Kekuatan Dalaman Gillard

Julia Gillard adalah wanita cekal yang mendapat pujian antarabangsa atas kecaman berapinya terhadap sikap sesetengah pihak yang suka merendahkan kedudukan serta martabat kaum wanita, namun rata-rata pengundi masih belum dapat memahami atau menerima sepenuhnya sisi feminis beliau sebagai Perdana Menteri wanita pertama Australia.

Sifat kerasnya sebagai feminis dapat dilihat apabila ahli politik dari Parti Buruh Australia itu berjaya mematahkan cabaran terbaru terhadap kepimpinan beliau baru-baru ini dalam gaya yang menunjukkan kebangkitan kuasanya selepas memegang tampuk pemerintahan sejak 24 Jun 2010.

Selepas berminggu spekulasi berkisar mengenai kejatuhannya, Gillard berdiri di dalam Parlimen dan memberitahu pembangkang supaya bersedia sebelum berhadapan dengan pemberontakan dalaman partinya.

Malah, Gillard, 52, yang terkenal dengan sikapnya yang pragmatik dan berakal tinggi pernah menggelar pembangkang, Tony Abbott sebagai ‘ulat selesema’ dan rakan Abbot, Christopher Pyne, sebagai ‘anak anjing pencincang’.

“Perdana menteri ini adalah pemimpin yang cekal. Dia sekuat cabarannya,” kata Bendahari, Wayne Swan mengulas kesungguhan Gillard yang ketika itu berusaha mempertahankan perjuangan politiknya.

Kekuatan dan kelantangan Gillard juga terserlah secara terbuka apabila dalam satu ucapannya pada Oktober 2012, beliau menyerang pemimpin pembangkang konservatif, Abbott dalam kemarahan luar biasa dengan disaksikan jutaan orang melalui YouTube.

“Saya tidak akan diberi syarahan mengenai seksisme atau kebencian terhadap wanita oleh lelaki ini. Kerajaan juga tidak akan diberi syarahan mengenai seksisme atau kebencian terhadap wanita oleh lelaki ini. Tidak sekarang, tidak selamanya,” kata wanita berusia yang berjaya menaiki tangga parti politik yang dikuasai oleh golongan lelaki.

Ucapannya itu serta-merta menjadi sensasi dan membuatkan Gillard dikagumi ramai termasuklah majalah serta blog feminis yang memuji Perdana Menteri Australia itu.

Kejadian itu sedikit sebanyak melonjakkan namanya ketika undian dilakukan namun bekas peguam itu masih berhempas-pulas untuk memenangi pendapat awam mengenai dirinya.

Menurut satu bancian yang dijalankan syarikat maklumat global, Nielsen, Gillard tidak pernah menang dalam pendapat awam sejak pilihan raya terakhir pada 2010.

Segala perkara mengenai dirinya daripada slanga Australia sehingga minatnya kepada jaket berwarna putih mendapat kritikan hebat. Dia juga dituduh sengaja memandulkan diri kerana tidak mempunyai anak. Gillard tinggal bersama pasangannya, bekas pendandan rambut, Tim Mathieson.

Apabila dia menarik balik ikrar yang dibuat pada pilihan raya mengenai cukai karbon, Gillard dikecam teruk dan dilabel sebagai penipu. Perhimpunan juga diadakan oleh penunjuk perasaan yang turut membawa sepanduk yang tertera ayat ‘singkir ahli sihir itu’.

Namun wanita kelahiran pendatang dari Wales itu mempunyai kekuatan dalaman dan ketenangan yang menyerlahkan lagi nilai kepimpinannya.

“Sejak dulu saya memang mempunyai kekuatan dalaman dan tidak mudah ditolak atau ditarik (terpengaruh) oleh pandangan orang lain,” kata Gillard pada Disember lalu.

Peningkatan kuasanya yang pantas, dengan menyingkirkan ketua sendiri Kevin Rudd dalam rampasan kuasa yang mengejut, sentiasa membayangi pemerintahannya kini.

Melalui undian terbaru, Gillard hampir menyebabkan berlakunya bencana apabila partinya kehilangan majoriti dan hanya terus bertahan melalui sokongan kumpulan bebas dari kawasan luar bandar dan parti Greens.

Dianggap sebagai perunding yang cemerlang, beliau berjuang untuk cukai karbon pencemaran dan cukai kontroversi ke atas keuntungan perlombongan melalui parlimen.

Menyentuh sedikit mengenai latar belakangnya, Gillard dilahirkan pada 29 September 1961 di Barry, sebuah bandar pelabuhan perlombongan arang batu.

Ketika usianya baru menginjak empat tahun, ibu bapanya membawa Gillard belayar ke Australia selepas mengambil skim penghijrahan dengan harapan iklim yang lebih panas akan menyembuhkan masalah paru-paru kronik yang dihidapinya.

Seorang pelajar yang bijak, dia mengikuti pengajian seni dan undang-undang di Adelaide di mana keluarganya tinggal. Gillard turut menjadi presiden Kesatuan Pelajar Australia pada 1983.

Wanita yang lantang bersuara ini membina kerjaya dalam undang-undang perindustrian sebelum terbabit dalam politik sebagai ketua kakitangan pemimpin pembangkang, John Brumby.

Selepas pada mulanya ditolak oleh Parti Buruh bagi kerusi Parlimen, Gillard memasuki Dewan Rakyat pada 1998 dan berjaya memenangi kerusi selamat Lalor.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

521 views