Kasut Zul Masuk Oscar
Pereka kasut tempatan yang semakin meningkat naik, Zul Mohd, baru-baru ini, mencipta sejarah tersendiri apabila kasut rekaannya digayakan selebriti Hollywood, Kristyn Burtt pada acara gilang-gemilang, Anugerah Oscar ke-86 yang ditayangkan secara langsung di seluruh dunia pada 2 Mac lalu.
Lebih membanggakan, kasut rekaan Zul itu mendapat pujian ramai apabila Kristyn berjalan di permaidani merah malah ia diperkatakan secara meluas di laman sosial Twitter, Facebook dan blog hiburan di Hollywood.
Kenangan itu sukar dilupakan oleh pereka kasut jenama Emmet ini, malah ia menjadi penguat semangat kepadanya untuk terus maju dan menjadi satu nama besar di peringkat antarabangsa.
Pendekatan unik yang digunakan Zul dalam mendekati artis antarabangsa seharusnya dipuji kerana semangat serta keberanian yang ditunjukkan bukan calang-calang hingga mendapat kepercayaan selebriti di luar negara untuk menggayakan kasut dan beg genggam yang turut direka sepadan.
Zul berkata, dia sukar mempercayai kasut dan beg tangan yang direka khas buat Kristyn dapat digayakan di majlis berprestij itu dan mendapat perhatian ramai penggemar fesyen.
Pereka muda ini begitu teruja dengan peristiwa bersejarah berkenaan dan pada masa sama meneruskan usaha mendekati seramai mungkin selebriti. Dia memasang impian supaya kasut dan beg tangannya dapat digayakan orang kenamaan dan terkenal di dunia termasuk Ratu Elizabeth dan Kate Middleton.
“Memang tidak sangka kasut saya dapat dibawa hingga ke Anugerah Oscar, malah menerima pujian. Saya berterima kasih kepada Krystin yang mempercayai hasil kerja saya.
“Saya hanya berhubung dengannya melalui media sosial seperti e-mel, Twitter dan Facebook. Malah, tidak lama lagi seorang anak perempuan kepada ahli kumpulan muzik yang popular pada era 80-an, DeBarge, meminta saya menghasilkan sepasang kasut untuknya.
“Saya beranikan diri berhubung dengan selebriti luar negara kerana mahu meluaskan pasaran kasut Emmet dan tidak sangka ia diterima baik, malah mereka dilihat terbuka untuk bekerjasama menggayakan kasut rekaan saya,” katanya.
Khas buat Kristyn dan bagi disesuaikan dengan pakaian selebriti pada acara Oscar bertempat di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, Zul mencipta sepasang kasut dan beg genggam berwarna emas lembut daripada fabrik satin.
Hasil usahanya yang tidak mengenal lelah untuk berjaya turut mendapat penghargaan tempatan apabila dipilih sebagai Everyday Malaysia Hero dalam bidang fesyen oleh penjenamaan negara kerana membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dan boleh disaksikan di www.malaysia.my.
Malah, Zul terus mengorak langkah lebih jauh dengan menghasilkan dua pasang kasut iaitu satu berwarna putih menggunakan renda Perancis dan satu lagi berwarna biru diraja dari satin untuk dihadiahkan masing-masing kepada Kate Middleton dan Ratu Elizabeth.
Biarpun belum tahu bagaimana untuk menyampaikan kasut berkenaan, Zul bertekad dan kini dalam perancangan berhubung dengan orang kanan istana untuk membantunya menghantar kasut berkenaan sebagai hadiah kepada keluarga diraja Britain itu.
“Sememangnya ia menjadi antara impian saya untuk melihat mereka menyarung kasut Emmet, sekali gus mencipta nama untuk Malaysia. Saya juga cuba berhubung dengan Katy Perry dan Taylor Swift supaya dapat menghasilkan kasut untuk mereka,” katanya.
Bagi memastikan setiap koleksi kasut yang dihasilkannya sesuai dengan cita rasa selebriti antarabangsa, Zul akan membelek majalah untuk melihat sendiri kasut bagaimana yang diminati seseorang selebriti.
Katanya, dia akan mencipta sepasang kasut sesuai dengan cita rasa supaya mereka selesa, yakin dan gembira menggayakannya.
Lagipun setiap kali hendak membuat rekaan dia akan berbincang terlebih dulu dengan selebriti yang bersetuju melalui pelbagai media sosial yang ada supaya ia sesuai dengan kehendak mereka.
Kasut dan tas tangan rekaannya pernah digayakan selebriti Hollywood, Lauren Mayhew pada acara karpet merah Anugerah Grammy Ke-55 di Amerika Syarikat (AS).
Lauren adalah penyanyi dan pelakon yang pernah membintangi siri televisyen popular yang mendapat rating tinggi di seluruh dunia seperti CSI: Crime Scene Investigation, CSI: Miami dan Law Order.
Menyentuh mengenai koleksi terbaru dari Emmet, Zul berkata dia hanya menghasilkan beberapa rekaan kasut pada tahun ini memandangkan kini lebih menumpu kepada meluaskan jenamanya ke persada antarabangsa.
Sementara itu, berkongsi sedikit tip, dia berkata, setiap rekaan kasut yang dihasilkan bagi jenama Emmet, menggunakan warna lembut dan asli untuk memudahkan ia dipadankan dengan apa juga warna pakaian.
“Kasut adalah sebahagian aksesori yang mampu menonjolkan diri wanita, tetapi ia hanya sebahagian penampilan mereka. Supaya tampak cantik, kasut perlu disesuaikan dengan setiap perincian termasuk dari hujung rambut ke hujung kaki.
“Jika wanita memakai baju warna kosong seperti hitam atau putih, tidak sesuai baginya mengenakan kasut yang terlalu menonjol serta mempunyai banyak kilauan kerana dari jauh orang hanya nampak kasut. Oleh itu, ia perlu disesuaikan dengan pakaian,” katanya.
Tambah Zul, wanita yang tinggi lampai tidak perlu mengenakan kasut tumit tinggi lebih daripada empat inci kerana ia hanya membuatkan mereka kelihatan lebih tinggi dan mungkin janggal.
Manakala wanita yang serta berbadan besar pula lebih sesuai memakai kasut yang tapaknya rata, bukan saja untuk penampilan, tetapi juga keseimbangan ketika berjalan.
“Bagi mereka yang banyak berjalan, saya cadangkan supaya memilih kasut dengan ketinggian tumit antara dua ke tiga inci supaya tidak lenguh. Namun kepada yang pandai bergaya atau sudah biasa memakai kasut tumit tinggi, tidak jadi masalah untuk mereka menggayakan kasut bertumit empat inci,” katanya.
Selain itu, Zul turut berkongsi tip penjagaan kasut tumit tinggi supaya ia kekal bersih, tahan lama serta boleh digayakan berulang kali.
Katanya, kasut terutama dari material yang sarat perincian perlu dielak daripada terkena air kerana bimbang rupanya mengembang dan tidak cantik.
“Kasut berjenama yang dibeli selalunya memang mahal dan jika tidak dijaga dengan baik, rugilah. Oleh itu, untuk pastikan ia bertahan lama, jangan kotorkan kasut dan jika terkena, boleh disapu sedikit air.
“Tapaknya pula perlu dicuci, dimasukkan dalam uncangnya sebelum disimpan dalam kotak. Lebih baik sekiranya kasut yang mewah ini hanya digayakan di majlis tertentu, bukan dijadikan kasut harian yang sudah pasti akan membuatkannya nampak kotor dan kusam,” katanya yang berhasrat membuka butik di Hollywood dalam perancangan selama lima tahun.