Kek Buah Kukus Laris

Bukan setakat usahawan pakaian dan peniaga bazar Ramadan mendapat nikmat daripada bulan mulia ini malah ia turut dikongsi pengusaha biskut raya dan kek yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Tidak kira sama ada perniagaan segera, sambilan atau hanya muncul menjelang Ramadan, perniagaan biskut raya dan kek tentunya menjanjikan pulangan hebat kepada pengusaha.

Jika dulu ia dijalankan menerusi sesi bersemuka apabila penjual mengedarkan contoh biskut kepada rakan atau dibeli di kedai atau pasar raya tetapi kini perkembangan teknologi maklumat termasuk laman sosial, Facebook, Instagram dan blog menjadikan ruang lingkup perniagaan biskut raya lebih besar dan luas.

Pembeli pula semakin terbuka dan berani mendapatkan juadah raya ini menerusi Internet hanya selepas melihat gambar tanpa merasa sama ada kuih, biskut dan kek memenuhi cita rasa mereka.

Bagi pemilik D Flowers Cake, Zanifah Md Nor, kehadiran media sosial Facebook, Twitter dan blog kaedah promosi paling berkesan sekali gus membantu menaikkan hasil jualan.

Disebabkan pengguna terdiri daripada generasi muda yang terdedah dengan media bentuk baru, saluran komunikasi ini paling cepat dan drastik membuat hebahan.

Mengambil kesempatan atas perkembangan ini, wanita yang memulakan perniagaan kek dan roti sejak 15 tahun lalu kini memberi tumpuan kepada penjualan kek buah kukus menerusi dalam talian sejak lima tahun lalu.

Dia yang pada mulanya hanya menjual di kedai di Rawang serta di La Boheme, AEON Setiawangsa AU2, Kuala Lumpur, akhirnya memilih menggunakan Internet selepas menyedari pembeli semakin ramai dari seluruh Malaysia.

Pada mulanya syarikat penghantaran tidak yakin membuat servis penghantaran kerana bimbang kek rosak. Oleh kerana setiap hari hampir beratus bungkusan dihantar, lama-kelamaan syarikat mulai yakin dan mengenali kek buah kukus jenama ini sebagai produk yang dijual menerusi dalam talian.

“Cabaran yang saya hadapi adalah dari segi pembungkusan. Ketika kali pertama menggunakan perkhidmatan pos, bekas kek retak. Kami mengambil langkah drastik dengan menempah kotak khas yang agak tebal untuk melindungi kek selain bekas itu sendiri tahan lasak,” katanya.

Jika sebelum ini dia hanya menjual pada musim perayaan, sambutan menggalakkan menyebabkan Zanifah memasarkannya setiap masa.

“Setiap hari ada saja pelanggan baru. Mereka meminta saya menyediakan kek ini setiap masa kerana ada yang ingin menjadikan hadiah, bungkusan hamper dan cenderahati perkahwinan,” katanya.

Untuk pembelian dalam talian, Zanifah menyediakan dua ukuran iaitu 500 gram dan satu kilogram. Buat permulaan, kebanyakan pelanggan baru memilih untuk membeli ukuran kecil 500 gram. Selepas mencuba buat kali pertama, hampir 98 peratus daripada mereka membuat tempahan kepada kek bersaiz satu kilogram.

Kek buah kukusnya mampu mencetuskan fenomena sehingga menerima tempahan melebihi 1,000 biji kek seminggu dengan jualan dalam talian melebihi 50 biji kek sehari.

Menjelaskan keadaan itu, menurut Zanifah, ketika remaja dia memang suka memasak dan mencuba pelbagai resipi terutama membabitkan roti dan kek. Setiap resipi diterima dilakukan pengubahsuaian sehingga mendapat rasa yang berbeza dan sedap seperti mana rasa kek buah kukus sekarang.

“Daripada maklum balas pelanggan, saya dapati agak sukar mencari kek buah yang menepati cita rasa mereka. Kebiasaan yang dijual di pasaran rasanya terlalu manis, kering dan berderai. Oleh itu saya cuba menghasilkan kek yang mampu mengatasi ketiga-tiganya iaitu tidak terlalu manis, tekstur kek lembut dan lembap serta kandungan seimbang buah-buahan kering,” katanya yang ditemui di premis perniagaan di Rawang, baru-baru ini.

Lebih mengujakan apabila semua kek adalah buatan tangan pekerja seramai enam orang dengan resipi daripada Zanifah sendiri. Berbeza dengan kek buah kukus lain, kek ini dikukus empat jam dan boleh tahan melebihi sebulan jika disimpan pada suhu bilik, tiga bulan di bahagian bawah peti sejuk manakala setahun di bahagian sejuk beku.

Keunikan ini menjadikan ia hidangan sesuai ketika minum petang dan musim perayaan, juga dikirim kepada anak-anak dan rakan sama ada di dalam mahupun luar negara kerana tahan lama, lasak dan tidak mudah rosak.

Sebagai pembuat kek, dia begitu mementingkan kualiti termasuk rasa dan rupa kek. Jadi untuk memastikan kek berada dalam standard yang sama, setiap kek dikukus mengikut masa ditetapkan dan kandungan gula seimbang.

“Malah saya juga menggunakan bahan terpilih dan bermutu tinggi seperti mentega dan buah-buahan campuran yang segar,” katanya yang menerima tempahan dalam talian dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta kegemaran golongan kenamaan.

Menjelang Aidilfitri ini, Zanifah sudah bersedia menyiapkan tempahan melebihi sekali ganda serta menyediakan kek sepanjang masa supaya tidak kehabisan stok.

Harga yang berpatutan seiring rasa yang enak, kek buah kukus dijual RM25 bagi 500 gram dan RM50 bagi kek satu kilogram di kedai manakala harga di La Boheme RM28 (500 gram) dan RM55 (satu kilogram).

Bagi memudahkan pelanggan supaya tidak bersesak datang ke kedai, dia menggalakkan pembelian secara dalam talian dan kek dihantar terus ke rumah.

“Ini lebih mudah dan cepat. Pelanggan pula tidak perlu membayar duit minyak semata-mata membeli di kedai. Hanya jelaskan pembayaran dan kek akan terus sampai ke rumah dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Zanifah juga mengalu-alukan pengedar yang berminat menjual secara kecil-kecilan terutama pada musim perayaan atau sepanjang hari biasa.

Selain kek, biskut dan pelbagai jenis roti, Zanifah turut menyediakan hamper untuk lebaran. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang dflowerscake.blogspot.com atau Facebook Zanifah Md Nor. Pelanggan juga boleh mengunjungi premis D Flowers Cake, di No 30, Jalan Bersatu 8, Taman Bersatu, Rawang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

827 views