Kedua-dua Pihak Perlu Saling Mengingati
SESUNGGUHNYA Islam itu mudah, sederhana dan tiada paksaan kerana ajarannya mengandungi hikmah yang sangat besar untuk dinikmati oleh umatnya.
Islam memiliki sifat dasar iaitu kesempurnaan, penuh nikmat, diredai dan sesuai dengan fitrah. Ia mampu menjadikan pengikut dan penganutnya berasa tenang, selamat dan bahagia dalam menjalani kehidupan ini walau apa jua cabaran yang mendatang.
Keindahan Islam itu juga dilihat tiada tolok bandingnya terutama bagi saudara baru atau mualaf yang baru merasai perbezaan sebelum dan selepas bergelar seorang Muslim.
Kepuasan dan ketenangan jiwa yang diakui diperoleh selepas menganut agama Islam memberi seribu satu pengalaman berbeza buat mereka.
Terdapat banyak faktor penghijrahan seseorang itu antaranya secara suka-suka, atas kesedaran diri sendiri atau semata-mata kerana cinta dan mahu mendirikan rumah tangga.
Namun, sebagai manusia biasa, ada antara saudara baru ini yang kadang-kadang tewas apabila terpesong daripada akidah dan kembali ke jalan lama selepas tidak dapat menerima cabaran antaranya halangan keluarga.
Bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga antara mereka yang berjaya melaluinya sehingga menjadi Muslim hebat.
Kita biasa mendengar seorang lelaki Muslim mengahwini wanita mualaf dan jika difikirkan, tanggungjawab memimpin keluarga menjadi lebih mudah, tetapi bagaimana jika sebaliknya serta perkahwinan pula dilanda badai?
Menyentuh hal ini, cuba anda, sebagai seorang wanita membayangkan mengahwini seorang saudara baru atas dasar suka sama suka dan saling mencintai.
Bagaimanapun, mahligai yang dibina itu secara perlahan-lahan mula menunjukkan tanda berantakan akibat sikap suami yang semakin hari semakin lalai menjalani perintah Allah. Beban yang harus digalas tentunya payah diungkapkan dengan kata-kata.
Umum tahu lelaki atau bapa adalah ketua setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin kepada wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan).”
Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga, suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar.
Cabaran seorang isteri yang bersuamikan saudara baru amat besar kerana dia perlu memastikan dan membimbing suaminya mendalami ilmu agama dengan lebih terperinci serta sempurna supaya menjadi hamba Allah yang sejati.
Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Suariza Hidayah Muhammad, berkata isteri sebegini sering berada dalam keadaan tertekan dan serba salah kerana menghormati peranan suami sebagai ketua keluarga.
“Insan bernama lelaki adalah ketua dan mesti melindungi seorang wanita. Apabila dia bergelar suami, tugasnya menjadi lebih berat kerana perlu menjadi ketua keluarga.
“Sekiranya suami itu saudara baru, tanggungjawab yang dipikul dirinya bertambah berat sebab perlu mengetuai dan mendidik sebuah keluarga.
“Justeru, dia perlu benar-benar mengetahui dan mendalami agama Islam sebaik-baiknya, tetapi jika dirinya terpesong sehingga satu tahap memilih kembali ke agama asal, satu masalah serius pasti berlaku dan insan yang berada dalam dilema adalah si isteri.
“Lelaki terkenal dengan keegoannya dan sukar menerima teguran isteri yang mahu dirinya menuju ke arah kebaikan. Bagi sesetengah mereka, kuasa yang dimiliki tidak melayakkan isteri itu untuk menegurnya.
“Isteri pula serba salah dan takut jika dianggap menderhaka kepada suami jika berbuat demikian. Namun, mahu atau tidak mahu, dia perlu berbincang dan memberi nasihat kepada suami agar cepat kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.
“Hal ini bukan saja terjadi kepada wanita yang bersuamikan mualaf, tetapi juga sebaliknya. Lantaran kes seperti ini, sebuah perkahwinan itu mungkin diakhiri dengan perceraian. Lebih buruk lagi apabila jika mereka mempunyai anak yang di kemudian hari menjadi mangsa kepada permasalahan ini,” katanya.
Katanya, masalah ini dilihat kerap berlaku kepada sebuah perkahwinan apabila seorang daripada mereka memeluk Islam atas faktor cinta dan semata-mata mahu berkahwin.
Perlu diketahui penghijrahan seorang saudara baru daripada agama asal kepada Islam yang hanya berpaksikan cinta terhadap pasangannya tidak cukup untuk menjadikannya Muslim sejati kerana ia perlu disusuli dengan proses pembelajaran dan mendalami Islam secara berterusan.
Dalami Islam dengan secukupnya untuk bergelar seorang mukmin dan hamba Allah yang dikasihi serta disayangi. Bagi lelaki, hanya selepas itu barulah mereka boleh menjadi ketua yang baik dengan adanya asas kukuh.
Menurut Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah, perkara sedemikian tidak dinafikan memang berlaku dan kini masih berada di tahap membimbangkan.
“Ada suami yang bagus dan ada juga yang bermasalah sehingga mahu murtad.
Kebanyakan kes seperti ini terjadi kepada saudara baru yang memeluk Islam atas dasar cinta dan mendirikan rumah tangga.
“Secara jujurnya, seseorang yang memeluk Islam kerana perasaan cinta ini niatnya sudah lain dan sukar menerima perubahan jika dia tidak dididik dan mendapatkan pendidikan ilmu agama Islam secara terus-menerus.
