Kawal Diet Makanan Seharian

Bukan mudah untuk menjaga anak yang mengalami masalah asma. Pelbagai perkara perlu diberi perhatian terutama dari segi pemilihan perabot, aksesori hiasan rumah serta makanan untuk memastikan penyakit dialami anak tidak bertambah kronik.

Bagi ibu bapa yang tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan asma, tidak dinafikan situasi berkenaan mampu memberi tekanan.

Namun bagi suri rumah, Asra Fariza Abdul Rashid, 33, pengalamannya menjaga empat anaknya yang berhadapan masalah berkenaan membuatkan dia lebih cekal, malah ia seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan.

Umumnya, kanak-kanak penghidap asma berhadapan dengan pantang larang yang agak ketat terutama dari segi fizikal dan pemakanan.

Namun, dia tidak mahu mengehadkan perkembangan sosial anaknya dengan menetapkan perkara tertentu yang boleh dilakukan mereka.

“Saya galakkan anak untuk melakukan aktiviti digemari, namun masih dengan pengawasan kerana bimbang berlaku masalah kesihatan yang memudaratkan mereka.

“Sedikit demi sedikit mereka cuba menyesuaikan diri dengan cara masing-masing, tetapi apalah yang mereka tahu. Sebagai ibu bapa, kita perlu memberikan sokongan sebaik mungkin,” katanya.

Semua anaknya mengetahui mereka menghidap asma, malah sedaya upaya cuba mengawal tingkah laku dan pergerakan fizikal masing-masing.

Malah di rumah, dia cuba mengawal diet untuk anaknya dengan tidak memberikan mereka gula-gula, minuman dan makanan berais, minuman berkarbonat serta makanan segera.

Tetapi apabila berada di luar rumah terutama di sekolah, segala makanan yang dilarang itu mungkin diambil jua terutama apabila terpengaruh dengan rakan sebaya.

“Disebabkan itu, kesedaran awal perlu diterapkan dalam diri ibu bapa bagi memastikan anak mereka mampu mengawal keinginan terbabit sejak kecil.

“Walaupun sukar, ia boleh dilakukan dan saya yakin contoh amalan baik yang diterapkan itu mampu memberikan kesan terbaik buat anak,” katanya.

Antara empat anaknya, anak perempuan ketiganya mengalami serangan asma yang agak kronik. Dia mudah terkena jangkitan sekiranya ada antara rakannya yang demam di sekolah.

Bayangkan lazimnya dia ditahan di wad selama dua minggu akibat jangkitan berkenaan dan selepas itu, selama dua bulan tidak boleh ke sekolah bagi memastikan pulih sepenuhnya.

“Walaupun sudah biasa dengan anak yang mengalami serangan asma, gejalanya tidak sama bagi setiap individu. Rasa panik tetap ada dalam diri, tetapi sedaya upaya saya mengawalnya agar mampu memberikan bantuan kepada anak.

“Selama enam bulan berturut-turut, anak saya perlu mengambil ubat dan tidak boleh terlepas walaupun sehari bagi mengurangkan serangan asma. Walaupun ia sukar, sebagai ibu saya akan memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan anak,” katanya.

Bagi kakitangan swasta, Aida Rohana Ismail, 36, anak lelakinya yang berusia 10 tahun mengalami asma akibat keturunan.

Kini selepas mendapat rawatan berterusan ia berjaya dikawal, namun masih mendapat serangan asma sekiranya berhadapan dengan pencetus serangan penyakit itu.

“Apabila mendapat serangan asma, anak saya susah bernafas, mengeluarkan bunyi nafas yang berdehit serta semput.

“Mungkin disebabkan masalah kesihatan dialaminya itu, dia tidak begitu gemarkan aktiviti luar serta sukan kerana boleh menyebabkan serangan asma berulang,” katanya.

Sebagai ibu, dia memastikan keadaan persekitaran rumah sentiasa kemas dan bersih serta cuba mengawal diet makanan harian mereka sekeluarga.

Walaupun mengetahui ia sukar dilakukan kerana ‘godaan’ persekitaran, dia cuba melakukan apa yang termampu sebagai ibu.

“Saya juga tidak pernah mengehadkan pergerakannya kerana selagi ia tidak memudaratkan kesihatan, ia boleh dilakukan.

“Malah anak juga mengetahui masalah kesihatan dialaminya dan tidak pernah melakukan sesuatu yang membahayakan dirinya,” katanya.

Ini antara perkara penting yang perlu dilakukan ibu dan bapa iaitu mendidik anak sejak kecil agar mereka tidak mengabaikan kesihatan diri.

Lakukan apa saja aktiviti digemari, tetapi biarlah berpada-pada kerana sebagai pesakit asma, kanak-kanak berkenaan berhadapan dengan masalah pernafasan dan ia bukan satu perkara yang menyeronokkan.

“Antara perkembangan terbaik dialami anak saya apabila dia mampu berhadapan dengan perubahan cuaca yang drastik. Dia tidak mengalami serangan asma walaupun berada di tempat sejuk ketika bercuti di Istanbul selama dua minggu.

“Malah, dia kini turut menyertai kelas renang dan mampu melakukannya sebaik mungkin tanpa berhadapan masalah kesihatan yang kronik,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,549 views