Kawal Paras Gula

RAMAI tidak tahu pesakit diabetes boleh menjamah makanan sama seperti individu sihat asalkan masakan disediakan berkhasiat dan memenuhi keperluan makanan seimbang.

Biasanya pesakit dinasihatkan mengurangkan gula dan lemak atau berpantang manis, mengurangkan karbohidrat dan melebihkan lemak dalam makanan.

Menurut pakar kulinari serta chef selebriti, Amy Beh, pengawalan pengambilan diet satu faktor penting dalam pengawalan tahap gula dalam darah.

Ini bermakna diet hendaklah seimbang dan konsisten setiap hari. Diet diabetes adalah diet yang sihat dan sesuai diikuti semua orang.

“Bagi pesakit diabetes, mereka perlu berhati-hati memilih jenis makanan kerana ia mempengaruhi paras gula dalam darah.

“Pesakit harus mengamalkan diet mengikut piramid makanan iaitu mengandungi semua zat diperlukan tubuh iaitu karbohidrat, protein, vitamin dan gula.

“Namun keadaan itu bergantung kepada beberapa faktor seperti berat badan, umur, pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan serta keadaan penyakit,” jelasnya.

Amy yang juga penulis buku resipi untuk pesakit diabetes berjudul Raikan, berasa teruja kerana dapat berkongsi hidangan enak yang pasti memenuhi selera pesakit.

“Biasanya pesakit diabetes dihalang untuk mengambil makanan sama seperti individu sihat, namun dengan pengubahsuaian bahan seperti santan yang ditukar kepada susu atau soya mampu memberi rasa enak kepada mereka selain menjaga kesihatan,” katanya.

Untuk resipi kari sayur, dia menggunakan kacang panjang, terung, kubis dan bendi selain telur dan kerang.

Menariknya, Amy menggantikan santan dengan susu untuk rasa lebih enak dan berkhasiat. Nilai pemakanan setiap hidangan disediakan mengandungi 400 tenaga, 38.1 gram karbohidrat, 10.1 gram protein dan 32 gram lemak.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,755 views