“Sebagai seorang lelaki dan suami, dia mesti faham tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga yang wajib membimbing isteri dan anak. Namun, apabila timbul masalah sebegini, dengan hak dan kuasa yang ada di tangannya, amat sulit untuk dia menerima teguran atau mengambil berat kata-kata isteri. Malah, mungkin hal lain seperti penderaan pula yang akan berlaku.
“Selain itu, antara faktor suami mudah terpesong adalah kerana tidak mengikuti kelas agama dengan kerap. Sekiranya suami lupa atau terleka sekejap, isteri sepatutnya mengingatkan dan mengajak suami ke kelas. Jika hal sebaliknya yang berlaku, pincanglah institusi kekeluargaan itu.
“Kesimpulannya, kedua-dua pihak mesti bekerjasama, memahami dan saling mengingati antara satu sama lain,” katanya yang juga seorang mualaf selepas memeluk Islam kira-kira enam tahun lalu ketika usianya baru menjangkau 20 tahun.
Berkongsi cerita mengenai pengalaman bergelar isteri kepada seorang mualaf, Siti Nurashikin Ramli, 26, iaitu isteri kepada Muhammad Farhan, bersyukur masalah sedemikian tidak berlaku dalam rumah tangganya.
Dia berharap, perkahwinannya akan kekal buat selama-lamanya dan sentiasa memanjatkan doa untuk tujuan itu.
Siti Nurashikin juga rasa bertuah kerana mempunyai seorang suami yang memeluk Islam atas faktor kesedaran dan cintanya terhadap agama Allah bukannya semata-mata kerana mahu mendirikan rumah tangga.
“Saya mengenalinya sejak zaman persekolahan dan ketika itu dia belum memeluk Islam, tetapi saya tahu dia memang berminat. Setakat ini, tiada masalah membabitkan masalah seperti itu dalam perkahwinan kami.
“Malah, saya menjadi semakin rendah diri kerana berasakan ilmu agama yang dimiliki suami lebih tinggi.
“Bagaimanapun, jika saya berada di tempat isteri yang mengalami masalah sebegini, saya akan berusaha sedaya mungkin membantu suami dengan alternatif sedia ada seperti menasihati dan pergi ke kelas agama bersama-sama selain sentiasa bersabar dan yakin dengan kuasa Allah,” katanya yang bernikah pada 8 Oktober lalu.
Muhammad Farhan mencelah, dia memeluk Islam atas dasar kesedaran diri sendiri dan konsep ketuhanan. Dia mengakui pelbagai persoalan timbul mengenai agama asalnya dan selepas mendalami Islam, ia membuatkan dia yakin Islamlah agama yang benar.
Kelab jodoh bantu saudara baru
Mengahwini Siti Nurashikin berlandaskan perasaan cinta amat dihargai dan cerita cinta mereka cukup menarik kerana sesungguhnya hati Siti Nurashikin sukar ditawan gara-gara pernah dikecewakan lelaki sebelum ini.
Sementara itu, Suariza menambah, di Perkim, mereka sentiasa menyediakan perkhidmatan, bantuan kaunseling dan kelas agama untuk dihadiri setiap orang termasuk golongan mualaf selama tujuh hari seminggu.
Selain itu, sejajar dengan matlamatnya sebagai sebuah pertubuhan yang memberi bantuan dan menjalankan dakwah Islamiah kepada orang Islam dan bukan Islam dengan cara positif serta berkesan, Perkim turut bertindak mewujudkan sebuah kelab jodoh dan melaksanakan satu program dikenali sebagai program Tautan Kasih Saudara Muslim.
Kelab jodoh Perkim ini ditubuhkan bagi menolong saudara baru dan Muslim lain yang berhasrat mendirikan rumah tangga dengan calon yang sesuai dan layak, sekufu dan sefikrah. Antara ciri-ciri yang menjadi impian mereka adalah agama, kecantikan, harta dan kekayaan.
“Bagi saya, tidak ada salahnya membantu mereka untuk bertemu jodoh dengan yang baik-baik dan diharapkan perkenalan mereka akan berterusan sehingga ke tahap perkahwinan. Setakat ini, sambutan yang diterima menggalakkan dan ramai juga mualaf yang berminat dan mendaftar.
“Program Tautan Kasih itu pula adalah satu kaedah menghimpunkan ahli kelab mencari jodoh Perkim untuk beramah mesra di samping merapatkan silaturahim, sekali gus mengenali dengan lebih rapat sesama mereka.
“Ia juga sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada mereka dalam aktiviti taaruf berkumpulan, mengenali pasangan serta cara hidup pasangan,” katanya.
Katanya, melangsungkan ijab dan kabul atau perkahwinan adalah sunnah Rasulullah. Setiap pasangan yang mahu dan sudah bernikah mesti faham tujuan sebenar pernikahannya itu demi mendapat keredaan Ilahi.
Selepas itu, hasil daripada perkahwinan adalah untuk mewujudkan keluarga yang sakinah dan meneruskan keturunan dengan memperoleh anak soleh dan solehah.
Harus disedari sebuah keluarga yang dibentuk adalah wadah atau tempat untuk melakukan proses perubahan, baik untuk diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat.
Cinta dan kasih sayang pula adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam antara suami isteri yang berpaksikan Islam.
Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila sudah tiada di dunia nanti.
Justeru, hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap Baitul Muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan.
Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerana fitrah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang.
Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah ar-Rum ayat-30 yang bermaksud: “Fitrah Tuhan yang diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan Tuhan itu. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.”