Kawal Rentak Kehidupan

Gelagat lima selebriti tempatan selaku duta kempen Kuasa Ke Atas Kanser Serviks (POCC) anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melakukan peragaan di pentas disediakan cukup menghiburkan.

Bertempat di depan butik Kitschen pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, keletah gila-gila Rina Omar, Genevieve Sambhi, Sarimah Ibrahim, Vanessa Chong dan Pamela Chong menarik perhatian tetamu jemputan dan orang awam di situ.

Walaupun bukan bergelar model profesional, ternyata lenggok gaya mereka tidak mengecewakan. Turut sama menunjukkan bakat di pentas peragaan ialah penulis blog POCC, Shelby Kho.

Menggayakan pakaian daripada jenama butik berkenaan, suasana bertambah meriah apabila mereka turut mengadakan sesi teka-teki harga pakaian dan aksesori yang diperagakan pada hari berkenaan kepada umum.

Apa lagi, banyaklah tangan yang diangkat untuk meneka bagi membolehkan mereka memenangi hadiah menarik disediakan iaitu baucar membeli-belah di Kitschen.

Acara pada petang Khamis lalu itu sebenarnya sempena majlis penutup kempen berkenaan yang mula diadakan pada tahun lalu dengan pelbagai aktiviti menarik yang sudah berlangsung dengan jayanya.

Bertemakan BFFs Break The Silence, kempen itu untuk menggalakkan orang ramai berkongsi dan menyebarkan seberapa banyak maklumat mengenai kanser serviks dengan teman baik (BFF) bagi mengambil langkah awal pencegahan penyakit berkenaan.

Hasil inisiatif NCSM itu turut disokong oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) dan Kitschen sendiri demi kesihatan masyarakat.

Bagi menyemarakkan tema kempen ini, aktiviti memandu go-kart turut diadakan pada Jun lalu yang memberi mesej, selepas anda berjaya mengawal pemanduan, anda sebenarnya berjaya merasai kuasa untuk melakukan kawalan.

Ia memberi maksud, diri kita sendiri bertanggungjawab mengawal rentak kehidupan sama ada ia membawa kebaikan mahupun sebaliknya.

Semasa perlumbaan go-kart berlangsung, pengunjung yang tidak terbabit dengan perlumbaan berpeluang menyertai aktiviti lain di trek termasuk kereta lumba kawalan jauh serta merakam video atau gambar mereka dengan BFF, sebagai tanda sokongan untuk melindungi.

Berbicara mengenai fesyen, golongan wanita secepat kilat membuka mulut berkongsi apa saja yang mereka ada dan tahu mengenai perkembangan bidang itu dengan rakan.

Namun apabila disuruh bercerita mengenai masalah kesihatan meliputi pelbagai jenis penyakit sama ada yang banyak dihidapi oleh lelaki mahupun wanita, bagaikan liat telinga mahu mendengar.

Kadang-kadang, melihat pada gerak tubuh saja sudah tahu mereka mendengar kerana terpaksa atau sukarela atas sebab kesedaran diri sendiri demi kebaikan bersama.

Mungkin bagi mereka, isu kesihatan ini membosankan atau tidak penting selagi diri sendiri belum menghidap sebarang penyakit berbahaya.

Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Pemeriksaan Kanser Wanita NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kanser serviks ialah kanser ketiga paling kerap menyerang wanita di Malaysia manakala di seluruh dunia, ia kanser kedua tertinggi dihidapi wanita.

“Di rantau Asia Pasifik, dalam tempoh setiap dua minit, ia boleh meragut empat nyawa wanita. Seharusnya statistik ini sudah cukup menyedarkan orang ramai mengenai bahaya kanser pangkal rahim.

“Atas sebab itu juga, kesedaran mengenai penyakit berbahaya ini khususnya dalam kalangan wanita sering menjadi keutamaan banyak pihak NGO seperti NCSM sendiri dan kerajaan.

“Kanser serviks boleh dihidapi wanita apabila mereka dijangkiti virus Human papilloma (HPV) yang berlaku sewaktu melakukan hubungan kelamin, merokok atau faktor lain seperti sistem imunisasi (pertahanan badan) yang rendah dan genetik.

“Justeru menerusi kempen seperti ini, kami tekankan kepada semua yang mempunyai rakan baik supaya berkongsi cerita sesama mereka dan jangan sesekali malu, begitu juga berkongsi cerita dengan ahli keluarga seperti emak, kakak mahupun adik perempuan,” katanya.

Jika mahukan penerangan lebih lanjut, mereka juga boleh mendapatkan bantuan di NCSM, NGO berkaitan dan doktor pakar bertauliah.

Menurut Dr Dalilah, memandangkan statistik yang dicatat membimbangkan, menjadi satu kelalaian untuk kita tidak mengetahui perihal kanser serviks kerana ia boleh dicegah sebelum dijangkiti.

Sejak 2009, kempen POCC sudah menyokong, memperkasa dan menggalakkan wanita untuk berbincang dengan pakar perubatan bagi mendapatkan perlindungan daripada penyakit ini menerusi pelalian vaksin atau ujian pap smear.

“Kami juga mengunjungi beberapa sekolah untuk menyampaikan mesej dan kesedaran agar mereka tahu mengenainya lebih awal. Kempen pendidikan dan kesedaran seperti ini boleh memberikan pengetahuan serta maklumat mengenainya.

“Anda ialah penyokong terbaik terhadap diri sendiri, perlu bertanggungjawab demi kesihatan dan membuat keputusan untuk melindungi diri sendiri daripada kanser serviks,” katanya yang ditemani Pengarah Unit Perniagaan, Vaksin dan Urusan Kerajaan GSK, Henri Antaki serta Pengurus Pemasaran Kitschen, Ai Lee Tan.

Pada majlis sama, pemenang Pertandingan Design A-Bag yang diadakan sempena kempen berkenaan turut diumumkan. Gelaran juara menjadi milik Adiba Abd Rahman, 23, dan beg hasil rekaannya juga dipertontonkan buat pertama kali pada hari itu.

Berwarna merah jambu dan dipenuhi perkataan ringkas tetapi mempunyai maksud mendalam, Adiba turut dipilih berdasarkan pemahamannya mengenai kanser serviks.

“Saya menghasilkan rekaan beg bukan tenunan ini berdasarkan pemahaman yang saya miliki mengenai kanser serviks selain mahu orang lain memahaminya berdasarkan apa yang tertulis.

“Selepas melakukan bacaan dan mengikuti beberapa kerja amal, saya sedar mengenai bahaya penyakit ini yang mungkin boleh membuatkan saya, ahli keluarga, rakan serta anda dijangkiti,” jelasnya.

Beg istimewa edisi terhad itu boleh didapati di semua butik Kitschen pada harga RM2 dengan sebarang pembelian, sementara stok masih ada.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

732 views