Kasut Sumber Rezeki

SATU demi satu rumah kecil dikunjungi dan semuanya memperlihatkan hiasan yang sama. Pada satu bahagian, cebisan perca kain memenuhi ruang lantai. Di satu sudut pula kelihatan ratusan hamparan kulit sintetik, menanti untuk dipotong mengikut bentuk tapak kaki yang ditetapkan.

Sekali pandang, kawasan penempatan setinggan di Marikina, salah satu bandar dalam Metro Manila, Filipina, ini sama seperti penempatan setinggan lain yang biasa dilihat di negara Asia.

Namun, boleh dikatakan hampir 50 peratus isi penempatan ini sebenarnya beroperasi sebagai kilang kasut yang dulunya menjadi pembekal utama kasut di seluruh Filipina serta beberapa negara jiran.

Biarpun pekerja silih berganti, majoritinya menghabiskan hampir setengah usia mereka bekerja di kilang itu.

Beth antara pekerja di salah satu kilang kasut itu yang mewarisi kemahiran ibunya dalam seni pembuatan kasut. Wanita berusia lewat 30-an itu menggantikan ibunya bekerja di kilang terbabit selepas tamat sekolah rendah.

Beth tidak mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya kerana kedaifan keluarga.

“Ini saja yang saya tahu. Ia perkara biasa bagi kami,” ujarnya ringkas dan tidak mampu lagi menjawab pertanyaan penulis kerana tidak fasih berbahasa Inggeris.

Menurut pemandu pelancong kami, ia situasi biasa di Marikina iaitu anak-anak akan mengikut jejak langkah ibu bapa mereka yang bekerja di kilang kasut.

Jika 20 tahun lalu, lebih 300 kilang didirikan di seluruh bandar itu, tapi jumlahnya makin merosot berikutan wujud persaingan daripada syarikat China dan India.

“Dulu permintaan kasut daripada pembekal mencecah 10,000 pasang sebulan.
Lama-kelamaan jumlahnya makin kurang hinggalah kini kami cuma menyiapkan antara 5,000 hingga 10,000 pasang sebulan.

“Saingan daripada kilang di China menyukarkan kami mencari wang. Dulu kami terima bayaran minimum $5 peso (RM0.40) untuk setiap kasut. Kini nak sampai ke $2 peso (RM0.17) pun belum tentu dapat. Kami harap perkara ini tidak berterusan,” kata Beth, dengan nada tersekat-sekat.

Apa yang dialami Beth turut dirasai hampir semua kilang kasut kecil di Marikina.

Sejak berabad lamanya, ekonomi di Marikina dijana industri pembuatan kasut ini, justeru tidak hairan apabila ia diangkat selaku ibu negeri kasut bagi Filipina.

Industri kasut di Marikina dikatakan bermula pada 1887 oleh Don Laureano Guevara, juga dikenali sebagai Kapitan Moy. Menurut laman sesawang rasmi bandar itu, Kapitan Moy membeli sepasang kasut import dan meminta pekerjanya meniru rekaan itu.

Lama kelamaan, makin ramai penduduk belajar membuat kasut dan bermulalah aliran perdagangan kasut di antara Marikina dengan beberapa bandar berhampiran.

Laman sesawang itu turut melaporkan bahawa pada 1983, 70 peratus pengeluaran kasut di negara itu datangnya dari Marikina. Kasut dari Marikina juga berjaya menembusi pasaran asing.

Bagaimanapun, atas faktor globalisasi dan kos import yang lebih murah, industri di Marikina mula terjejas. Kerajaan dan sektor swasta di negara itu kini giat memulihkan semula industri kebanggaan mereka dengan pelbagai promosi dan teknik pengiklanan berbeza.

Salah satunya ialah mewujudkan muzium kasut yang menempatkan kebanyakan kasut milik bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos.

Bahagian atas muzium itu mempamerkan industri pembuatan kasut di Marikina, sementara seluruh ruang di bahagian bawah dikhaskan kepada 800 pasang kasut wanita yang pernah digelar ‘Rama-Rama Besi’ (Iron Butterfly) itu.

Daripada Christian Dior dan Givenchy ke Ferragamo dan Chanel, muzim itu nyata lokasi mesti dikunjungi bagi peminat fesyen. Ia memperlihatkan kepelbagaian cita rasa Imelda dan menariknya, setiap satu rekaan kasut perlu dibuat dalam dua pasang – bertumit rendah dan tumit tinggi.

Dengan saiz kasut 81/2, Imelda gemar menggayakan kasut tumit tinggi, tapi terpaksa meminta dibuatkan satu lagi kasut yang sama dengan tumit rendah agar tidak menyaingi ketinggian suaminya, Ferdinand Marcos.

Imelda sering mengatakan dia hanya memiliki 1,060 pasang kasut, tapi ramai rakyat percaya wanita itu mempunyai koleksi mencecah 3,000 pasang.

Memetik kata-kata keramat Imelda, menjadi tanggungjawabnya sentiasa berpenampilan menarik.

“Jangan sesekali selekeh ketika bertemu rakyat. Mereka tidak akan menghormati anda. Mereka mahu wanita pertama mereka tampak anggun seperti bernilai sejuta dolar,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,172 views