legging.

Bagi si gadis manis yang feminin, koleksi Flourecent menanti dengan penampilan rona terang. Kasut baji yang memiliki ketinggian tiga inci ini didatangkan dalam rona ungu, hijau muda, kelabu dan biru yang menggunakan fabrik suede.

Di dalam bahagian kasut berkenaan, perekanya menggunakan corak polka dot untuk menyempurnakan penampilan pada kasut polos.

Koleksi Robin pula untuk mereka yang inginkan keselesaan kerana ia direka dengan kehadiran elemen tali di bahagian belakang kasut bagi memberi peluang kepada pemakai menyesuaikan dengan bentuk kaki mereka.

Kasut jenis platform itu ditampilkan dalam rona merah terang, hitam, ungu dan mustard sesuai untuk wanita yang ingin bergaya sederhana.

Terima kasih:

Butik The Calaman, Jalan Plumbum P7/P, Seksyen 7, Shah Alam.

dan facebook.com/thecalaman.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,574 views